Gambar hiasan
DUNIA pendidikan seluruh dunia kini semakin mencabar dan kompleks. Sebarang perubahan dan perancangan perlu bersifat mudah ubah.
Perubahan mendadak seakan mendesak pendidik untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi normal baharu demi menangani perubahan secara berkesan dalam memastikan matlamat dan agenda pendidikan dapat dilestarikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Anjakan paradigma bukan sahaja tertumpu kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), bahkan memberikan cabaran kepada pendidik untuk mengukuhkan penstrukturan proses penilaian dilaksanakan.
Pelbagai isu dan cabaran timbul dalam melaksanakan tanggungjawab ini kerana penilaian dilaksanakan haruslah relevan untuk memastikan domain ingin dicapai dapat ditaksirkan.
Dalam dunia pendidikan hari ini, pentaksiran mesti melihat skop lebih luas dan tidak terhad kepada menggunakan kertas dan pensil.
Pentaksiran mesti dapat mengukur kemahiran lebih kompleks dan pengetahuan isi kandungan lebih mendalam dalam pembelajaran.
Pentaksiran juga mesti dapat mengukur dengan tepat tahap pencapaian pelajar dan dapat menyediakan maklumat bermakna mengenai pelajar yang masih belum mencapai tahap pencapaian diharapkan.
Pentaksiran seharusnya menjadi sebahagian aktiviti bersepadu dan penting dalam aktiviti di kelas dan bertujuan untuk meningkatkan prestasi pelajar serta memahami bagaimana mereka mengetahui sesuatu perkara.
Bagaimanapun, pentaksiran prestasi dikatakan bersifat subjektif, maka ia sangat bergantung kepada faktor individu.
Jika ditelusuri, peranan pendidik perlu berubah mengikut keperluan semasa dikenali sebagai zaman milenium atau alaf baharu.
Pendidik perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek apabila berhadapan dengan dunia berubah-ubah agar dapat mengadaptasi apa jua keadaan. Ini termasuk penstrukturan dan penetapan dalam pentaksiran penilaian PdP yang seharusnya menggunakan pendekatan fleksibel.
Fleksibiliti melaksanakan tugasan menggunakan aplikasi digital adalah trend masa kini. Dengan keadaan sedemikian, pendidik rata-ratanya dilihat beralih arah dengan membuat perubahan dalam merangka penilaian tugasan dari bentuk bersemuka kepada bentuk digital.
Ini termasuk mereka memfokuskan penilaian dalam penguasaan domain psikomotor yang pencapaian fizikal, iaitu amali bagi kemahiran pelajar perlu dikenal pasti.
Bagaimanapun, pengekalan bentuk penilaian sedia ada masih boleh dikekalkan tetapi penghasilan outputnya diaplikasi dalam bentuk digital.
Contohnya dalam subjek membabitkan amali, 'servis learning' atau 'experiental learning' seperti pengurusan kokurikulum, sukan dan permainan, kesenggangan serta kesedaran persekitaran.
Pelajar perlu membuat projek khidmat masyarakat tetapi kekangan akibat COVID-19 merencatkan perancangan awal.
Langkah diambil untuk proses penilaian dapat dilaksanakan adalah dengan menjalankan projek khidmat masyarakat secara dalam talian.
Contohnya, pelajar menganjurkan pertandingan video kawad kaki dalam kelompok kumpulan kecil di sekolah berhampiran dan menyediakan video serta e-buku berkaitan dengan persekitaran dan kesihatan.
Menerusi projek sebegini, mereka perlu menganjurkan pertandingan secara dalam talian. Bukan itu sahaja, pengurusan projek diambil kira melalui aktiviti perkongsian maklumat untuk menyediakan bahan bersesuaian dengan pelajar sekolah sebelum pertandingan dianjurkan.
Secara tidak langsung sifat kepimpinan sebagai mentor dapat diterapkan yang penerapan sifat ini sangat diperlukan untuk meneraju alam pekerjaan kelak.
Proses penilaian seperti ini secara tidak langsung memberikan cabaran kepada pendidik untuk menyediakan rubrik bersesuaian untuk mencerap domain ingin dilihat.
Selain itu, proses pembelajaran kepada pelajar dalam melaksanakan program dan jaringan dengan organisasi luar juga perlu dipantau dan dibimbing.
Dengan perancangan dan pelaksanaan rapi seperti ini mungkin dilihat memberikan beban serta cabaran tetapi ia proses seharusnya diterapkan bagi melahirkan generasi berimpak walaupun hanya secara maya.
Walaupun begitu, pendidik haruslah sentiasa cakna dengan perkembangan prestasi pelajar kerana penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi bakal dilalui.
Tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni diperlukan dalam dunia berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan perkembangan pesat sains, teknologi serta maklumat.
Pelaksanaan penilaian secara dalam talian ternyata bukanlah mudah, malah mengundang keresahan kepada pendidik.
Pendidik juga memerlukan masa dan latihan secukupnya bagi mengendalikan penilaian seperti ini. Persediaan rapi perlu dilakukan memandangkan kaedah penilaian ini belum pernah ataupun jarang dilaksanakan dan sudah tentu menuntut masa serta tenaga, apatah lagi bagi mereka yang masih perlukan bimbingan dalam penerokaan teknologi alaf baharu.
Rentetan permasalahan ini, soalan digunakan dalam penilaian secara konvensional sebelum ini belum tentu sesuai digunakan untuk penilaian secara dalam talian, dan ini memerlukan kepada beberapa pengubahsuaian.
Kesemua perubahan ini perlu mengambil kira piawaian ditetapkan di samping memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai.
Justeru, sebagaimana diketahui walaupun penilaian secara dalam talian dikatakan sebagai cabaran sukar, ia mustahil dielakkan.
Sebagai pendidik mempunyai landasan berfikir secara kontemporari, dengan kecanggihan teknologi sentiasa berevolusi, dijangkakan penilaian secara dalam talian akan menjadi lebih mudah diterapkan.
Tuntasnya, jangan mudah putus asa untuk menjadi pendidik yang sentiasa multi-kaliber dalam menerajui arus globalisasi masa kini.
Dr Adjah Naqkiah Mazlan
Pensyarah Kanan (Sains Sukan),
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment