Foto hiasan
Pendidikan sebagai pintu peradaban dunia tidak akan terbuka kecuali dengan satu kunci, iaitu guru. Orang hebat mampu melahirkan beberapa karya bermutu, tetapi guru yang baik dapat melahirkan ribuan tokoh hebat.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, menerusi wawancara dalam talian Siri Syarahan Profesor Adjung, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini, menyifatkan demi langkah ke hadapan dan memacu hala tuju negara dalam bidang pendidikan, beberapa perkara perlu diberikan perhatian.
Antara perkara itu, menurut Habibah, adalah untuk mengukuhkan dan meningkatkan kualiti guru. Ini kerana kualiti guru antara aspek terpenting bagi memacu transformasi pendidikan kebangsaan. Bagi mencapai hasrat ini, kualiti guru perlu sentiasa diperbaiki selaras dengan keperluan semasa.
Dalam keadaan dunia dan negara masih berdepan ancaman wabak COVID-19, sektor pendidikan turut terkesan kerana semua institusi pendidikan terpaksa ditutup. Rata-ratanya kelompok pendidik dilihat mengambil pendekatan berbeza dan terpaksa membiasakan diri kepada Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).
PdPR sebelum ini tidak banyak diberi perhatian, menjadi pendekatan paling sesuai untuk memastikan murid kekal mendapat akses kepada pendidikan.
Inti pati ucapan Habibah yang juga Prof Adjung Sekolah Pendidikan UTM, jelas menggambarkan PdPR menjadi kaedah penting dalam memastikan murid terus menerima pendidikan semasa sekolah dan institusi pendidikan lain ditutup.
Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara normal baharu, penekanan kepada teknologi perlu ditingkatkan. Namun, usaha berterusan dan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengupayakan pembelajaran menerusi teknologi secara menyeluruh dapat dicapai.
Corak perubahan ini seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang kini diterajui semua pihak tidak terkecuali bidang pendidikan kita sendiri.
Slogan Bersama-Sama Melangkah Lebih Jauh menjadi garis panduan untuk pendidik fokus dalam pelaksanaan gerak kerja yang sasaran utama atau bidang tumpuan digariskan adalah penyertaan murid, pembelajaran murid, kualiti guru dan pemimpin sekolah serta pentaksiran.
Oleh itu, kualiti guru antara aspek terpenting bagi memacu tranformasi pendidikan kebangsaan kerana kualiti sesuatu sistem pendidikan tidak boleh melangkaui kualiti gurunya.
Menerusi landskap demografi guru di negara ini yang mempunyai ijazah pertama, kini ia mencapai 87 peratus bagi guru di sekolah rendah, manakala di peringkat sekolah menengah pula 98 peratus. Perkembangan ini jelas menunjukkan kualiti guru semakin cemerlang dalam pendidikan.
Sejajar dengan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan beberapa kriteria asas dalam pemilihan guru cemerlang. Guru perlulah berpengetahuan dan berkemahiran dalam menguasai dan menghayati isi kandungan serta mampu untuk menjadi pakar rujuk PdP.
Selain itu, guru seharusnya berupaya meningkatkan hasil pembelajaran ke arah membangunkan potensi murid. Begitu juga berupaya menyumbang kepada pendidikan negara dengan menjana idea baharu dalam bidang pengkhususan masing-masing.
Keperibadian tinggi dengan mempunyai sahsiah terpuji seharusnya ada pada setiap guru untuk menjadi cerminan kepada generasi diterajui. Pada masa sama, pendidik seharusnya cemerlang dalam berkomunikasi dan berpotensi serta bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.
Namun, statistik diperoleh menunjukkan bilangan guru cemerlang di negara ini masih kecil dan tidak dapat memenuhi kuota ditetapkan. Maka, peranan guru cemerlang amat penting sebagai teladan yang dapat menarik minat guru lain untuk memohon dan meneruskan legasi kecemerlangan dalam pendidikan.
Bersangkutan isu kecemerlangan ini, kajian menunjukkan guru cemerlang mempunyai perbezaan signifikan dengan guru biasa berpengalaman. Terdapat beberapa dimensi perbezaan dikesan seperti dalam kaedah menyelesaikan masalah, pembuat keputusan lebih baik dan semangat.
Kejayaan guru cemerlang dalam mengaplikasikan pengetahuan dengan pendekatan baharu dilihat dapat menarik perhatian murid. Dalam konteks kesediaan pula, guru cemerlang menunjukkan persediaan rapi sebelum PdP bermula.
Mereka juga dilihat amat fleksibel dalam menukar bentuk penyampaian di bilik darjah bergantung kepada keadaan semasa. Ini menunjukkan guru cemerlang berkualiti dalam penyampaian PdP.
Seterusnya, guru cemerlang disandarkan sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran diajar. Penyebaran ilmu dan pengetahuan guru cemerlang dilihat mampu untuk dimanfaatkan kepada bidang lain seperti penggubal soalan peperiksaan, penulis buku teks dan bahan ilmiah.
Guru cemerlang atau berprestasi tinggi dikatakan mampu dalam mempengaruhi keberhasilan murid. Pembelajaran murid diutamakan khususnya dalam meningkatkan penguasaan murid dan sejajar dengan kesungguhan untuk memastikan sasaran tercapai.
Di samping itu, menjadi mentor dan fasilitator kepada rakan sebaya juga ciri yang ada pada guru cemerlang. Dimensi pemikiran mereka cemerlang sentiasa melihat pengetahuan dimiliki perlu dikongsi dengan rakan sebaya serta guru berlainan sekolah.
Cabaran melangkah ke hadapan dalam perspektif cemerlang ini seharusnya menjadi tanggungjawab pelbagai pihak seperti pejabat pendidikan daerah (PPD), jabatan pendidikan negeri (JPN), KPM dan pihak sekolah itu sendiri dalam merangka program berwawasan.
Tanggungjawab bersama ini mampu menjamin dan menyokong kualiti serta kecemerlangan guru. Tuntasnya, pengajaran guru yang jelas mempunyai hubungan positif dengan pencapaian murid.
Mutakhir ini, dalam era IR 4.0, pendidikan berteraskan teknologi dan digital dikatakan dapat menyokong PdP jika dilaksanakan dengan efisien.
Bagaimanapun, setiap perancangan dan matlamat pasti ada cabaran. Natijahnya, sebagai pemangkin kualiti pendidikan, guru semestinya berani untuk meluaskan ufuk pemikiran, lebih intelektual dan berketerampilan relevan dengan kehendak zaman.
Menjadi guru cemerlang bukanlah satu cita-cita atau hasrat, namun ia kemestian bagi menjamin kualiti pendidikan dipacu ke hadapan.
Dr Adjah Naqkiah Mazlan dan Prof Dr Fatin Aliah Phang
Pensyarah Sekolah Pendidikan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment