Friday 22 January 2021

BAHAN PENGAJARAN EFEKTIF PASTIKAN KEBERKESANAN PdPR

Foto hiasan

Sesi persekolahan 2021 dibuka secara rasminya, kelmarin. Bagaimanapun, peningkatan kes COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merencatkan keterujaan khususnya murid.

Namun, gelagat hari pertama persekolahan dijalankan secara dalam talian mencuri tumpuan masyarakat. Pelbagai reaksi dirakam dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

Guru, pelajar mahupun ibu bapa menghadapi cabaran baharu dalam melaksanakan sesi PdPR secara dalam talian ini, tetapi apakah sistem pendidikan tanah air sudah bersedia?

Isu capaian internet, kesediaan pelajar dan persediaan guru, kemampuan B40 serta M40, pembabitan ibu bapa antara persoalan asas perlu dijawab bagi memastikan kejayaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian ini.

Sebenarnya, isu ini sudah lama dibangkitkan. Michael Fullan dalam buku The New Meaning of Educational Change menyatakan perlunya tindakan penyesuaian dalam sistem pendidikan apabila berlaku bencana atau wabak.

Kini, keadaan semasa 'memaksa' semua guru bertindak lebih responsif. Pelbagai kaedah dan platform diguna pakai bagi proses PdPR, termasuk realiti visual dan realiti terimbuh (AR) yang membolehkannya secara interaktif selari kaedah PdP abad ke-21.

PdPR memberikan tanggungjawab baharu dalam membuat persediaan sesi pembelajaran kepada guru termasuk mereka yang mengajar beberapa mata pelajaran dan peringkat kelas berbeza.

Ia pasti memberikan kesan terhadap tanggungjawab guru dalam mendidik dan melahirkan modal insan selari hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) mendokong agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Golongan ini tidak wajar dipersalahkan kerana bebanan masa dalam menyediakan bahan PdPR. Justeru, KPM perlu memikirkan penyelesaian terbaik dalam konteks PdPR dalam talian ini.

Diakui KPM banyak melaksanakan pelbagai inisiatif terutama pembelajaran dalam talian bagi meletakkan sistem pendidikan negara setanding negara maju seperti diakui Pengerusi Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia (PTPM), Prof Madya Dr Mahizer Hamzah.

Ini diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan menjadikan kesamarataan akses pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa serta memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Bagaimanapun, kurikulum dibina harus disesuaikan dengan pembelajaran dalam talian, termasuk berpusatkan murid dengan mengambil kira kandungan pelajaran, pendekatan pembelajaran dan kaedah penilaian berbeza. Pelan tindakan perlu diambil segera melihat kepada situasi semasa apabila gelombang COVID-19 sukar diramal bilakah akan berakhir.

Bagi memberi fokus kepada guru dalam melahirkan kemenjadian pelajar, KPM perlu memikirkan modus operandi terbaik. Penghasilan pembangunan bahan pengajaran perlu dilakukan segera bagi membantu proses PdPR.

Antara cara meringankan beban guru adalah menyediakan bahan pengajaran efektif dengan merakam sesi pengajaran dijalankan guru berpengalaman dan cemerlang merangkumi setiap bab dalam mata pelajaran, manakala rakaman itu boleh diedarkan kepada sekolah atau diletakkan di media sosial KPM sendiri.

Dengan cara ini, tugas guru lebih tertumpu kepada membimbing pelajar dan mampu memberi perhatian dalam proses membentuk kemenjadian murid.

Bagi menyelesaikan masalah capaian internet di pedalaman atau keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki komputer riba dan telefon pintar, KPM perlu merancakkan semula TV Pendidikan dan bekerjasama dengan penyiaran swasta untuk menyiarkan rakaman setiap mata pelajaran yang boleh diulang siar 24 jam.

Apa yang penting, pelan tindakan bersepadu perlu dibuat KPM bagi menyelaraskan PdPR dalam talian bagi pendidikan di negara ini.

Pastinya semua pihak mencari cara terbaik menghadapi isu PdPR. Tidak wajar kita membandingkan PdPR dalam talian ini dengan PdP secara bersemuka.

Kesan PdP di kelas melalui proses sangat matang jika hendak dibandingkan kesan PdPR dalam talian yang umurnya baru setahun jagung.

Perubahan dalam sistem pendidikan menjadi ujian kepada keberkesanan teori connectivism yang dikatakan sebagai teori pembelajaran era digital, keupayaan pendidik dan pelajar dalam pelaksanaan PdP melalui amalan sibergogi.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dijalankan Februari ini boleh dijadikan penanda aras menguji keberkesanan teori connectivism terbabit.

Dr Fahmi Abdul Rahim (Penolong Rektor)
Syamsyul Samsudin (Koordinator) 
Program Ijazah Kewangan & Pelaburan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment