Friday, 29 October 2021

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TERIMA PERUNTUKAN TERBESAR BERJUMLAH RM52.6 BILION

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) – Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion atau 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi tahun 2022, kerajaan bersetuju menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150, meningkat berbanding RM100 sebelum ini bagi membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.

Beliau berkata sejumlah RM450 juta diperuntukkan bagi tujuan itu yang dijangka memanfaat tiga juta murid yang layak.

“Tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan. Setiap awal tahun, tentunya ibu bapalah yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebagai menghargai jasa guru yang menyediakan bahan mengajar tambahan kepada murid semasa pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR), kerajaan buat kali pertama menyediakan Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 kepada lebih 400,000 guru di bawah KPM.

Beliau berkata sejumlah RM1 bilion pula disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah termasuk RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar iaitu meningkat berbanding RM100 juta yang diperuntukkan pada tahun ini.

“Peruntukan penyelenggaraan kepada lebih 10,000 sekolah di bawah KPM akan diagihkan mengikut jenis sekolah berdasarkan kadar yang seragam,” katanya.

Katanya RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil bagi tahun 2022.

Di samping itu, kerajaan akan terus menaik taraf sekolah-sekolah daif dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta pada tahun hadapan dengan sebilangan besar peruntukan adalah untuk 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak.

Bagi memperkasa agenda pendidikan khas, kerajaan menyediakan RM50 juta antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas selain lapan blok baharu dibina termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan SMK Agama Alor Gajah, Melaka.

Selain itu, RM400 juta diperuntukkan bagi penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 23 October 2021

WARGA PENDIDIK HARUS BIJAK BERADAPTASI PASTIKAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN SEMAKIN RELEVAN

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Warga pendidikan yang menjunjung falsafah pendidikan Kebangsaan harus bijak beradaptasi bagi memastikan perkembangan pendidikan sentiasa berada di landasan yang betul dan semakin relevan dengan kehendak semasa.

Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara telah menuntut untuk para guru agar sentiasa berfikiran kreatif dan proaktif agar tidak mudah mengalah dengan bencana yang melanda.

"Sehubungan dengan itu, kita seharusnya melangkah sederap bagi memastikan segala apa yang telah dirancang dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin. Pelbagai pendekatan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seharusnya dapat meningkatkan nilai tambah serta disesuaikan dengan situasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Usaha ini dapat dijelmakan dari semasa ke semasa melalui penggabungjalinan aplikasi yang menekankan aspek pelibatan murid secara aktif dan menyeluruh agar selari dengan Aspek 4.6 iaitu murid sebagai pembelajar aktif dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang-2 (SKPMg2)," katanya dalam majlis penutupan Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021 yang berlangsung secara dalam talian, di sini hari ini.

Nor Zamani berkata tema konvensyen tahun ini iaitu "Perkongsian Amalan Terbaik PdP dalam Memperkasakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Melalui Norma Baharu" seharusnya dijana secara efektif bagi memastikan kualiti para guru dapat ditingkatkan dan kemenjadian murid secara holistik berjaya direalisasikan.

Beliau berkata usaha itu juga selari dengan enam aspirasi murid seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu setiap murid akan mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

"Dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21, aspek pedagogi merupakan salah satu disiplin ilmu yang penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan bermakna," katanya.

Beliau berkata perkongsian segala bentuk pengetahuan, kemahiran, penyelidikan, dapatan dan inovasi oleh para guru di Konvensyen Pendidikan Putrajaya seharusnya dapat dimanfaatkan secara optimum dengan menyebarluaskan dalam pelbagai medium dan aplikasi serta memberi manfaat kepada murid-murid dan dunia pendidikan secara umumnya.

Konvensyen anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dengan kerjasama Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) itu bertujuan mewujudkan kerjasama organisasi secara optimum dalam meningkatkan profesionalisme keguruan khususnya dari aspek pedagogi dan amalan terbaik PdPR para guru.

Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021 merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan para pendidik yang bertugas di Putrajaya serta membuka ruang kepada mereka untuk meningkatan pengetahuan dalam amalan pedagogi pengajaran bagi menghadapi cabaran abad ke-21.

Ia juga adalah platform bagi para pendidik memperoleh idea dan pengetahuan baharu tentang amalan terbaik pedagogi yang mutakhir serta memupuk dan membudayakan amalan penyelidikan dalam kalangan guru serta berkongsi hasil kajian secara lisan dan bertulis.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 12 October 2021

MANFAAT CABARAN PANDEMIK CORAK REVOLUSI AKADEMIA DIGITAL


Dalam arena pendidikan, semua institusi pendidikan baik sekolah mahupun institut pengajian tinggi (IPT) terpaksa beralih kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) berbentuk digital atau maya disebabkan pandemik.

Pada permulaan, ramai kekok dengan medium ini. Namun selepas lebih setahun, kita semua semakin terbiasa kerana persekitaran mula menyesuaikan pemikiran dan tingkah laku untuk berubah demi adaptasi suasana baharu.

Selepas pandemik berakhir sekali pun, ramai menjangkakan mod PdP maya akan kekal kerana ramai semakin sedar faedah pendidikan sebegini, terutama cirinya lebih fleksibel dari segi masa dan pelaksanaan.

Dalam konteks akademia, dipercayai sebahagian besar kursus akademik di IPT akan terus dijalankan secara digital, terutama jika tidak memerlukan kerja makmal atau bengkel.

Maka, revolusi pendidikan tinggi atau akademia dijangka berlaku apabila ahli akademik dan pelajar semakin menerima nilai pendidikan tinggi berbentuk akademia digital.

Ini tidak bermakna kewujudan universiti secara fizikal tidak lagi diperlukan, sebaliknya kemudahan sedemikian hanya digunakan pada saat ia benar-benar diperlukan.

Realitinya, universiti kini beroperasi melangkaui dinding kampus. Urusan dengan pihak luar universiti seperti kerajaan, industri dan komuniti menjadikan dunia akademia pada konsep serta praktikalnya semakin meluas.

Beberapa tahun mendatang, fungsi boleh dimainkan universiti sebagai hab atau pusat kerja bagi pelbagai jenis agensi. Universiti dijangka beroperasi secara bersemuka dan digital kerana kedua-dua jenis urusan ini menawarkan kelebihan tertentu.

Urusan bersemuka akan membuka ruang perbincangan lebih dekat dan mendalam kerana faktor insani pada pihak berurusan.

Urusan secara digital pula tentu memberikan kelebihan kepada masa kerana sudah tidak perlu lagi semua pihak menghabiskan waktu semata-mata ke kaunter perkhidmatan pejabat universiti.

Persoalan mengenai akademia melangkaui dimensi PdP kerana fungsi universiti masa kini dan akan datang semakin kompleks, terutama bagi universiti penyelidikan yang menjadi enjin utama kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Revolusi akademia juga mungkin menyaksikan semakan besar-besaran terhadap program akademik ditawarkan universiti.

Ia dijangka berlaku kerana pandemik mengajar kita masalah sehingga menyamai kompleks wabak ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan perspektif kesihatan, sebaliknya menarik bersamanya perspektif membabitkan psikologi insani, ekonomi insani, pendidikan insani dan bahkan politik insani.

Justeru, program akademik universiti akan menyerlahkan lagi ciri lebih bersifat merentas disiplin ilmu, seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan ilmu kemanusiaan serta sains sosial seperti pendidikan, psikologi, kaunseling, komunikasi dan etika.

Pada masa ini pun universiti mula menawarkan program akademik merentas disiplin ilmu. Namun pada tahun mendatang, pendekatan ini dijangka terus bertapak lebih kuat dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Landskap akademia negara juga akan dipacu agenda digitalisasi dan insani lebih tersurat berbanding tersirat. Jika hanya berfokus satu daripada dua perkara ini, kita sebenarnya tidak benar-benar mengambil peluang daripada pengajaran dibentuk dalam tempoh pandemik.

Jika kita ketepikan soal insani, kita juga gagal memahami kompleksiti penyelesaian diambil dalam menangani wabak COVID-19.

Kompleksiti seperti kedegilan sebilangan orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan virus COVID-19, sikap antivaksin dan kesukaran menjangkakan bilakah pandemik akan berakhir menyerlahkan nilai insani yang diperlukan dalam berdepan suasana yang hampir dengan ciri VUCA -volatility (ketakterjangkaan), uncertainty (ketidakpastian), complexity (kerumitan) dan ambiguity (kesamaran).

Ahli akademik sebagai pemikir negara harus melihat COVID-19 sebagai titik permulaan kepada revolusi akademia yang bakal berlaku. Selamat Hari Akademia 2021.

BERITA HARIAN ONLINE

KESELESAAN ATAU GURU BERKELAYAKAN JADI PILIHAN IBU BAPA?

Di negara kita terdapat banyak peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian bermula daripada peringkat prasekolah. Selain pendidikan percuma yang diberikan kerajaan, sebahagian ibu bapa memilih memasukkan anak mereka ke sekolah swasta.Hal ini tidaklah salah dan ia bergantung sepenuhnya kepada kemampuan ibu bapa sendiri. Secara asasnya, terdapat beberapa jenis sekolah swasta. Antaranya adalah sekolah swasta yang menggunakan kurikulum sendiri namun ada yang mengikut sistem pendidikan sama seperti sekolah kerajaan.

Perlu diingat, semua sekolah swasta yang mengikuti kurikulum kerajaan tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996, iaitu dipantau dan juga terletak di bawah Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Ini bermaksud murid akan belajar semua mata pelajaran yang sama seperti di sekolah kerajaan serta menduduki peperiksaan awam yang sama iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Oleh itu, apakah bezanya antara sekolah swasta dan sekolah kerajaan? Mengapakah ada ibu bapa yang memilih sekolah swasta daripada menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan? Dalam perbincangan ini, kita akan membuat perbandingan antara sekolah kerajaan dan swasta yang mengikut kurikulum sama.

Guru terlatih

Guru yang mengajar di sekolah kerajaan mestilah mereka yang mempunyai kelayakan Sarjana Muda Pendidikan dari mana-mana institusi kerajaan. Selain itu, mereka juga mesti lulus kursus induksi dan temu duga yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selain itu terdapat juga guru yang merupakan tenaga pengajar mahir dalam bidang masing-masing meskipun bukan lulusan pendidikan. Kumpulan ini dalam usaha mendapatkan diploma pendidikan atau kelulusan yang setara akan melalui proses praktikum, iaitu latihan mengajar di sekolah kerajaan sekurang-kurangnya selama empat bulan. Oleh itu, setiap guru dalam sekolah kerajaan adalah guru yang terlatih dan mahir dalam bidang mereka.

Sebaliknya, di sekolah swasta syarat sebegini bukanlah kemestian kerana mereka memilih sendiri tenaga pengajar. Umumnya sekolah swasta akan mengambil guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing namun mungkin tidak perlu mempunyai kelayakan diploma pendidikan. Contohnya, seorang yang berkelulusan Sarjana Muda Biologi dilantik menjadi guru biologi, tetapi guru berkenaan tidak ada pengetahuan pedagogi dalam bidang biologi.

Guru yang tidak mempunyai Sarjana Muda Pendidikan juga mungkin tidak mahir dalam kaedah menyediakan kertas peperiksaan, kaedah pengajaran dalam makmal sains, kaedah pengajaran memusatkan pelajar, dan kaedah-kaedah lain dalam proses pedagogi.

Kewangan

Sistem pendidikan negara kita menyediakan pendidikan percuma sehingga tingkatan lima kepada semua warganegara dengan bermatlamatkan kualiti pendidikan.

Sebaliknya, matlamat sekolah swasta adalah mencari keuntungan, oleh itu pelajar akan dikenakan yuran tinggi untuk semua perkhidmatan yang diberi. Ini menyebabkan pelajar yang belajar di sekolah swasta adalah daripada golongan keluarga kaya. Namun, disebabkan yuran yang dibayar ini, persekitaran dan suasana di sekolah swasta adalah jauh lebih baik berbanding sekolah kerajaan dalam aspek akademik dan kokurikulum.

Pencapaian akademik

Kebelakangan ini, guru-guru sekolah kerajaan bukan sahaja perlu mengajar malah mereka dibebankan dengan banyak kerja perkeranian yang secara tidak langsung boleh mengurangkan fokus terhadap pencapaian akademik.

Sebaliknya di sekolah swasta tumpuan tumpuan kepada pencapaian akademik pelajar sangat tinggi. Ini dilakukan dengan mengehadkan bilangan pelajar dalam satu kelas sekitar antara 20 hingga 25 orang selain kelas tambahan dan latihan.

Selain itu, perhubungan kebanyakan sekolah swasta dengan universiti swasta tempatan adalah sangat baik, oleh itu mereka juga sering mendapat bantuan akademik dari universiti swasta di Malaysia.

Malah pada zaman pendidikan dalam talian ini, didapati kemudahan yang disediakan oleh sekolah swasta adalah jauh lebih baik. Hal ini secara langsung menyebabkan tumpuan pada pencapaian akademik di sekolah swasta adalah lebih baik

Bagaimanapun bolehlah kita katakan, secara keseluruhan terdapat kebaikan dan kelemahan di kedua-dua jenis sekolah. Antara kebaikan sekolah kerajaan adalah gurunya yang berkelayakan, pendidikan percuma dan tumpuan pada aktiviti kokurikulum manakala, kebaikan pada sekolah swasta pula adalah infrastruktur yang baik, keselesaan bilik darjah, bilangan pelajar yang kurang dalam setiap kelas, tumpuan kepada akademik yang lebih tinggi, terdapat pergaulan dengan pelajar antarabangsa, sistem komunikasi antara ibu bapa dan pihak sekolah yang baik, dan lain-lain.

Namun, satu hal yang perlu diingat pada akhirnya, sijil yang diterima pada akhir sistem persekolahan tetaplah SPM, sama ada seseorang pelajar itu dari sekolah swasta atau kerajaan. Pengiktirafannya adalah masih sama.

Prof Madya Dr Gunasegaran Karuppannan
Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Universiti Selangor

BERITA HARIAN ONLINE