Tuesday, 12 October 2021

MANFAAT CABARAN PANDEMIK CORAK REVOLUSI AKADEMIA DIGITAL


Dalam arena pendidikan, semua institusi pendidikan baik sekolah mahupun institut pengajian tinggi (IPT) terpaksa beralih kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) berbentuk digital atau maya disebabkan pandemik.

Pada permulaan, ramai kekok dengan medium ini. Namun selepas lebih setahun, kita semua semakin terbiasa kerana persekitaran mula menyesuaikan pemikiran dan tingkah laku untuk berubah demi adaptasi suasana baharu.

Selepas pandemik berakhir sekali pun, ramai menjangkakan mod PdP maya akan kekal kerana ramai semakin sedar faedah pendidikan sebegini, terutama cirinya lebih fleksibel dari segi masa dan pelaksanaan.

Dalam konteks akademia, dipercayai sebahagian besar kursus akademik di IPT akan terus dijalankan secara digital, terutama jika tidak memerlukan kerja makmal atau bengkel.

Maka, revolusi pendidikan tinggi atau akademia dijangka berlaku apabila ahli akademik dan pelajar semakin menerima nilai pendidikan tinggi berbentuk akademia digital.

Ini tidak bermakna kewujudan universiti secara fizikal tidak lagi diperlukan, sebaliknya kemudahan sedemikian hanya digunakan pada saat ia benar-benar diperlukan.

Realitinya, universiti kini beroperasi melangkaui dinding kampus. Urusan dengan pihak luar universiti seperti kerajaan, industri dan komuniti menjadikan dunia akademia pada konsep serta praktikalnya semakin meluas.

Beberapa tahun mendatang, fungsi boleh dimainkan universiti sebagai hab atau pusat kerja bagi pelbagai jenis agensi. Universiti dijangka beroperasi secara bersemuka dan digital kerana kedua-dua jenis urusan ini menawarkan kelebihan tertentu.

Urusan bersemuka akan membuka ruang perbincangan lebih dekat dan mendalam kerana faktor insani pada pihak berurusan.

Urusan secara digital pula tentu memberikan kelebihan kepada masa kerana sudah tidak perlu lagi semua pihak menghabiskan waktu semata-mata ke kaunter perkhidmatan pejabat universiti.

Persoalan mengenai akademia melangkaui dimensi PdP kerana fungsi universiti masa kini dan akan datang semakin kompleks, terutama bagi universiti penyelidikan yang menjadi enjin utama kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Revolusi akademia juga mungkin menyaksikan semakan besar-besaran terhadap program akademik ditawarkan universiti.

Ia dijangka berlaku kerana pandemik mengajar kita masalah sehingga menyamai kompleks wabak ini tidak boleh diselesaikan hanya dengan perspektif kesihatan, sebaliknya menarik bersamanya perspektif membabitkan psikologi insani, ekonomi insani, pendidikan insani dan bahkan politik insani.

Justeru, program akademik universiti akan menyerlahkan lagi ciri lebih bersifat merentas disiplin ilmu, seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan ilmu kemanusiaan serta sains sosial seperti pendidikan, psikologi, kaunseling, komunikasi dan etika.

Pada masa ini pun universiti mula menawarkan program akademik merentas disiplin ilmu. Namun pada tahun mendatang, pendekatan ini dijangka terus bertapak lebih kuat dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Landskap akademia negara juga akan dipacu agenda digitalisasi dan insani lebih tersurat berbanding tersirat. Jika hanya berfokus satu daripada dua perkara ini, kita sebenarnya tidak benar-benar mengambil peluang daripada pengajaran dibentuk dalam tempoh pandemik.

Jika kita ketepikan soal insani, kita juga gagal memahami kompleksiti penyelesaian diambil dalam menangani wabak COVID-19.

Kompleksiti seperti kedegilan sebilangan orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan virus COVID-19, sikap antivaksin dan kesukaran menjangkakan bilakah pandemik akan berakhir menyerlahkan nilai insani yang diperlukan dalam berdepan suasana yang hampir dengan ciri VUCA -volatility (ketakterjangkaan), uncertainty (ketidakpastian), complexity (kerumitan) dan ambiguity (kesamaran).

Ahli akademik sebagai pemikir negara harus melihat COVID-19 sebagai titik permulaan kepada revolusi akademia yang bakal berlaku. Selamat Hari Akademia 2021.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment