Tuesday 12 October 2021

KESELESAAN ATAU GURU BERKELAYAKAN JADI PILIHAN IBU BAPA?

Di negara kita terdapat banyak peluang untuk pelajar melanjutkan pengajian bermula daripada peringkat prasekolah. Selain pendidikan percuma yang diberikan kerajaan, sebahagian ibu bapa memilih memasukkan anak mereka ke sekolah swasta.Hal ini tidaklah salah dan ia bergantung sepenuhnya kepada kemampuan ibu bapa sendiri. Secara asasnya, terdapat beberapa jenis sekolah swasta. Antaranya adalah sekolah swasta yang menggunakan kurikulum sendiri namun ada yang mengikut sistem pendidikan sama seperti sekolah kerajaan.

Perlu diingat, semua sekolah swasta yang mengikuti kurikulum kerajaan tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996, iaitu dipantau dan juga terletak di bawah Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Ini bermaksud murid akan belajar semua mata pelajaran yang sama seperti di sekolah kerajaan serta menduduki peperiksaan awam yang sama iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Oleh itu, apakah bezanya antara sekolah swasta dan sekolah kerajaan? Mengapakah ada ibu bapa yang memilih sekolah swasta daripada menghantar anak mereka ke sekolah kerajaan? Dalam perbincangan ini, kita akan membuat perbandingan antara sekolah kerajaan dan swasta yang mengikut kurikulum sama.

Guru terlatih

Guru yang mengajar di sekolah kerajaan mestilah mereka yang mempunyai kelayakan Sarjana Muda Pendidikan dari mana-mana institusi kerajaan. Selain itu, mereka juga mesti lulus kursus induksi dan temu duga yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selain itu terdapat juga guru yang merupakan tenaga pengajar mahir dalam bidang masing-masing meskipun bukan lulusan pendidikan. Kumpulan ini dalam usaha mendapatkan diploma pendidikan atau kelulusan yang setara akan melalui proses praktikum, iaitu latihan mengajar di sekolah kerajaan sekurang-kurangnya selama empat bulan. Oleh itu, setiap guru dalam sekolah kerajaan adalah guru yang terlatih dan mahir dalam bidang mereka.

Sebaliknya, di sekolah swasta syarat sebegini bukanlah kemestian kerana mereka memilih sendiri tenaga pengajar. Umumnya sekolah swasta akan mengambil guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing namun mungkin tidak perlu mempunyai kelayakan diploma pendidikan. Contohnya, seorang yang berkelulusan Sarjana Muda Biologi dilantik menjadi guru biologi, tetapi guru berkenaan tidak ada pengetahuan pedagogi dalam bidang biologi.

Guru yang tidak mempunyai Sarjana Muda Pendidikan juga mungkin tidak mahir dalam kaedah menyediakan kertas peperiksaan, kaedah pengajaran dalam makmal sains, kaedah pengajaran memusatkan pelajar, dan kaedah-kaedah lain dalam proses pedagogi.

Kewangan

Sistem pendidikan negara kita menyediakan pendidikan percuma sehingga tingkatan lima kepada semua warganegara dengan bermatlamatkan kualiti pendidikan.

Sebaliknya, matlamat sekolah swasta adalah mencari keuntungan, oleh itu pelajar akan dikenakan yuran tinggi untuk semua perkhidmatan yang diberi. Ini menyebabkan pelajar yang belajar di sekolah swasta adalah daripada golongan keluarga kaya. Namun, disebabkan yuran yang dibayar ini, persekitaran dan suasana di sekolah swasta adalah jauh lebih baik berbanding sekolah kerajaan dalam aspek akademik dan kokurikulum.

Pencapaian akademik

Kebelakangan ini, guru-guru sekolah kerajaan bukan sahaja perlu mengajar malah mereka dibebankan dengan banyak kerja perkeranian yang secara tidak langsung boleh mengurangkan fokus terhadap pencapaian akademik.

Sebaliknya di sekolah swasta tumpuan tumpuan kepada pencapaian akademik pelajar sangat tinggi. Ini dilakukan dengan mengehadkan bilangan pelajar dalam satu kelas sekitar antara 20 hingga 25 orang selain kelas tambahan dan latihan.

Selain itu, perhubungan kebanyakan sekolah swasta dengan universiti swasta tempatan adalah sangat baik, oleh itu mereka juga sering mendapat bantuan akademik dari universiti swasta di Malaysia.

Malah pada zaman pendidikan dalam talian ini, didapati kemudahan yang disediakan oleh sekolah swasta adalah jauh lebih baik. Hal ini secara langsung menyebabkan tumpuan pada pencapaian akademik di sekolah swasta adalah lebih baik

Bagaimanapun bolehlah kita katakan, secara keseluruhan terdapat kebaikan dan kelemahan di kedua-dua jenis sekolah. Antara kebaikan sekolah kerajaan adalah gurunya yang berkelayakan, pendidikan percuma dan tumpuan pada aktiviti kokurikulum manakala, kebaikan pada sekolah swasta pula adalah infrastruktur yang baik, keselesaan bilik darjah, bilangan pelajar yang kurang dalam setiap kelas, tumpuan kepada akademik yang lebih tinggi, terdapat pergaulan dengan pelajar antarabangsa, sistem komunikasi antara ibu bapa dan pihak sekolah yang baik, dan lain-lain.

Namun, satu hal yang perlu diingat pada akhirnya, sijil yang diterima pada akhir sistem persekolahan tetaplah SPM, sama ada seseorang pelajar itu dari sekolah swasta atau kerajaan. Pengiktirafannya adalah masih sama.

Prof Madya Dr Gunasegaran Karuppannan
Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Universiti Selangor

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment