KUALA LUMPUR: Tanggungjawab menerap nilai murni dalam kalangan murid menjadikan guru sebagai tunjang penting ekosistem pendidikan, khususnya ke arah menjayakan agenda pembangunan pendidikan negara.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pemilihan 'Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA' sebagai tema Sambutan Hari Guru tahun ini bertepatan dalam menghargai peranan guru secara menyeluruh.
"Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu kepada murid, malah berusaha memastikan murid mempunyai sahsiah yang baik serta daya saing yang tinggi.
"Ini dapat dilaksana melalui penjiwaan, penghayatan dan pembudayaan berterusan elemen nilai murni, kemahiran serta sikap positif yang diterapkan secara semula jadi di sekolah.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada hampir 500,000 guru di seluruh negara atas segala pengorbanan, keringat, komitmen dan dedikasi dalam mendidik serta membentuk generasi pewaris negara yang berkualiti tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51, hari ini.
Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun.
SEJAHTERA merangkumi 14 elemen iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jatidiri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi.
Radzi berkata, penerapan melalui konsep Sekolahku SEJAHTERA dapat disampaikan melalui pelbagai aktiviti di dalam dan di luar sekolah, secara langsung atau tidak.
Katanya, elemen 'Selamat' memastikan persekitaran sekolah aman, tenteram dan terpelihara daripada ancaman serta bahaya, manakala 'Sihat' memastikan penjagaan kesihatan fizikal dan mental khususnya dalam aspek pemakanan serta kebersihan diri dan persekitaran.
"Dalam menjayakan konsep Sekolahku SEJAHTERA ini, peranan guru bukan hanya tertumpu menyampaikan ilmu kepada murid, tetapi juga membimbing murid membentuk keperibadian unggul.
"Saya yakin generasi yang dilahirkan oleh guru ini bukan sahaja berilmu pengetahuan, tetapi turut memiliki nilai sahsiah dan berkemahiran tinggi yang seterusnya dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan negara," katanya.
Beliau turut berharap penghayatan terhadap tema Hari Guru tahun ini meningkatkan usaha golongan pendidik untuk membentuk keperibadian murid daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
"Guru adalah ikon penting yang diamanahkan untuk mendidik, mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid yang berkeperibadian unggul.
"Penerapan elemen SEJAHTERA secara semula jadi sejak dari peringkat awal persekolahan akan dijadikan amalan dalam kehidupan mereka dan seterusnya diwarisi generasi berikutnya," katanya.
Radzi turut meminta guru terus bersatu hati dan bertekad untuk memartabatkan profesion keguruan demi pendidikan generasi pewaris negara.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment