Friday 17 June 2022

JPN PULAU PINANG CATATJPN PULAU PINANG CATAT REKOD MBOR PUISI TERBANYAK HARI GURU REKOD MBOR PUISI TERBANYAK HARI GURU

Foto hiasan

KEPALA BATAS: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang berjaya mengumpulkan 16,200 puisi berkaitan Hari Guru, untuk direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penghasilan puisi terbanyak berkaitan Hari Guru.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata semua puisi itu dihasilkan oleh pelajar sekolah di seluruh negeri ini sejak 19 Mei lalu hingga semalam.

"Pada mulanya, sasaran kami ialah mengumpulkan 6,000 puisi saja dalam tempoh sebulan untuk direkodkan dalam MBOR, sempena sambutan Hari Guru Peringkat Pulau Pinang yang diraikan, hari ini (semalam).

"Ini adalah inisiatif pihak jabatan untuk direkodkan dalam MBOR. Alhamdulillah, sambutan diterima sangat menggalakkan, iaitu sebanyak 16,200 puisi berkaitan Hari Guru berjaya dikumpulkan hingga kini.

"Jumlah itu telah berjaya melayakkan untuk direkodkan dalam MBOR sebagai puisi terbanyak berkaitan Hari Guru. Ini adalah kali kedua JPN Pulau Pinang mencatat rekod dalam MBOR, termasuk bilangan kek terbanyak sempena Hari Guru pada tahun lalu," katanya.

Abdul Rashid ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Apresiasi dan Penutupan Sambutan Hari Guru Peringkat Pulau Pinang 2022, di sini, malam tadi.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

Pada majlis itu, Reezal Merican turut mengumumkan pemberian hadiah tambahan berupa tiket penerbangan untuk menunaikan umrah, kepada Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Pulau Pinang 2022.

Reezal Merican berkata, hadiah itu adalah tanda penghormatan beliau dalam menghargai jasa dan pengorbanan semua guru yang selama ini mencurahkan ilmu serta pendidikan kepada pelajar.

Bekas Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan Dan Pengurusan) Pulau Pinang, Ismail Mohd Said, 62, dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Guru peringkat Pulau Pinang.

Bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Jam Mohamed, 61, menerima anugerah Tokoh Kepimpinan peringkat Pulau Pinang.

Selain menerima tiket penerbangan menunaikan umrah, kedua-dua tokoh itu turut menerima selendang, pingat, cenderamata dan sijil anugerah. 

BERNAMA ONLINE


No comments:

Post a Comment