Wednesday, 8 June 2022

PBS LEBIH INKLUSIF, MENYELURUH NILAI PELAJAR

KUALA LUMPUR: Kaedah pembelajaran baharu menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat lebih inklusif dan menyeluruh dalam menilai potensi sebenar pelajar di peringkat sekolah untuk membina generasi baharu yang hebat.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Kokurikulum), Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata penilaian menerusi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) mampu memberi indikasi tepat bagi pencapaian dan kelemahan pelajar.

Beliau berkata, pentaksiran berdasarkan tiga komponen itu melalui proses pembelajaran secara berterusan (formatif) dan peperiksaan akhir tahun membolehkan guru serta ibu bapa mengambil langkah intervensi bagi memperkasa pencapaian pelajar.

"Guru akan memberi ulasan dan penilaian berdasarkan pencapaian serta usaha anak murid dalam sesuatu mata pelajaran. Ia akan dihimpunkan oleh guru kelas menjadi satu bentuk laporan penilaian kepada guru dan ibu bapa.

"Sama juga dengan PAJSK, dari segi pembabitan sukan, kokurikulum, pertandingan, semua akan dinilai dan diberi gred.

"Setiap murid akan ada laporan penilaian bersifat tulen. Jadi, ibu bapa akan tahu anaknya menguasai mata pelajaran apa, kemahirannya dan apa perlu ditambah, sama juga kepada pendidik murid itu di peringkat seterusnya," katanya ketika mengulas topik Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Tahun 2022 dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan ujian PT3 yang diperkenal pada 2014 dimansuhkan mulai tahun ini.

PT3 sebelum ini tidak dilaksana pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik COVID-19.

Pada April tahun lalu, Radzi mengumumkan pemansuhan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021, sekali gus memberi tumpuan terhadap pemerkasaan PBS, manakala kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sebagainya mulai 2022 adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Pkharuddin berkata usaha itu juga mampu memantapkan sistem pendidikan negara ke tahap lebih berkualiti dengan adanya standard baharu menerusi pelaksanaan Bank Soalan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan menghimpunkan soalan berkualiti daripada guru di seluruh negara.

Mengulas persediaan KPM mendepani perubahan baharu itu dalam sistem pendidikan, beliau berkata, panduan pentaksiran untuk guru dan kesiapsiagaan di peringkat struktur sudah dilaksana.

"Dari segi struktur, kita sudah ada pegawai kokurikulumnya, mereka akan bantu guru tafsir. Kita ada pelatih untuk beri bimbingan kepada guru. Panduan dan dokumen juga kita sudah ada. Benar, mungkin ada cabaran tetapi saya yakin guru kita mempunyai keupayaan tinggi.

"Guru kita boleh dilatih dan diberi kemahiran baharu dan saya yakin mereka akan menjaga integriti untuk tafsir. Apabila kita sudah lihat penilaian formatif dan sumatif itu, ketika itu saya yakin ibu bapa akan sedar sistem dan pelaporan yang baharu ini jauh lebih berkualiti," katanya.

Pkharuddin berkata, PBS bukan saja mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran menyeronokkan kepada pelajar dengan pendekatan bersifat eksplorasi, malah berpotensi melahirkan generasi berkeyakinan tinggi.

Beliau berkata, sistem pendidikan di negara maju seperti Finland, Jepun, Australia dan New Zealand juga memfokus kepada pembentukan sahsiah murid dari peringkat awal, pembelajaran melalui eksplorasi, inkuiri dan berasaskan projek bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif serta inovatif.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment