Tuesday, 26 July 2022

648 GURU DI MELAKA ALAMI TEKANAN, KEMURUNGAN

EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.

AYER KEROH: Seramai 648 daripada 13,976 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat menyebabkan sebahagian besar daripada mereka mengambil keputusan untuk bersara awal.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dimaklumkan, keadaan itu dikesan selepas golongan terbabit menjawab saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS), yang diambil secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata saringan yang dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan negeri bertujuan mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru di negeri itu.

Beliau berkata, susulan itu, beberapa tindakan diambil untuk memulihkan keadaan itu seperti kaunseling dan melaksanakan Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A (sedar dan peka tindak) kepada semua warga Jabatan Pendidikan negeri.

"Turut dilaksanakan adalah Program Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi (3PI), antaranya Program Literasi Kewangan, Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Program Pementoran, Program Mutiara (prestasi sederhana dan rendah) dan Intervensi Guru Positif COVID-19," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau), mengenai punca kebanyakan guru mengambil tindakan bersara awal di Melaka.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) mengenai peruntukan untuk menaik taraf dan pembaikan sekolah di Melaka, Dr Muhamad Akmal berkata, sekolah baharu akan dibina jika sekolah sedia ada sudah mencapai bilangan bilik darjah fizikal 36 bagi sekolah rendah dan 42 bilik darjah bagi sekolah menengah.

Katanya, langkah yang sama juga akan dilaksanakan jika sekolah sedia ada tidak ada lagi kawasan untuk pembinaan bangunan baharu.

"Kementerian Pendidikan hanya memberi fokus kepada pembinaan sekolah kerajaan sahaja.

"Mengikut rekod, permohonan projek baharu yang akan diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah Pusat Tingkatan Enam di Bachang, Serkam dan Ayer Limau, diikuti menaik taraf bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu di Sungai Rambai serta menaik taraf bangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok, Jasin.

"Turut diberi tumpuan, bangunan tambahan enam bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Kampung Tengah, pembinaan bangunan baharu 24 bilik darjah dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Berendam, pembinaan bangunan tambahan 12 bilik darjah di SK Telok Berembang, pembinaan padang permainan SK Air Baruk, SK Batu Berendam dan SK Ayer Molek," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 20 July 2022

TRANSFORMASI PENDIDIKAN PENTING TANGANI ISU KECICIRAN MURID

Foto hiasan

Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) amat memberi perhatian kepada pelaksanaan pendidikan untuk semua dengan membangunkan pelbagai dasar dan garis panduan dengan matlamat merapatkan jurang pendidikan antara komuniti bandar, luar bandar dan pedalaman bagi mengelakkan keciciran pendidikan dalam kalangan kanak- kanak.

Tindakan kerajaan ini bagi memastikan semua kanak-kanak, tanpa mengira jantina, lokasi, latar belakang sosioekonomi atau etnik mendapat akses serta dapat menamatkan pendidikan sekurang-kurangnya peringkat rendah.

Sejak 2012, kerajaan melaksanakan dasar pendidikan percuma. Golongan sasaran khususnya B40, iaitu golongan pendapatan keluarga di bawah gaji bulanan minimum membabitkan kanak-kanak daripada keluarga atau penempatan miskin bandar, luar bandar dan pinggir bandar, kanak-kanak Orang Asli dan tidak berdokumen serta kanak-kanak tinggal di ladang serta pelarian.

Semua kelompok kanak-kanak ini diberi dan disediakan pendidikan percuma lagi berkualiti dalam semua bidang dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti biasiswa, bantuan persekolahan termasuk rancangan makanan tambahan (RMT). Namun, isu keciciran pendidikan kanak-kanak masih berlaku dan diperbincangkan.

Di antara faktor berlaku keciciran ini adalah tahap sosioekonomi keluarga, pengaruh latar belakang sosioekonomi keluarga berasaskan pendapatan isi rumah, pekerjaan ibu bapa, tahap pendidikan ibu bapa dan lokasi tempat tinggal.

Pendapatan rendah jejas pendidikan

Pendapatan keluarga yang rendah antara faktor memberikan impak terhadap proses pendidikan anak. Ini menyebabkan keperluan untuk ibu bapa mempertimbangkan kewangan bagi keperluan asas lebih penting bagi menjamin kelangsungan hidup.

Menurut data dikeluarkan Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi Malaysia (IDEAS) pada 2017, hampir 60 peratus pelajar tercicir adalah daripada keluarga berpendapatan rendah.

Masalah kewangan ini menjadi hambatan kepada majoriti ibu bapa berpendapatan rendah dalam menyediakan kemudahan pendidikan sempurna sehingga mengakibatkan murid terpaksa bekerja bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Ini menyebabkan keciciran murid ke sekolah.

Faktor minat dan motivasi murid turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehadiran ke sekolah. Minat dan tingkah laku sangat mempengaruhi kepantasan murid belajar dan menguasai sesuatu topik.

Sekiranya murid mempunyai sikap positif seperti mengetahui keperluan dan kepentingan pembelajaran, maka mereka akan cuba menguasainya dengan pelbagai cara.

Murid yang berminat dengan apa dipelajari kebiasaannya menunjukkan pencapaian akademik lebih tinggi dan cenderung menguasai kandungan pelajaran berbanding pelajar kurang berminat.

Elemen motivasi dalam kalangan murid akan mendorong mereka untuk melakukan sesuatu memberi impak kepada proses pembelajaran dilalui. Namun sekiranya wujud asas motivasi rendah termasuk wujud gejala sosial akhirnya membawa kepada keciciran dari sekolah seperti merokok, mengambil dadah, tekanan jiwa, masalah jenayah dan masalah mental.

Faktor keciciran murid ini juga boleh dianalisis daripada aspek faktor budaya dan persekitaran, kaedah pengajaran guru serta pengaruh rakan sebaya.

Pengaruh budaya dan persekitaran adakala membentuk asas pemikiran pembelajaran sebagai membosankan dan menyukarkan. Ini ditambah peluang pekerjaan memperoleh pendapatan dengan lebih pantas berbanding datang ke sekolah, turut menyumbangkan permasalahan ini.

Selain itu, kaedah pengajaran guru yang masih berorientasikan kaedah tradisional menyebabkan pelajar kurang berminat belajar. Sebahagian besar murid akan tertarik untuk belajar jika guru memainkan peranan penting di dalam kelas.

Guru amat berperanan meningkatkan minat pelajar dengan memberikan kaedah tepat dalam melakukan aktiviti pembelajaran di kelas. Guru seharusnya kreatif dan sentiasa mengikuti arus media sosial seperti TikTok, Facebook dan sebagainya dalam memberikan ilmu pada pelajar.

Anjakan paradigma kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat berupaya menarik minat murid untuk meneroka ilmu dengan lebih mendalam. Justeru, bagi menangani isu keciciran kanak-kanak ini, terdapat beberapa pendekatan dan cadangan mungkin wajar dipertimbangkan.

Antaranya, KPM dan sekolah perlu memberikan pendedahan kepada ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan untuk anak. Ibu bapa perlu didedahkan bahawa pendidikan formal mampu membantu anak berjaya dalam pelajaran dan membantu mengubah nasib keluarga mereka pada masa hadapan.

Selain itu, kerjasama di antara pihak sekolah dan ibu bapa perlu ditingkatkan seperti pertemuan pada hari interaksi, menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membincangkan prestasi pembelajaran anak mereka.

Terdapat sekolah mengambil inisiatif menghubungi ibu bapa atau penjaga bagi mengesahkan kehadiran persekolahan anak, menganjurkan aktiviti ziarah sekolah dari semasa ke semasa, menyediakan perkhidmatan kaunseling dan motivasi.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah antara pendekatan berkesan bagi mengurangkan isu keciciran dalam kalangan murid sekolah.

Pelbagai program bantuan untuk murid dilaksanakan menerusi pelan ini seperti bantuan buku teks, RMT, program susu untuk pelajar, perkhidmatan kaunselor berfokus dan program guru pemulihan untuk membantu murid yang lemah dari segi akademik. Bantuan disalurkan KPM ini sedikit sebanyak berupaya meringankan beban ibu bapa menampung kos pendidikan mereka.

Mempelbagaikan program pendidikan

KPM setakat ini melaksanakan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mempelbagaikan program pendidikan bagi mengurangkan masalah keciciran antaranya Program Perantisan Industri Menengah (PIMA) iaitu program aliran kemahiran di sekolah menengah dilaksanakan antara KPM dan institusi industri atau latihan.

Inisiatif pelaksanaan program ini adalah usaha membantu mengurangkan keciciran dalam kalangan pelajar sekolah menengah tidak berminat dalam bidang akademik serta alternatif melanjutkan pelajaran melalui latihan industri serta akademik.

Dari sudut keupayaan pengajaran guru, terdapat kepelbagaian kaedah boleh digunakan di bilik darjah bagi meningkatkan tahap pembabitan murid. Penggunaan bahan bantu mengajar seperti penggunaan teknologi terkini, carta, gambar, dan graf adalah sebahagian daripada usaha membentuk bilik darjah kondusif dan menyeronokkan.

Proses pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) ketika negara di landa pandemik COVID-19 juga antara pendekatan boleh mengatasi keciciran.

Kesimpulannya, sistem pendidikan negara perlu melihat kepada transformasi pendekatan bertepatan dengan keperluan setempat dengan mengambil kira keadaan budaya, lokaliti dan nilai yang wujud.

Keperluan dalam merapatkan jurang pendidikan boleh dicapai melalui usaha berterusan dan komitmen daripada semua pihak terutama ibu bapa, badan pertubuhan kerajaan (NGO), kumpulan masyarakat dan pelabur.

Dalam pada itu, KPM bukan sahaja perlu memberikan perhatian dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid, tetapi kebajikan dan keperluan sosial murid khususnya di luar bandar.

Dr Mohd Syaubari Othman
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan,
Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

BERITA HARIAN ONLINE

16,381 GURU PENGAMBILAN KHAS SUDAH MENGISI KEKOSONGAN DI SEKOLAH

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seramai 16,381 guru yang diambil melalui pengambilan khas sudah ditempatkan di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengisi kekosongan sedia ada.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata secara keseluruhannya, KPM mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG41 secara 'oneoff' pada Jun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, urusan lantikan dan penempatan 16,381 guru berkenaan sudah selesai dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

"Daripada jumlah terbabit, seramai 13,770 guru adalah lantikan secara tetap manakala 2,611 lantikan secara kontrak," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ma'Mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada pengambilan guru khas sudah dilaksanakan sepenuhnya.

Pada masa sama, Radzi berkata, KPM turut memperkenalkan kaedah kluster mata pelajaran bagi pengambilan guru secara 'one-off' supaya dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Beliau berkata, graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster yang sama.

"Penggunaan kluster mata pelajaran akan diteruskan dalam urusan pengambilan yang seterusnya...kluster yang digunakan ini akan sentiasa dinilai dan ditambah baik dari masa ke semasa," katanya.

Radzi berkata, KPM sememangnya ingin melaksanakan opsyen menugaskan guru di sekolah yang paling dekat dengan tempat asal mereka termasuk di Sabah.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya berdepan kesukaran kerana bekalan guru yang ada pada KPM tidak mengikut opsyen yang diperlukan.

"Kita mahu guru ditempatkan paling dekat (dengan tempat asal mereka) supaya isu pertukaran tidak berlaku pada masa depan namun ada opsyen tidak mengikut bekalan menyebabkan kita terpaksa mengambil guru dari negeri lain ke Sabah.

"Namun KPM sekarang melaksanakan urusan pertukaran secara bersama, maksudnya apabila ada pertukaran, ada juga kemasukan bagi mengatasi (kekosongan) atau meminimumkan kesannya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ma'Mun yang mempersoalkan mengapa tidak menugaskan guru berasal dari Sabah untuk mengajar di negeri itu bagi menangani isu pertukaran yang mengakibatkan kekosongan di sekolah.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 16 July 2022

1,000 SEKOLAH BAKAL DIPILIH TERIMA RANGKAIAN 5G


KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bakal memilih 1,000 sekolah di seluruh negara untuk menerima rangkaian 5G sekali gus memudahkan proses pengurusan dan pembelajaran di sekolah.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu 'lampu hijau' daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melaksanakan perancangan berkenaan.

Katanya, K-KOMM sudah berunding dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Digital Nasional Bhd (DNB) yang bersetuju melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di sekolah termasuk di luar bandar dan pedalaman.

"Setakat ini, kita sudah putuskan untuk memilih enam sekolah sebagai percubaan bagi menguji sama ada rangkaian 5G sesuai atau tidak untuk dilancarkan di instusi berkenaan.

"Kita akan pastikan bukan sahaja dalam kawasan sekolah, malah penempatan di sekitar sekolah juga mendapat manfaat sama menerusi pelaksanaan rangkaian internet terbabit.

"Bagi merealisasikan rancangan ini, syarat pertama ialah perlu ada kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) kerana pihaknya bertanggungjawab membuat penyambungan gentian optik," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan harga barang di Pasar Ketereh, di sini, hari ini.

Annuar berkata, SKMM dan DNB pula bersedia menyediakan peralatan rangkaian 5G, kini hanya tinggal keputusan daripada KPM untuk melakukan pelaksanaan berkenaan.

"Sekolah yang terpilih adalah bergantung kepada cadangan KPM tiada kira di bandar atau luar bandar, manakala pihak kami sudah bersedia untuk memulakan pelan ini pada bila-bila masa sahaja.

"Rangkaian 5G yang diwujudkan di sekolah diharap dapat membantu bukan sahaja pihak pengurusan tetapi proses pembelajaran agar lebih baik sejajar dengan kemajuan teknologi masa kini.

"Segala perancangan ini hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan KPM kerana sekolah yang ada di seluruh negara adalah di bawah tanggungjawab kementerian terbabit, manakala K-KOMM membantu daripada segi pembangunan komunikasi," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Monday, 4 July 2022

PERBETULKAN NARATIF PENGAJARAN SEJARAH DI SEKOLAH

Foto hiasan

Kejayaan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mencatat kutipan lebih RM23 juta dalam tempoh tujuh hari tayangan tentu janggal sekiranya digandingkan dengan laporan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai kira-kira 10 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 gagal dalam mata pelajaran Sejarah.

Laporan itu mencatatkan daripada 407,097 calon SPM, 11.91 peratus gagal mendapatkan sijil kerana gagal mata pelajaran wajib termasuk Sejarah.

Keadaan ini sungguh membimbangkan kerana ia dapat dimanifestasikan kepada kecenderungan kira-kira 11.91 peratus calon SPM untuk gagal dan tidak menyukai mata pelajaran Sejarah.

Sememangnya KPM perlu terus tegas mempertahankan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam SPM kerana kegagalan golongan belia sekurang-kurangnya memahami sejarah (melalui mata pelajaran diajar di sekolah) bakal menyebabkan penghakisan semangat patriotik dan perpaduan.

Bagaimanapun, jumlah peratusan gagal itu dijadikan alasan kepada sesetengah pihak untuk mendakwa mata pelajaran berkenaan membosankan.

Melihatkan kejayaan tayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan pula, alasan golongan muda tidak sukakan sejarah tentu tidak selari dengan sambutan dan kehadiran mereka dengan busana tradisional untuk menontonnya tentu boleh dijadikan petunjuk kecenderungan sebenar terhadap jati diri bangsa.

Oleh itu, kegagalan 11.91 peratus calon SPM 2021 dalam mata pelajaran Sejarah itu boleh ditafsirkan sebagai kegagalan membangkitkan keghairahan golongan belia untuk mempelajari subjek itu secara akademik, tetapi minat dan kecenderungan sebenar terhadap sejarah dan jati diri di luar konteks akademik adalah sangat tinggi.

Justeru memandangkan KPM dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan intervensi bagi mengurangkan kegagalan calon SPM dalam mata pelajaran Sejarah, dicadangkan tumpuan diberikan kepada membangunkan pendekatan pengajaran kepada guru supaya penyampaian dan pengajaran mampu menarik minat pelajar.

Mata pelajaran Sejarah tidak boleh lagi menjadi pembelajaran mengingati tarikh penting, sebaliknya menonjolkan sifat keperwiraan direkodkan tokoh terkandung dalam lipatan sejarah.

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka umpamanya diingati dari sudut tarikh dan kejayaan Portugis menawan Kota Melaka, namun wira bermati-matian mempertahankan kota berkenaan tidak pernah diketahui dalam buku teks Sejarah.

Oleh itu, naratif pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sejarah perlu diperbetulkan kerana perlu diakui terdapat kelemahan cara terkini mata pelajaran itu yang boleh diperbaiki.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sendiri bersedia bersama-sama KPM untuk menyumbang tenaga dan idea memperbaiki kelemahan berkenaan. Ini kerana mata pelajaran Sejarah perlu diperkasakan bagi memastikan masa depan Malaysia sebagai negara pada masa hadapan terus lestari dan berdaulat.

Mohd Fauzi Fadzil
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Belia Malaysia (MBM)

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 2 July 2022

KAEDAH EMOGINASI TARIK MINAT PELAJAR

Foto hiasan

Imaginasi membolehkan seseorang melihat, mendengar dan merasakan sesuatu melangkaui dunia sebenar, sekali gus memperluaskan persepsi, kefahaman, pandangan serta gambaran berdasarkan simbol serta apa yang bermakna di sekeliling kita.

Dalam pendidikan, manusia yang tidak mampu berimaginasi akan mematikan proses pendidikan daripada berkembang kerana imaginasi mendorong pencarian jawapan dan kebenaran melalui perkembangan ilmu serta pendidikan.

Namun, pembelajaran hanya berasaskan emosi tidak dapat dibuat sekiranya guru disuruh memasukkan elemen itu dalam aktiviti pengajaran. Kefahaman guru terhadap sesuatu yang hendak disampaikan kepada pelajar mesti melangkaui fakta dan kefahaman semata-mata.

Guru adalah kunci untuk merangsang minat pelajar melalui gabungan antara emosi dengan imaginasi, sekali gus mewujudkan kaedah 'emoginasi'.

Kaedah ini mewujudkan suasana pembelajaran menumpukan konteks emosi menarik dalam kelas. Peraturan utama adalah mengenal pasti unsur emosi dalam setiap topik pembelajaran.

Bagi memaksimumkan pembabitan dan pembelajaran pelajar, guru perlu mengenal pasti topik membangkitkan rasa ingin tahu mereka. Pada satu peringkat, pelajar akan mengetahui sejauh manakah minat dan penguasaan guru itu sendiri.

Semangat guru dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk belajar. Dalam kaedah ini, kebersamaan melalui penjiwaan guru dengan kurikulum dianggap pusat kepada pengajaran berkesan.

Ini bukan pilihan sebenarnya, sebaliknya langkah perlu diambil guru bagi memastikan proses pembelajaran akan lebih bermakna.

Pembabitan emosi guru dengan topik kurikulum adalah bahagian penting dalam semua pengajaran baik.

Gaya pengajaran ini akan dapat melahirkan pelajar sentiasa berfikir kreatif, kritis dan konstruktif, selain sentiasa mengambil kira pendapat serta pandangan orang lain kerana setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri.

Melalui kepelbagaian itu, wujud kesedaran setiap individu mempunyai ilmu dan nilai boleh dipelajari serta dikongsi.

Melalui pembelajaran imaginatif, pelajar akan terbabit secara langsung, seterusnya menimbulkan kesedaran dan minat untuk mendapatkan ilmu serta pengetahuan berkaitan kerana merasakan sesuatu dipelajari adalah sebahagian daripada diri dan kehidupan.

Sumber memperoleh pengetahuan amat mudah melalui perkembangan teknologi maklumat hingga kadangkala ilmu tidak lagi dianggap berharga kerana terlalu mudah diperoleh melalui penggunaan telefon pintar.

Oleh itu, bagi memastikan proses pembelajaran lebih menarik dan berkesan, tumpuan domain efektif berbanding domain kognitif yang selama ini dijadikan asas proses pembelajaran perlu diberi perhatian.

Sejarah kehidupan manusia membuktikan kehebatan tindakan manusia berkait rapat dengan sentuhan emosi dan perasaan seseorang.

Oleh itu, guru perlu berupaya mengaitkan emosi, perasaan dan diri pelajar itu sendiri dengan setiap perkara akan dipelajari.

Guru tidak perlu lagi memaksa pelajar untuk belajar kerana melalui pembelajaran imaginatif potensi dan minat dapat dirangsang, seterusnya mereka sendiri berusaha meneroka bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan ditimbulkan guru.

Ini akan mengaktifkan daya imaginasi pelajar, seterusnya melalui daya imaginasi inilah mendorong mereka mempelajari sesuatu perkara itu, sekali gus selari dengan perkembangan ilmu pedagogi yang lebih realistik dan berimpak.

Oleh itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan emosi dan imaginasi menjadi proses pembelajaran perlu diberi perhatian bagi semua peringkat pendidikan.

Gaya pembelajaran ini juga sesuai digunakan untuk semua mata pelajaran kerana setiap ilmu berkaitan secara langsung dengan kehidupan dan manusia merangkumi aspek akal, jiwa dan perasaan.

Dr Azli Ariffin
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan
Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI


BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 1 July 2022

TAKLIMAT PENGISIAN BORANG PEROLEHAN BUKU

Taklimat Pengisian Borang Perolehan Buku untuk Jabatan & Unit IPGKTB telah diadakan pada 1 Julai 2022.

Program ini bertujuan untuk memastikan perolehan Perpustakaan Za'ba adalah terkini mengikut keperluan wajib bagi para pelajar IPG.

Ini adalah untuk memastikan bahan pengajaran & pembelajaran adalah terkini dan komprehensif selaras dengan Pembelajaran Abad ke 21 (PAK 21)

Selain daripada itu, program ini juga bertujuan untuk penyeragaman prosedur berdasarkan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Sistem Pengurusan Organisasi Pendidikan (EOMS)