Saturday 16 July 2022

1,000 SEKOLAH BAKAL DIPILIH TERIMA RANGKAIAN 5G


KOTA BHARU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bakal memilih 1,000 sekolah di seluruh negara untuk menerima rangkaian 5G sekali gus memudahkan proses pengurusan dan pembelajaran di sekolah.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu 'lampu hijau' daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melaksanakan perancangan berkenaan.

Katanya, K-KOMM sudah berunding dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Digital Nasional Bhd (DNB) yang bersetuju melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di sekolah termasuk di luar bandar dan pedalaman.

"Setakat ini, kita sudah putuskan untuk memilih enam sekolah sebagai percubaan bagi menguji sama ada rangkaian 5G sesuai atau tidak untuk dilancarkan di instusi berkenaan.

"Kita akan pastikan bukan sahaja dalam kawasan sekolah, malah penempatan di sekitar sekolah juga mendapat manfaat sama menerusi pelaksanaan rangkaian internet terbabit.

"Bagi merealisasikan rancangan ini, syarat pertama ialah perlu ada kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) kerana pihaknya bertanggungjawab membuat penyambungan gentian optik," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan harga barang di Pasar Ketereh, di sini, hari ini.

Annuar berkata, SKMM dan DNB pula bersedia menyediakan peralatan rangkaian 5G, kini hanya tinggal keputusan daripada KPM untuk melakukan pelaksanaan berkenaan.

"Sekolah yang terpilih adalah bergantung kepada cadangan KPM tiada kira di bandar atau luar bandar, manakala pihak kami sudah bersedia untuk memulakan pelan ini pada bila-bila masa sahaja.

"Rangkaian 5G yang diwujudkan di sekolah diharap dapat membantu bukan sahaja pihak pengurusan tetapi proses pembelajaran agar lebih baik sejajar dengan kemajuan teknologi masa kini.

"Segala perancangan ini hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kelulusan KPM kerana sekolah yang ada di seluruh negara adalah di bawah tanggungjawab kementerian terbabit, manakala K-KOMM membantu daripada segi pembangunan komunikasi," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment