Imaginasi membolehkan seseorang melihat, mendengar dan merasakan sesuatu melangkaui dunia sebenar, sekali gus memperluaskan persepsi, kefahaman, pandangan serta gambaran berdasarkan simbol serta apa yang bermakna di sekeliling kita.
Dalam pendidikan, manusia yang tidak mampu berimaginasi akan mematikan proses pendidikan daripada berkembang kerana imaginasi mendorong pencarian jawapan dan kebenaran melalui perkembangan ilmu serta pendidikan.
Namun, pembelajaran hanya berasaskan emosi tidak dapat dibuat sekiranya guru disuruh memasukkan elemen itu dalam aktiviti pengajaran. Kefahaman guru terhadap sesuatu yang hendak disampaikan kepada pelajar mesti melangkaui fakta dan kefahaman semata-mata.
Guru adalah kunci untuk merangsang minat pelajar melalui gabungan antara emosi dengan imaginasi, sekali gus mewujudkan kaedah 'emoginasi'.
Kaedah ini mewujudkan suasana pembelajaran menumpukan konteks emosi menarik dalam kelas. Peraturan utama adalah mengenal pasti unsur emosi dalam setiap topik pembelajaran.
Bagi memaksimumkan pembabitan dan pembelajaran pelajar, guru perlu mengenal pasti topik membangkitkan rasa ingin tahu mereka. Pada satu peringkat, pelajar akan mengetahui sejauh manakah minat dan penguasaan guru itu sendiri.
Semangat guru dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk belajar. Dalam kaedah ini, kebersamaan melalui penjiwaan guru dengan kurikulum dianggap pusat kepada pengajaran berkesan.
Ini bukan pilihan sebenarnya, sebaliknya langkah perlu diambil guru bagi memastikan proses pembelajaran akan lebih bermakna.
Pembabitan emosi guru dengan topik kurikulum adalah bahagian penting dalam semua pengajaran baik.
Gaya pengajaran ini akan dapat melahirkan pelajar sentiasa berfikir kreatif, kritis dan konstruktif, selain sentiasa mengambil kira pendapat serta pandangan orang lain kerana setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri.
Melalui kepelbagaian itu, wujud kesedaran setiap individu mempunyai ilmu dan nilai boleh dipelajari serta dikongsi.
Melalui pembelajaran imaginatif, pelajar akan terbabit secara langsung, seterusnya menimbulkan kesedaran dan minat untuk mendapatkan ilmu serta pengetahuan berkaitan kerana merasakan sesuatu dipelajari adalah sebahagian daripada diri dan kehidupan.
Sumber memperoleh pengetahuan amat mudah melalui perkembangan teknologi maklumat hingga kadangkala ilmu tidak lagi dianggap berharga kerana terlalu mudah diperoleh melalui penggunaan telefon pintar.
Oleh itu, bagi memastikan proses pembelajaran lebih menarik dan berkesan, tumpuan domain efektif berbanding domain kognitif yang selama ini dijadikan asas proses pembelajaran perlu diberi perhatian.
Sejarah kehidupan manusia membuktikan kehebatan tindakan manusia berkait rapat dengan sentuhan emosi dan perasaan seseorang.
Oleh itu, guru perlu berupaya mengaitkan emosi, perasaan dan diri pelajar itu sendiri dengan setiap perkara akan dipelajari.
Guru tidak perlu lagi memaksa pelajar untuk belajar kerana melalui pembelajaran imaginatif potensi dan minat dapat dirangsang, seterusnya mereka sendiri berusaha meneroka bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan ditimbulkan guru.
Ini akan mengaktifkan daya imaginasi pelajar, seterusnya melalui daya imaginasi inilah mendorong mereka mempelajari sesuatu perkara itu, sekali gus selari dengan perkembangan ilmu pedagogi yang lebih realistik dan berimpak.
Oleh itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan emosi dan imaginasi menjadi proses pembelajaran perlu diberi perhatian bagi semua peringkat pendidikan.
Gaya pembelajaran ini juga sesuai digunakan untuk semua mata pelajaran kerana setiap ilmu berkaitan secara langsung dengan kehidupan dan manusia merangkumi aspek akal, jiwa dan perasaan.
Dr Azli Ariffin
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan
Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment