Friday 23 September 2022

SISTEM REKOD DATA MURID KURANGKAN BEBAN GURU

Radzi Jidin berswafoto bersama kakitangan Kementerian Pendidikan pada Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Kompleks E hari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan sistem rekod data murid bermula hujung tahun ini bagi meringankan beban guru kerana tidak lagi perlu memasukkan data yang sama berulang kali dalam sistem berlainan.

Dengan pelaksanaan sistem berkenaan, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak lagi boleh semak atau meminta pemarkahan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) daripada guru.

"Pihak kami ada terima aduan daripada guru bahawa semasa masukkan pemarkahan kepada PPD, mula-mula masukkan data berkenaan dalam templat yang disediakan oleh peringkat sekolah, selang beberapa hari atau minggu, PPD pula minta supaya masukkan dalam sistem mereka, tak lama kemudian KPM pula minta masukkan data dalam sistem berlainan.

"Jadi selepas perbincangan, kita mahu sediakan satu platform khusus supaya guru di seluruh negara untuk masukkan markah PBD itu dalam satu platform sahaja.

"Jadi selepas ini PPD tidak dibenarkan untuk mendapatkan maklumat berkenaan dan kita mahukan semua perkara diselaraskan. Sekiranya ada maklumat yang diperlukan oleh JPN atau PPD, kita akan membenarkan dengan kawalan akses tertentu," katanya hari ini.

Sistem rekod data itu adalah satu platform untuk guru memasukkan markah PBD pelajar Tahun Empat, Lima, Enam dan Tingkatan Satu, Dua dan Tiga.

Radzi berkata, 'kerahsiaan' data pemarkahan murid itu sudah lama diputuskan, justeru sepatutnya PPD tidak dibenarkan meminta maklumat berkenaan daripada guru.

"Malah, kita juga mahu mengelakkan pihak PPD ini menggunakan data berkenaan untuk membuat perbandingan sekolah mana dalam daerah itu paling bagus dan sebagainya.

"Sekiranya maklumat itu masih boleh diakses, ia akan kembalikan kita ke pusingan asal sebelum ini di mana perbandingan dibuat antara sekolah sekali gus menimbulkan tekanan kepada sistem seolah-olah ujian akhir tahun ini adalah satu penanda aras yang ingin dilaksanakan," katanya.

Pelaksanaan sistem itu nanti dapat meningkatkan kecekapan tugasan guru dan sistem pendidikan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, menerusi data yang dimasukkan dalam sistem khas itu, pihaknya dapat mengenal pasti sekiranya sesebuah sekolah itu memerlukan intervensi bersesuaian kementerian.

"Bila kita dapat data seluruh negara, kita boleh cerakinkan data ini mengikut negeri, PPD, kawasan dan sebagainya untuk kita lihat sekiranya perlu mendapat intervensi.

"Katakanlah satu PPD ni kadang-kadang sekolah itu subjek Bahasa Inggerisnya jauh ketinggalan daripada yang lain, mungkin kerana tidak ramai guru Bahasa Inggeris di kawasan berkenaan.

"Jadi kita boleh perincikan, cerakinkan mengikut keperluan kita, ...melalui data itu ia membolehkan kita menyusun apakah intervensi yang bersesuaian," katanya.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment