Peserta pendakian kalangan guru dan pelajar gembira selepas berjaya menawan puncak dalam aktiviti Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022.
SEREMBAN: Seramai 459 individu terdiri daripada guru, siswa jurusan pendidikan dan pelajar sekolah berjaya menawan 11 puncak gunung dan bukit secara berasingan di seluruh negara dalam Misi Pendakian Merdeka i-Guru 2022, semalam.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata pendakian secara serentak itu membabitkan gunung dan bukit antaranya Bukit Suling, Pulau Pinang; Bukit Semanggol, Perak; Shah Alam Backyard Trail, Selangor; Bukit Kiara, Kuala Lumpur; Gunung Datuk, Melaka dan Bukit Batu Putih, Negeri Sembilan.
"Manakala terdapat dua bukit lagi ditawan pada hari Sabtu dan Ahad lalu iaitu Bukit Kechubung, Kedah dan Bukit Tunggal, Perak.
"Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan di lokasi adalah kibaran Jalur Gemilang serta laungan kemerdekaan," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, program pendakian itu dibuat sebagai simbolik kesungguhan warga guru mengangkat dunia pendidikan bagi mengukuhkan makna kemerdekaan negara.
"Ia adalah program yang julung kali diadakan bertujuan untuk mengajak warga guru dan pelajar bagi menghargai nikmat kemerdekaan negara di samping kesedaran terhadap kepentingan menjaga kecergasan fizikal," katanya.
Mohd Azizee berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan aktiviti sebagai acara tahunan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan pada masa depan dengan pembabitan lebih ramai peserta.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment