Friday, 28 April 2023

STROK HABA: JEMAAH MENTERI PERLU BINCANG CADANGAN LANJUT CUTI SEKOLAH - TPM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengingatkan rakyat agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan fenomena haba panas itu

PONTIAN, 28 April (Bernama) -- Jemaah Menteri harus berbincang sama ada cuti sekolah perlu dilanjutkan susulan fenomena haba panas yang melanda negara ketika ini sehingga menyebabkan dua kematian melibatkan kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bermesyuarat dan melaksanakan usaha penyelarasan dengan pelbagai kementerian serta jabatan yang berkaitan.

“Saya fikir itu (pelanjutan cuti sekolah) harus dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri... Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, kita telah mengkoordinasikan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan bukan sahaja untuk memantau tetapi juga membantu mereka yang terkena strok haba disebabkan perubahan cuaca ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Pontian di Benut di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan rakyat agar mengambil langkah berjaga-jaga susulan fenomena haba panas itu.

Beliau berkata KKM juga telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah yang timbul susulan fenomena itu.

“Kita menasihati rakyat di kawasan yang dilanda haba panas agar minum air lebih banyak... tetapi saya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi bahawa haba panas ini akan berakhir pada pertengahan Mei.

“Jadi saya berharap walaupun ini satu fenomena baharu tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil beberapa langkah kesihatan,” katanya.

Ahmad Zahid ditanya sama ada wujud keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah susulan kejadian strok haba dan langkah kerajaan dalam mengatasi fenomena haba panas ketika ini.

Sejak Rabu, terdapat dua kematian di Kelantan dipercayai akibat strok haba melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan.

BERNAMA ONLINE

Monday, 17 April 2023

PAPAN PINTAR INTERAKTIF ARVIA MEMPERTINGKATKAN USAHA PENDIGITALAN DALAM PENDIDIKAN NEGARA

Team Arvia dan Wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Inisiatif mempertingkatkan pendigitalan dalam pendidikan bakal menyaksikan pengenalan papan pintar interaktif dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah seluruh negara

Usaha awal disempurnakan baru-baru ini menerusi jalinan kerjasama antara penyedia terkemuka teknologi papan pintar Arvia, Israk Solutions Sdn Bhd (Israk Solutions) dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (WP) Putrajaya bagi mencipta pengalaman pengajaran yang inovatif dan menarik.

Seiring dengan kerjasama berkenaan, Arvia bakal menyediakan latihan berterusan menerusi program "Pendidik Bertauliah Arvia" bagi membantu guru dan pengguna mengintegrasikan teknologi papan pintar dalam pengajaran mereka dengan berkesan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Israk Solutions Sdn Bhd, Ahmad Najib Habeb, program berkenaan akan melengkapkan guru dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi terbabit sekali gus mencipta pengajaran yang dinamik dan menarik. 

 “Kerjasama antara Arvia dan Jabatan Pendidikan WP Putrajaya ini merupakan suatu langkah untuk mencapai matlamat mempertingkatkan usaha pendigitalan dalam pendidikan. 

“Integrasi teknologi papan pintar berkenaan berupaya untuk merevolusikan penyampaian kaedah pendidikan masa kini. Tekonologi papan pintar Arvia direka untuk menyediakan pengalaman interaktif dan menarik dalam kalangan pelajar bagi membolehkan mereka belajar dalam suasana yang menyeronokkan,” katanya. 

Padli mewakil SSTP JPWP Putrajaya berkata, bengkel latihan sudah dijalankan pada 22 Mac 2023 dengan kehadiran guru daripada beberapa sekolah sekitar Putrajaya yang mana sesi berkenaan membabitkan pengenalan dan pendedahan mengenai papan pintar Arvia. 

“Ini bagi memastikan bahawa wakil sekolah yang berminat untuk mempelajari selok-belok papan pintar terbabit sudah melihat dan mempunyai pengalaman mengendalikan papan pintar itu sendiri. Buat masa ini, papan pintar berkenaan hanya boleh didapati di Jabatan Pendidikan WP Putrajaya,” katanya.

Menurutnya, usaha ini akan dilakukan secara berterusan oleh Israk Solutions dan Jabatan Pendidikan bagi meneroka dan merasai pengalaman mengendalikan papan pintar. 

Ia akan membolehkan kedua-dua pihak mengumpul maklum balas dan pendapat daripada wakil sekolah membabitkan sebarang perkara yang dihadapi pihak sekolah. 

Beliau turut mengakui, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Arvia dalam memperkenalkan teknologi papan pintar kepada pihak jabatan serta sekolah di seluruh Putrajaya. 

“Keupayaan teknologi berkenaan berpotensi untuk merevolusikan cara pengajaran dan pembelajaran, dan kami berharap untuk melihat kesan positif terhadap sekolah dan golongan pelajar. 

“Kerjasama ini juga bermatlamat untuk membantu guru mengenal pasti dan memanfaatkan keupayaan teknologi papan pintar bagi membantu mereka dan pelajar dalam proses pembelajaran harian,” katanya. 

Beliau berkata, kerjasama berkenaan ternyata mengorak langkah penting dalam pendigitalan pendidikan di Malaysia. Menerusi usaha memanfaatkan teknologi papan pintar terkini dan program latihan berterusan, pendidik di negara ini termasuk di Putrajaya mampu meningkatkan pengalaman pembelajaran untuk pelajar dan menyediakan golongan ini untuk menempuh pelbagai cabaran dalam era digital. 

BERNAMA ONLINE


Wednesday, 12 April 2023

KPM AKAN PERLUAS KONSEP SEKOLAH BIMBINGAN JALINAN KASIH KE NEGERI LAIN - FADHLINA

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tiga, kiri) bergambar bersama Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan konsep Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri-negeri lain khususnya di Sabah dan Sarawak bagi memelihara pendidikan kanak-kanak jalanan dan terpinggir.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata SBJK menyediakan pendidikan formal untuk memelihara nasib kanak-kanak yang menghadapi masalah sosial, tanpa dokumen, tercicir dalam pelajaran dan yatim piatu.
"Insya-Allah kita melihat dalam jangka masa panjang untuk membuat perluasan kepada konsep sekolah ini di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak yang mempunyai isu-isu seperti ini khususnya yang terkait rapat dengan kanak-kanak tanpa dokumen dan golongan rentan," katanya kepada pemberita selepas majlis Iftar Santunan Kasih di SBJK di sini hari ini.

“Insya-Allah kita melihat dalam jangka masa panjang untuk membuat perluasan kepada konsep sekolah ini di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak yang mempunyai isu-isu seperti ini khususnya yang terkait rapat dengan kanak-kanak tanpa dokumen dan golongan rentan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Iftar Santunan Kasih di SBJK di sini hari ini.

Beliau berkata konsep pendidikan di sekolah itu tidak mengikut sistem pendidikan arus perdana, sebaliknya mengikut keperluan murid sekolah berkenaan, yang mengambil kira elemen kasih sayang dan akses kepada pendidikan formal.

Terdahulu pada majlis itu Fadhlina menyerahkan replika kunci kepada Penolong Kanan Pentadbiran SBJK Mohd Zafrol Abdullah sebagai simbolik penyerahan bangunan akademik fasa satu sekolah berkenaan.

Menurutnya sejumlah RM21 juta diperuntukkan bagi dua fasa pembangunan sekolah itu dengan RM13 juta untuk membangunkan bangunan akademik dalam fasa satu dan RM8 juta untuk membangunkan asrama pada fasa dua.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

BERNAMA ONLINE

KPM SENTIASA PROAKTIF SELESAI ISU LAMBAKAN GURU BIDANG PENDIDIKAN


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

KAJANG, 8 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pihaknya sentiasa proaktif dalam menyelesaikan lambakan siswazah dalam bidang pendidikan dengan mengadakan perbincangan dan perkongsian data dengan beberapa pihak yang terlibat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu dan satu unjuran lebih terancang sedang dilakukan.

“Perbincangan itu memang dilakukan secara progresif bukan soal surat tapi memang sudah dibuat perbincangan itu yang boleh saya kongsikan adalah bagaimana kita nak membuat tindakan yang lebih proaktif iaitu, satu perkongsian data, yang kedua unjuran lebih terancang sebab kita di KPM menguruskan graduan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Selain itu Kementerian Pendidikan Tinggi juga mempunyai fakulti pendidikan yang lain jadi unjuran dan perkongsian data ini penting, jadi boleh saya maklumkan sangat progresif,” katanya ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata Universiti Pendidikan Sultan Idris sendiri misalnya sedang bersama KPM dalam mendukung dan menyokong untuk memastikan isu graduan pendidikan serta penempatan guru tiada masalah selepas ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 semakin mengecil iaitu 0.03 mata berbanding tahun lepas.

“Jurang luar bandar dan bandar semakin mengecil menunjukkan anak-anak luar bandar semakin baik prestasi. Pelajar bandar meningkat manakala luar bandar lagi lebih meningkat menandakan anak luar bandar mendapat akses pendidikan yang menyamai atau hampir sama dengan anak-anak di bandar.

“Hal ini kerana mungkin kita sudah memperluaskan akses internet dan mereka boleh memperoleh bahan rujukan dalam talian dan ini mungkin antara puncanya,” katanya.

Beliau berkata sekiranya ini dapat diperkasakan lagi, jurang ini akan dikecilkan lagi dan semua mendapat akses pendidikan yang sama dan berkualiti.


BERNAMA ONLINE



Sunday, 9 April 2023

HADKAN MINIT MENGAJAR UNTUK KURANGKAN BEBAN GURU

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pihak sekolah disaran mengurangkan jadual minit mengajar guru di sekolah supaya fokus juga dapat diberikan kepada murid yang tidak hadir disebabkan jangkitan COVID-19.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik, berkata kaedah itu penting kerana ia dapat mengurangkan beban guru selain memastikan murid tidak tercicir dalam pembelajaran.

Katanya, sepanjang pandemik berlaku, guru-guru diakui sudah ada pengalaman dan kaedah ini boleh diguna pakai memandangkan kes jangkitan COVID-19 dilaporkan meningkat di institusi pendidikan.

"Guru-guru sekarang perlu menguasai dan mempunyai kebolehan tinggi untuk menguruskan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian kerana memang akan ada murid yang tidak hadir ke sekolah sebab masalah kesihatan ini.

"Bagaimanapun hak guru juga perlu diambil kira supaya mereka tidak terbeban dan pada masa sama hak murid tidak boleh dinafikan," katanya kepada BH, hari ini.

Baru-baru ini, BH melaporkan kes COVID-19 meningkat mendadak, dengan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.

Peningkatan kes dan kluster COVID-19 itu berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.

Jasni berkata, guru juga perlu bersedia untuk kembali kepada kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya kes COVID-19 terus meningkat mendadak.

"Ini kerana mungkin ramai murid tidak hadir ke sekolah akibat bergejala dan perlu direhatkan supaya ia tidak menular dan menjangkiti golongan rentan yang lain," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata seperti dijangka jangkitan COVID-19 akan meningkat disebabkan oleh tiada paksaan dalam pemakaian pelitup muka di tempat terbuka.

Katanya, bagi murid pula, mereka disarankan untuk kekal menggunakan pelitup muka sekiranya bergejala atau tidak hadir ke sekolah kerana bimbang ia akan menular kepada murid lain.

"Kita tidak begitu bimbang sekiranya ia dalam kategori satu dan dua, tetapi jika ia menjangkiti golongan rentan lain iaitu yang berada di kategori tiga, empat dan lima, ia boleh menyebabkan peningkatan kemasukan ke hospital.

"Saya juga ingin menggalakkan ibu bapa untuk mendapatkan dos lengkap vaksinasi kepada anak masing-masing dan sekolah lebih prihatin dengan murid yang mempunyai masalah kesihatan kronik," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 7 April 2023

PERMOHONAN UNTUK ISI 19,000 KEKOSONGAN GURU DIBUKA HARI INI


IPOH: Pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 tahun 2023 oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,000 kekosongan seluruh negara, bermula hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata Iklan Permohonan Guru 2023 akan dipaparkan selama dua minggu sahaja, mulai hari ini (7 April) hingga 21 April (Jumaat).

Beliau berkata, lantikan adalah secara tetap dan kontrak.

Pengambilan terbuka meliputi bagi jawatan guru tetap atau guru sementara khususnya bagi menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam.

Pengambilan kali ini turut dibuka kepada graduan universiti awam tanpa iktisas pendidikan, sekali gus disifatkan sebagai peluang keemasan kepada mereka yang berminat menjadi guru.

"Graduan bukan pendidikan juga boleh mengisi kekosongan guru kali ini, jadi graduan universiti awam yang tidak mengambil opsyen pendidikan pun kali ini boleh mohon menjadi guru.

"KPM sudah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang mana iklan mengenai pengambilan baharu ini akan dikeluarkan nanti.

"Jadi sesiapa yang berminat boleh memohon mulai hari ini melalui portal mySPP (https://myspp.spp.gov.my)," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam Tahun 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Ketika ini terdapat kekurangan 19,431 guru atau 4.49 peratus di seluruh negara membabitkan beberapa mata pelajaran termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis itu, beliau berkata antara faktor kekurangan guru KPM itu adalah berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan SPP untuk membuat pengambilan khususnya bagi menangani isu kekurangan guru bagi empat mata pelajaran berkenaan.

BERITA HARIAN ONLINE