Sunday 9 April 2023

HADKAN MINIT MENGAJAR UNTUK KURANGKAN BEBAN GURU

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pihak sekolah disaran mengurangkan jadual minit mengajar guru di sekolah supaya fokus juga dapat diberikan kepada murid yang tidak hadir disebabkan jangkitan COVID-19.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik, berkata kaedah itu penting kerana ia dapat mengurangkan beban guru selain memastikan murid tidak tercicir dalam pembelajaran.

Katanya, sepanjang pandemik berlaku, guru-guru diakui sudah ada pengalaman dan kaedah ini boleh diguna pakai memandangkan kes jangkitan COVID-19 dilaporkan meningkat di institusi pendidikan.

"Guru-guru sekarang perlu menguasai dan mempunyai kebolehan tinggi untuk menguruskan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian kerana memang akan ada murid yang tidak hadir ke sekolah sebab masalah kesihatan ini.

"Bagaimanapun hak guru juga perlu diambil kira supaya mereka tidak terbeban dan pada masa sama hak murid tidak boleh dinafikan," katanya kepada BH, hari ini.

Baru-baru ini, BH melaporkan kes COVID-19 meningkat mendadak, dengan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ketiga belas 2023 (ME13/2023), dari 26 Mac hingga 1 April lalu.

Peningkatan kes dan kluster COVID-19 itu berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu, serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah yang lalu.

Jasni berkata, guru juga perlu bersedia untuk kembali kepada kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya kes COVID-19 terus meningkat mendadak.

"Ini kerana mungkin ramai murid tidak hadir ke sekolah akibat bergejala dan perlu direhatkan supaya ia tidak menular dan menjangkiti golongan rentan yang lain," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata seperti dijangka jangkitan COVID-19 akan meningkat disebabkan oleh tiada paksaan dalam pemakaian pelitup muka di tempat terbuka.

Katanya, bagi murid pula, mereka disarankan untuk kekal menggunakan pelitup muka sekiranya bergejala atau tidak hadir ke sekolah kerana bimbang ia akan menular kepada murid lain.

"Kita tidak begitu bimbang sekiranya ia dalam kategori satu dan dua, tetapi jika ia menjangkiti golongan rentan lain iaitu yang berada di kategori tiga, empat dan lima, ia boleh menyebabkan peningkatan kemasukan ke hospital.

"Saya juga ingin menggalakkan ibu bapa untuk mendapatkan dos lengkap vaksinasi kepada anak masing-masing dan sekolah lebih prihatin dengan murid yang mempunyai masalah kesihatan kronik," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment