Friday, 7 April 2023

PERMOHONAN UNTUK ISI 19,000 KEKOSONGAN GURU DIBUKA HARI INI


IPOH: Pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 tahun 2023 oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,000 kekosongan seluruh negara, bermula hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying, berkata Iklan Permohonan Guru 2023 akan dipaparkan selama dua minggu sahaja, mulai hari ini (7 April) hingga 21 April (Jumaat).

Beliau berkata, lantikan adalah secara tetap dan kontrak.

Pengambilan terbuka meliputi bagi jawatan guru tetap atau guru sementara khususnya bagi menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam.

Pengambilan kali ini turut dibuka kepada graduan universiti awam tanpa iktisas pendidikan, sekali gus disifatkan sebagai peluang keemasan kepada mereka yang berminat menjadi guru.

"Graduan bukan pendidikan juga boleh mengisi kekosongan guru kali ini, jadi graduan universiti awam yang tidak mengambil opsyen pendidikan pun kali ini boleh mohon menjadi guru.

"KPM sudah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang mana iklan mengenai pengambilan baharu ini akan dikeluarkan nanti.

"Jadi sesiapa yang berminat boleh memohon mulai hari ini melalui portal mySPP (https://myspp.spp.gov.my)," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam Tahun 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Ketika ini terdapat kekurangan 19,431 guru atau 4.49 peratus di seluruh negara membabitkan beberapa mata pelajaran termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam.

Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis itu, beliau berkata antara faktor kekurangan guru KPM itu adalah berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan SPP untuk membuat pengambilan khususnya bagi menangani isu kekurangan guru bagi empat mata pelajaran berkenaan.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment