Thursday, 15 June 2023

INOVASI SnET 2.0 SK SERI PERMAI 10 TERATAS TERBAIK DUNIA

Murid SK Seri Permai, Bayan Lepas menggunakan meja yang direka pihak sekolah SnET 2.0 bagi mengurangkan masalah beg sekolah berat menyimpan buku teks secara selamat

BAYAN LEPAS: Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Bayan Baru di sini, mengharumkan nama negara apabila berjaya tersenarai dalam 10 sekolah terbaik bagi kategori inovasi menerusi Anugerah World Best School Prizes (WBSP) 2023.

Anugerah pendidikan berprestij anjuran T4 Education berpangkalan di United Kingdom itu membabitkan persaingan ribuan sekolah dunia yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$SD50,000 (RM231,750) bagi pemenang tempat pertama.

Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail, berkata sekolahnya mempertaruhkan inovasi meja dan ruang simpanan buku dikenali sebagai Smart and Easy Table (SnET) 2.0 yang diilhamkan sendiri oleh beliau bagi mengatasi masalah beg sekolah berat.

"Pada peringkat awal sekolah kami terpilih dalam senarai pendek sebagai lima sekolah terbaik di negara ini untuk mewakili Malaysia dalam WBSP bagi kategori inovasi dan kami menerima maklum balas yang cukup positif daripada penganjur ketika sesi penjurian.

"Meja pintar ini sudah digunakan sejak 2020 secara berperingkat dan setakat ini sebanyak 800 buah meja telah diubah suai menjadi SnET 2.0 yang dilengkapi laci dan rak mini berkunci yang pertama seumpamanya di negara ini.

"Ia dibangunkan dengan kerjasama pelajar dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Sungai Petani, Kedah dengan kos sekitar RM100 sebuah berbanding RM400 harga pasaran dan sedang dalam proses pendaftaran paten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman secara dalam talian yang turut dihadiri, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad di sini, hari ini.

Mohammad Sabarullah berkata ketika ini SK Seri Permai mempunyai kira-kira 1,500 murid yang berkongsi 24 kelas dengan setiap kelas mempunyai sekitar 28 hingga 35 murid.

Beliau berkata inovasi itu bukan sekadar menangani isu masalah beg sekolah berat iaitu dari tujuh hingga 10 kilogram (kg) kepada sekitar 2.5 kilogram bagi setiap murid malah mampu mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif dan menyeronokkan.

Katanya, ini kerana murid hanya perlu membawa pulang tugasan yang dibekalkan guru dan boleh meninggalkan buku selebihnya di sekolah dengan selamat dan mereka tidak perlu bersusah payah merujuk jadual untuk memilih buku mana yang harus dibawa ke sekolah.

"Pihak kami turut dihubungi guru-guru dari beberapa sekolah seperti Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah dan Johor yang berminat untuk menggunakan inovasi seumpama ini selain kami mendapati kaedah ini dapat memanjangkan jangka hayat buku teks.

"Jadi kami sedia membantu termasuk telah mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk sama-sama berbincang dan bertukar idea serta mencari jalan bagaimana menyelesaikan isu melibatkan masalah beg sekolah berat mengikut kesesuaian sekolah masing-masing.

Terdahulu T4 Education turut memaklumkan sekolah yang berjaya merangkul kedudukan tiga terbaik dijangka akan diumumkan pada September tahun ini.

BERITA HARIAN ONLINE


PERLUKAH JUMLAH SUBJEK SEKOLAH RENDAH DIKURANGKAN?

Pengurangan subjek sekolah rendah dilihat mampu membantu guru fokus kepada penguasaan 3M

Perlukah mata pelajaran di sekolah rendah dikurangkan bagi menepati konsep kurikulum bersepadu yang diperkenalkan sejak 1983, sekali gus membantu guru fokus kepada penguasaan 3M (membaca, mengeja dan mengira).

Langkah itu juga dilihat mampu mengatasi masalah kekurangan guru selain meringankan bebanan pendidik yang perlu mengajar lebih daripada satu subjek di sekolah ketika ini.

Isu berkenaan hangat diperkatakan dalam media sosial kebelakangan ini dengan kebanyakannya melihat perlunya langkah reformasi terhadap sistem pendidikan bagi sekolah rendah dibuat dengan kadar segera.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata mengurangkan subjek sekolah rendah kepada lima mata pelajaran juga boleh mengecilkan jumlah pelajar bagi setiap kelas.

Katanya disebabkan subjek sekolah rendah hanya lima, guru boleh diagihkan supaya satu kelas hanya menampung 25 orang murid sahaja.

"Konsep kurikulum bersepadu sudah 40 tahun diwujudkan, ia masih relevan dan patut diteruskan.

"Kita memang sudah ada kaedahnya tanpa kos tambahan yang besar. Sebab itu memadailah lima mata pelajaran untuk sekolah rendah. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Agama Islam, Moral (untuk murid bukan Islam), Matematik serta Pendidikan Kesihatan dan Jasmani," katanya.

Jelas Anuar, perkara itu boleh dilaksanakan dengan penggabungan subjek tertentu, contohnya Sejarah dan Sains ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Ujar beliau lagi, perkara yang perlu ditekankan di peringkat sekolah rendah adalah kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Melayu juga Inggeris serta mengira.

"Murid ada masa enam tahun untuk belajar Sejarah atau Sains dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Susunlah topik yang sesuai mengikut tahun.

"Apa yang kita akan dapat dengan cadangan ini? Murid akan mahir bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mereka masih ada pengetahuan Sejarah dan Sains, malah mereka tidak perlu belajar banyak subjek di peringkat sekolah rendah," katanya.

Bagaimanapun, bagi Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Kama Shaffeei, beliau melihat soal berapa subjek yang perlu diajar di sekolah rendah tidak timbul sebaliknya pendekatan relevan bagi membantu murid itu lebih utama.

Katanya, pendidikan asas amat perlu bagi generasi muda supaya mereka mampu bersaing dalam pendidikan serba moden.

"Pendidikan sekolah rendah bertujuan memberi kemahiran asas kepada murid dalam usaha mengukuhkan pendidikan lanjutan daripada prasekolah dan tadika.

"Kemahiran asas 3M perlu diterapkan kepada murid di sekolah rendah terutamanya apabila mereka berada pada Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga)

"Pengukuhan dan pengembangan kognitif murid perlu dikukuhkan lagi apabila mereka memasuki Tahap Dua. Kemenjadian murid ini perlu dicungkil dan dikukuhkan supaya aspirasi murid tercapai selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025)," katanya.

Kama berkata, berdasarkan penyelidikan UPSI pada 2022, penilaian secara berterusan kepada murid sekolah rendah perlu diperkasakan setelah Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.

Pemerkasaan itu setakat ini dibuat menerusi Penilaian Berasaskan Projek (PBP) yang menjadi sebahagian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau menegaskan, subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains perlu diajar bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran murid, manakala mata pelajaran sokongan seperti Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan juga perlu didedahkan kepada murid.

Hal ini katanya dapat membantu pertumbuhan serta perkembangan kognitif seiring dengan persekitaran kehidupan mereka.

"Kerana itu, subjek teras dikelompokkan bersama mata pelajaran sokongan.

"Contohnya, Kluster Perkembangan Manusia ia mengandungi subjek utama Sains dan

digabung jalin pengajarannya dengan Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Seni Visual," katanya.

Tegas Kama, beliau yakin Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sedia ada masih relevan, namun memerlukan sedikit pembaikan dari segi pelaksanaan dan pembelajaran murid.

Apatah lagi katanya, hari ini ibu bapa dan masyarakat mahu memastikan anak-anak mereka mempunyai asas ilmu pengetahuan, kefahaman dan kemahiran yang boleh menyokong kepada kehidupan sebenar.

Justeru, dalam hal ini katanya, guru perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran melalui pembugaran idea dan celik digital bagi menyokong pendidikan generasi masa depan.

Sementara itu bagi jurutera, Saiful Azizi Mohd Rosli, 35, situasi prestasi akademik generasi muda terutama selepas era pandemik diakui 'genting' dengan penguasaan kemahiran 3M yang tidak kukuh.

Justeru bapa kepada tiga anak ini melihat cadangan mengurangkan subjek sekolah rendah tidak sesuai. Hal ini katanya akan menyebabkan sesuatu subjek itu menjadi padat.

"Misalnya Sains di dalam silibus Pendidikan Kesihatan. Bagaimana untuk mengaitkan kesihatan manusia dan sistem pertumbuhan tumbuhan atau haiwan?

"Begitu juga dengan mata pelajaran Sejarah. Agak tidak sesuai jika digabungkan dalam Bahasa Melayu kerana mata pelajaran utama itu perlu memfokuskan tatabahasa dan penulisan karangan.

"Bagi saya, Sejarah perlu berada dalam subjek tersendiri supaya pelajar dapat fokus pada penceritaan subjek sejarah.

Katanya, apa yang utama adalah meningkatkan usaha untuk murid menguasai kemahiran 3M menerusi tiga subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Jika kita gabungkan semua silibus kepada lima mata pelajaran utama ia lebih kepada merumitkan keadaan dan menambahkan bebanan bukan sahaja kepada murid tetapi guru.

BERITA HARIAN ONLINE


KECICIRAN MURID, PELAJAR MEMBIMBANGKAN

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua kanan) dan Guru Besar/Pengetua SK Pulau Beluru, Mohd Azman Hussin (kanan) beramah mesra dengan sebahagian pelajar pada majlis perasmian Sekolah Komprehensif 9 (K9) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, di sini, hari ini

TUMPAT: Isu keciciran dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara sampai kepada tahap membimbangkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata faktor utama menyebabkan isu itu ialah kemiskinan.

Bagaimanapun, pada masa ini, pihaknya sedang mengumpul jumlah keciciran termasuk yang diperoleh daripada badan bukan kerajaan (NGO).

"Isu keciciran setakat ini di tahap membimbangkan dan kita sudah mengadakan intervensi termasuk ziarah cakna yang dilakukan KPM, selain dibantu NGO serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Faktor kemiskinan paling tinggi menjadi punca kepada keciciran dan salah satu inisiatif yang dilakukan KPM adalah mewujudkan Sekolah Komprehensif 9 (K9) di lokasi yang memerlukan.

"Menerusi K9 iaitu sekolah rendah dan menengah di sekolah yang sama, kita akan pastikan setiap murid dapat menamatkan pengajian sehingga peringkat sekolah menengah sekali gus masalah keciciran dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sekolah Komprehensif K9 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu keciciran murid dan pelajar perlu diatasi semua pihak, bukannya harus dibebani oleh pihak sekolah semata-mata.

"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak dapat ke sekolah.

Mengulas mengenai Sekolah Komprehensif K9, Fadhlina berkata sehingga kini sebanyak 16 Sekolah Komprehensif K9 diwujudkan termasuk di Sabah dan Sarawak serta Pahang.

"Untuk di Kelantan adalah projek pertama membabitkan SK Pulau Beluru dan kita sentiasa mendapat permintaan untuk penambahan sekolah komprehensif berkenaan.

"Kita akan pertimbang dan melihat keperluan dari semasa ke semasa," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 3 June 2023

ANWAR BANGKIT ISU TANDAS SEKOLAH ROSAK, KOTOR YANG TIADA KESUDAHAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membangkitkan mengenai isu tandas sekolah kotor yang disifatkannya sebagai tidak berkesudahan.

Katanya beliau tahu mengenai keadaan tandas sekolah yang kebanyakan rosak dan kotor namun kemudahan asas itu kekal tidak terjaga seolah-olah dibiarkan oleh pihak yang bertanggungjawab sehingga ada murid tidak ke tandas sepanjang waktu persekolahan.

"Saya telah arahkan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) semak, bahawa tandas di sekolah banyak yang rosak, berpuluh tahun tapi tidak ada siapa yang peduli. 

"Sekarang saya kata bagaimana nak hantar anak kita ke sekolah tapi tandas pun tidak ada," katanya ketika berucap merasmikan medan selera D'Anjung Selera MADANI di Bandar Tun Razak dekat sini hari ini.

Mengimbau kenangan ketika beliau menjawat Menteri Pendidikan pada 1986 sehingga 1991, Anwar berkata aspek kebersihan tandas merupakan antara perkara yang diberikan keutamaan antaranya mengarahkan sekolah melaksanakan giliran murid membersihkan tandas.

Anwar berkata langkah itu menyebabkan ada ibu bapa 'kelas atasan' menghantar telegram kepadanya yang mempersoalkan tindakan itu kerana pada mereka, anak-anak dihantar ke sekolah untuk belajar bukannya mencuci tandas.

Perdana Menteri berkata anak-anak di sekolah perlu dididik aspek kebersihan termasuk dilatih melaksanakan aktiviti mencuci tandas sebagai satu daripada aspek pembelajaran dan ia perlu dilaksanakan tanpa mengira kedudukan ibu bapa mereka. 

"Kalau anak kita dilatih untuk cuci tandas dia tahu bagaimana ibu bapa dia buat kerja di rumah. Dia akan hargai tukang cuci di jalanan atau di tandas-tandas awam bahawa ada nilai bagi setiap kerja yang dibuat," katanya.


BERNAMA ONLINE