Thursday 15 June 2023

PERLUKAH JUMLAH SUBJEK SEKOLAH RENDAH DIKURANGKAN?

Pengurangan subjek sekolah rendah dilihat mampu membantu guru fokus kepada penguasaan 3M

Perlukah mata pelajaran di sekolah rendah dikurangkan bagi menepati konsep kurikulum bersepadu yang diperkenalkan sejak 1983, sekali gus membantu guru fokus kepada penguasaan 3M (membaca, mengeja dan mengira).

Langkah itu juga dilihat mampu mengatasi masalah kekurangan guru selain meringankan bebanan pendidik yang perlu mengajar lebih daripada satu subjek di sekolah ketika ini.

Isu berkenaan hangat diperkatakan dalam media sosial kebelakangan ini dengan kebanyakannya melihat perlunya langkah reformasi terhadap sistem pendidikan bagi sekolah rendah dibuat dengan kadar segera.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata mengurangkan subjek sekolah rendah kepada lima mata pelajaran juga boleh mengecilkan jumlah pelajar bagi setiap kelas.

Katanya disebabkan subjek sekolah rendah hanya lima, guru boleh diagihkan supaya satu kelas hanya menampung 25 orang murid sahaja.

"Konsep kurikulum bersepadu sudah 40 tahun diwujudkan, ia masih relevan dan patut diteruskan.

"Kita memang sudah ada kaedahnya tanpa kos tambahan yang besar. Sebab itu memadailah lima mata pelajaran untuk sekolah rendah. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Agama Islam, Moral (untuk murid bukan Islam), Matematik serta Pendidikan Kesihatan dan Jasmani," katanya.

Jelas Anuar, perkara itu boleh dilaksanakan dengan penggabungan subjek tertentu, contohnya Sejarah dan Sains ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Ujar beliau lagi, perkara yang perlu ditekankan di peringkat sekolah rendah adalah kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Melayu juga Inggeris serta mengira.

"Murid ada masa enam tahun untuk belajar Sejarah atau Sains dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Susunlah topik yang sesuai mengikut tahun.

"Apa yang kita akan dapat dengan cadangan ini? Murid akan mahir bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mereka masih ada pengetahuan Sejarah dan Sains, malah mereka tidak perlu belajar banyak subjek di peringkat sekolah rendah," katanya.

Bagaimanapun, bagi Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Kama Shaffeei, beliau melihat soal berapa subjek yang perlu diajar di sekolah rendah tidak timbul sebaliknya pendekatan relevan bagi membantu murid itu lebih utama.

Katanya, pendidikan asas amat perlu bagi generasi muda supaya mereka mampu bersaing dalam pendidikan serba moden.

"Pendidikan sekolah rendah bertujuan memberi kemahiran asas kepada murid dalam usaha mengukuhkan pendidikan lanjutan daripada prasekolah dan tadika.

"Kemahiran asas 3M perlu diterapkan kepada murid di sekolah rendah terutamanya apabila mereka berada pada Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga)

"Pengukuhan dan pengembangan kognitif murid perlu dikukuhkan lagi apabila mereka memasuki Tahap Dua. Kemenjadian murid ini perlu dicungkil dan dikukuhkan supaya aspirasi murid tercapai selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025)," katanya.

Kama berkata, berdasarkan penyelidikan UPSI pada 2022, penilaian secara berterusan kepada murid sekolah rendah perlu diperkasakan setelah Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.

Pemerkasaan itu setakat ini dibuat menerusi Penilaian Berasaskan Projek (PBP) yang menjadi sebahagian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau menegaskan, subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains perlu diajar bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran murid, manakala mata pelajaran sokongan seperti Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Jasmani dan Kesihatan juga perlu didedahkan kepada murid.

Hal ini katanya dapat membantu pertumbuhan serta perkembangan kognitif seiring dengan persekitaran kehidupan mereka.

"Kerana itu, subjek teras dikelompokkan bersama mata pelajaran sokongan.

"Contohnya, Kluster Perkembangan Manusia ia mengandungi subjek utama Sains dan

digabung jalin pengajarannya dengan Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Seni Visual," katanya.

Tegas Kama, beliau yakin Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sedia ada masih relevan, namun memerlukan sedikit pembaikan dari segi pelaksanaan dan pembelajaran murid.

Apatah lagi katanya, hari ini ibu bapa dan masyarakat mahu memastikan anak-anak mereka mempunyai asas ilmu pengetahuan, kefahaman dan kemahiran yang boleh menyokong kepada kehidupan sebenar.

Justeru, dalam hal ini katanya, guru perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran melalui pembugaran idea dan celik digital bagi menyokong pendidikan generasi masa depan.

Sementara itu bagi jurutera, Saiful Azizi Mohd Rosli, 35, situasi prestasi akademik generasi muda terutama selepas era pandemik diakui 'genting' dengan penguasaan kemahiran 3M yang tidak kukuh.

Justeru bapa kepada tiga anak ini melihat cadangan mengurangkan subjek sekolah rendah tidak sesuai. Hal ini katanya akan menyebabkan sesuatu subjek itu menjadi padat.

"Misalnya Sains di dalam silibus Pendidikan Kesihatan. Bagaimana untuk mengaitkan kesihatan manusia dan sistem pertumbuhan tumbuhan atau haiwan?

"Begitu juga dengan mata pelajaran Sejarah. Agak tidak sesuai jika digabungkan dalam Bahasa Melayu kerana mata pelajaran utama itu perlu memfokuskan tatabahasa dan penulisan karangan.

"Bagi saya, Sejarah perlu berada dalam subjek tersendiri supaya pelajar dapat fokus pada penceritaan subjek sejarah.

Katanya, apa yang utama adalah meningkatkan usaha untuk murid menguasai kemahiran 3M menerusi tiga subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Jika kita gabungkan semua silibus kepada lima mata pelajaran utama ia lebih kepada merumitkan keadaan dan menambahkan bebanan bukan sahaja kepada murid tetapi guru.

BERITA HARIAN ONLINE


No comments:

Post a Comment