Thursday 15 June 2023

KECICIRAN MURID, PELAJAR MEMBIMBANGKAN

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua kanan) dan Guru Besar/Pengetua SK Pulau Beluru, Mohd Azman Hussin (kanan) beramah mesra dengan sebahagian pelajar pada majlis perasmian Sekolah Komprehensif 9 (K9) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, di sini, hari ini

TUMPAT: Isu keciciran dalam kalangan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara sampai kepada tahap membimbangkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata faktor utama menyebabkan isu itu ialah kemiskinan.

Bagaimanapun, pada masa ini, pihaknya sedang mengumpul jumlah keciciran termasuk yang diperoleh daripada badan bukan kerajaan (NGO).

"Isu keciciran setakat ini di tahap membimbangkan dan kita sudah mengadakan intervensi termasuk ziarah cakna yang dilakukan KPM, selain dibantu NGO serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Faktor kemiskinan paling tinggi menjadi punca kepada keciciran dan salah satu inisiatif yang dilakukan KPM adalah mewujudkan Sekolah Komprehensif 9 (K9) di lokasi yang memerlukan.

"Menerusi K9 iaitu sekolah rendah dan menengah di sekolah yang sama, kita akan pastikan setiap murid dapat menamatkan pengajian sehingga peringkat sekolah menengah sekali gus masalah keciciran dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sekolah Komprehensif K9 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu keciciran murid dan pelajar perlu diatasi semua pihak, bukannya harus dibebani oleh pihak sekolah semata-mata.

"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak dapat ke sekolah.

Mengulas mengenai Sekolah Komprehensif K9, Fadhlina berkata sehingga kini sebanyak 16 Sekolah Komprehensif K9 diwujudkan termasuk di Sabah dan Sarawak serta Pahang.

"Untuk di Kelantan adalah projek pertama membabitkan SK Pulau Beluru dan kita sentiasa mendapat permintaan untuk penambahan sekolah komprehensif berkenaan.

"Kita akan pertimbang dan melihat keperluan dari semasa ke semasa," katanya.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment