Sunday 23 July 2023

WARGA PENDIDIKAN PERLU SALING PERCAYA, BERI INSPIRASI DALAM PEMBENTUKAN ANAK BANGSA

KOTA BHARU, 23 Julai (Bernama) -- Gerak kerja seluruh warga pendidikan seharusnya ke arah satu bentuk kepimpinan berdasarkan budaya kerja saling mempercayai dan memberi inspirasi dalam usaha membawa kepada pembentukan anak bangsa yang berakhlak mulia dan berintelektual.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata budaya kerja ini akan terzahir dalam warga pendidikan apabila mempunyai kerjasama daripada pelbagai peringkat sekali gus menjadi tunjang kekuatan kementerian dalam memastikan perancangan penting dapat dilaksana dengan baik dan mencapai kejayaan sebagaimana dihasratkan.

"Saya yakin dengan adanya prinsip kebersamaan, keterbukaan dan kesyukuran dalam jiwa warga pendidikan, sudah pasti dapat membawa kemajuan dalam pendidikan negara sebab kita sudah ada nilai saling mempercayai dan memberi inspirasi.

"Kita juga sentiasa berusaha dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap ekosistem pendidikan negara khususnya pendidikan digital agar seiring dengan perkembangan pendidikan global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata untuk membina suasana yang stabil dan harmonis dalam jiwa anak-anak didik, konsep Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) perlu dilakukan dalam memastikan pembinaan karakter yang terkait rapat dengan disiplin, adab susila dan kesopanan.

"Konsep ABC adalah sejajar dengan aspirasi tujuh teras yang menjadi tunjang hala tuju kementerian iaitu menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti dalam kalangan murid.

"ABC bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain, malah turut mendidik mereka menjaga kesantunan dan disiplin, mematuhi undang-undang serta menggalakkan persaingan sihat sesama mereka," katanya.

Beliau turut menyeru semua warga pendidik berganding bahu dan menjadikan kebersamaan itu untuk sederap selangkah dan senada sekata dalam usaha mendukung sistem pendidikan negara agar dapat membina sebuah masyarakat MADANI.

BERNAMA ONLINE

Tuesday 11 July 2023

DASAR PENDIDIKAN DIGITAL NEGARA AKAN DILAKSANAKAN SEGERA - FADHLINA

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Dasar Pendidikan Digital Negara telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri untuk dilaksanakan segera bagi memastikan kefasihan digital dalam kalangan guru, murid dan pemimpin sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata bagi menjayakan dasar itu Kementerian Pendidikan (KPM) telah pun memulakan usaha dengan memberi tumpuan memperbaiki infrastruktur dan memperkemas ekosistem digital di sekolah-sekolah.

“KPM bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam meningkatkan infrastruktur serta ekosistem digital di sekolah dan untuk permulaan 3,600 sekolah sudah mendapat manfaat daripada projek PoP (Point of Presence) KKD,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2002, di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, di sini hari ini.

Menurut Fadhlina kementerian meletakkan sasaran yang tinggi untuk mengurangkan jurang digital di antara sekolah-sekolah tidak kira sekolah agama, sekolah pinggir bandar, sekolah kurang murid.

Sementara itu, katanya KPM memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan masalah penyelenggaraan tandas dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM70,000 setiap sekolah.

Fadhlina berkata kementerian kini sedang dalam proses mengagihkan bantuan tersebut yang diharap akan membantu memberi impak yang lebih baik kepada kebersihan tandas sekolah.

Sementara itu pada majlis berkenaan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Voules Johor diumumkan pemenang Anugerah Pendidikan Digital Kategori Emas bagi Sekolah Kurang Murid Terbaik sementara Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu diumumkan pemenang kategori Pejabat Pendidikan Daerah Terbaik.

Kategori Jabatan Pendidikan Negeri terbaik dimenangi Perlis.

Majlis DUTA merupakan usaha KPM dalam memberikan penghargaan dan pengiktirafan yang tertinggi kepada murid, guru sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri atas pemerkasaan penggunaan teknologi secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran selain melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.

BERNAMA ONLINE

MGGI CATAT 70.7 PERATUS PADA 2021, WANITA ATASI LELAKI DALAM PENDIDIKAN

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) mencatatkan 0.707 atau 70.7 peratus pada 2021 berbanding 0.714 atau 71.4 peratus pada 2020 dengan pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam subindeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.060, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

MGGI mengenal pasti jurang antara wanita dan lelaki dalam empat subindeks merangkumi peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik. Skor dengan nilai 1.0 atau 100 peratus menunjukkan kesaksamaan antara wanita dan lelaki telah dicapai.

DOSM dalam kenyataan sempena Hari Penduduk Sedunia 2023 hari ini memaklumkan kadar enrolmen di peringkat rendah dan menengah bagi perempuan secara konsisten adalah lebih tinggi berbanding lelaki.

“Pada 2022, kadar enrolmen kasar bagi perempuan di peringkat rendah dan menengah masing-masing ialah 98.4 peratus dan 94.5 peratus. Di peringkat tertiari, wanita dengan 47.5 peratus mengatasi lelaki dengan 33.8 peratus. Pencapaian ini menunjukkan komitmen negara dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOSM, bagi penyertaan dan peluang ekonomi yang mencatatkan skor 0.709, kadar penyertaan tenaga buruh wanita Malaysia telah meningkat dengan ketara daripada 44.5 peratus pada 1982 kepada 55.5 peratus pada 2021.

DOSM memaklumkan, menurut World Bank Indicator, kadar penyertaan tenaga buruh dunia bagi wanita ialah 52.5 peratus pada 2021.

Penguasaan politik pula merekodkan 10 peratus atau skor 0.100 yang menunjukkan terdapat potensi peningkatan perwakilan dan pemerkasaan wanita dalam bidang politik.

“Penglibatan wanita Malaysia dalam ekonomi dan pendidikan adalah penting, namun terdapat peluang bagi wanita untuk terus maju menganggotai barisan kepimpinan dalam sistem politik negara, dengan wanita memegang 17.9 peratus jawatan menteri pada 2021,” menurut DOSM.

BERNAMA ONLINE

Sunday 2 July 2023

PELATIH IPG TIDAK DAPAT eBELIA RAHMAH, INI PENJELASAN AHMAD MASLAN

Datuk Seri Ahmad Maslan mengadakan lawatan kerja rasmi ke pejabat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Johor di sini

JOHOR BAHRU: Pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak menerima bantuan eBelia Rahmah kerana mereka sudah menerima elaun bulanan sebanyak RM450.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi menjawab persoalan pelajar IPG yang menyatakan mereka tidak menerima bantuan eBelia Rahmah.

Beliau turut meminta ahli politik yang membuat tuduhan berkenaan dan meminta individu itu menyemak fakta berhubung elaun pelajar IPG.

"Pelajar IPG tidak dapat kemudahan ini (eBelia Rahmah) kerana mereka diberikan elaun RM450 sebulan. Ia adalah elaun yang sebelum ini sudah diberikan ketika kerajaan sebelum ini, maka ia diteruskan.

"Pelajar yang berada di universiti lain pula tidak dapat kemudahan RM450 sebulan ini, maka sebab itu mereka diberikan bantuan RM200.

"Saya harap ahli politik berkenaan menyemak fakta itu kerana pelajar IPG, mereka dapat lebih daripada yang lain melalui elaun yang disediakan (secara bulanan)," katanya ketika sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke pejabat Jabatan Penilaian dan Perkhimatan Harta (JPPH) Negeri Johor di sini, hari ini.

Mengulas mengenai eBelia Rahmah, Ahmad berkata, seramai 2 juta belia berusia antara 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) layak menerima kredit berjumlah RM200 melalui tiga platform e-Dompet mulai 26 Jun lalu.

Katanya, inisiatif eBelia Rahmah diumumkan di bawah Belanjawan 2023 yang matlamatnya untuk memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan belia di samping menyokong pertumbuhan ekonomi perusahan mikro, kecil dan sederhana.

Sebelum ini, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa pelajar IPG tidak mendapat manfaat inisiatif eBelia Rahmah

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan perkara berkenaan tidak adil, sedangkan mereka juga pelajar sepenuh masa sama seperti penuntut IPT yang lain.

Pada masa sama, Ahmad menegaskan tiada sebarang penebusan tunai dibenarkan bagi inisiatif eBelia Rahmah itu, sekali gus meminta penerima berwaspada dengan mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan menebus tunai bantuan berkenaan.

"Kita menyeru kepada penerima supaya tidak terperdaya dengan sebarang iklan dan tawaran yg menyediakan perkhidmatan tebus tunai terutamanya di media sosial.

"Kredit RM200 ini tidak boleh ditebus tunai dan juga tidak boleh dipindah secara 'peer to peer'. Saya harap pelajar dan belia tidak tertipu dengan tawaran ini, memang tidak boleh," katanya.

Ahmad berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), esok, dalam usaha mengekang isu penipuan membabitkan inisiatif terbabit.

BERITA HARIAN ONLINE

Saturday 1 July 2023

KPM TUBUH JAWATANKUASA KHAS PASTIKAN KELANCARAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA


Fadhlina Sidek membonceng motosikal untuk mengagihkan daging korban kepada umat Islam setempat

NIBONG TEBAL: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sekarang tempoh kritikal untuk melihat keberkesanan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi membangunkan kerangka dasar pendidikan baharu negara.

Katanya, PPPM 2013-2025 kini sudah memasuki gelombang ketiga dan semakin hampir ke penghujungnya.

Beliau menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mentransformasikan sistem pendidikan negara ke arah lebih baik berpandukan keberkesanan PPPM 2013-2025.

Katanya, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi memastikan kelancaran pelan terbabit.

"Seperti yang saya maklumkan di Dewan Rakyat, kementerian sedang menuju kepada dasar dan kerangka pendidikan baharu dengan mengambil kira faktor global serta dasar dalam pembentukan karakter warganegara.

"Fokus utama kementerian untuk mentransformasikan pendidikan negara ke arah yang lebih baik. Kini tempoh kritikal untuk kita melihat keberkesanan inisiatif dilaksanakan dalam PPPM 2013-2025 yang akan dibawa ke kerangka pelan dasar pendidikan baharu," katanya.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menganjurkan program Korban Perdana Nibong Tebal di Masjid Al-Huda di Sungai Bakau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mencadangkan sistem pendidikan negara dirombak selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

Baru-baru ini, media melaporkan Maszlee yang juga Pengerusi Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) keperluan itu harus diakui semua pihak ekoran kadar keciciran dan kegagalan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaporkan tinggi.

BERITA HARIAN ONLINE