Saturday, 26 August 2023

KURIKULUM BAHARU BUKTI KOMITMEN KPM LAKSANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA - NGO

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Usaha Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan kurikulum persekolahan baharu dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid, membuktikan komitmennya dalam melaksanakan transformasi pendidikan negara.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata pembangunan kurikulum yang turut mengambil kira pandangan pakar, pihak berkepentingan dan masyarakat umum itu juga sebagai usaha memastikan sistem pendidikan negara lebih relevan dan berdaya tahan.

“Pendidikan adalah penentu masa depan negara dan sebab itu kita mahu kurikulum yang dibangunkan adalah benar-benar memenuhi kehendak negara, di samping kandungan pembelajaran yang tidak membebankan murid.

“Dalam hal ini subjek yang diajar tidak boleh terlalu banyak teori sahaja terutama mata pelajaran matematik dan sains, sebaliknya perlu ditekankan dalam bentuk amali supaya murid memahami dan berupaya menghayati prinsip yang diajar,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Ali turut mencadangkan rombakan bagi subjek agama supaya ia lebih menekankan pembangunan karakter dan insani, berbanding pengisian kandungan mata pelajaran semata-mata kerana subjek itu berperanan membentuk jati diri dan nilai murni murid.

Sebelum ini KPM memaklumkan sedang melaksanakan tindakan segera bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran, dijalankan secara efektif dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid.

Menurut KPM, seramai 1,600 orang termasuk guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri, telah dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum bagi membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.

KPM juga akan melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian, mulai 25 Ogos hingga 15 Sept ini menerusi pautan: https://bit.ly/KurikulumKita2027 bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon menyifatkan usaha menilai semula subtopik dalam kurikulum sekolah adalah wajar, memandangkan silibus yang diperkenalkan kini dilihat agak tinggi dan tidak bersesuaian dengan tahap murid.

Katanya, unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan untuk membentuk kemahiran intelek tinggi dalam kalangan pelajar telah memberi cabaran dalam meningkatkan daya pemikiran murid.

“Justeru NUTP mengalu-alukan langkah yang diambil KPM yang menjalankan tinjauan pelaksanaan kurikulum sekolah itu supaya penjaga yang tidak berpuas hati dengan silibus yang terlalu tinggi dapat melontarkan idea masing-masing.

“Jika pihak jawatankuasa penilaian silibus dibentuk kami berharap guru pakar dan guru cemerlang dilibatkan sekali dalam usaha itu dan bukan dalam kalangan pensyarah universiti yang tidak pernah berada di sekolah sebagai guru,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 22 August 2023

SEKTOR PENDIDIKAN PERLU BERUBAH SEIRING PERKEMBANGAN STEM, BERTEPATAN IR4.0 - CHANG

SEREMBAN, 22 Ogos (Bernama) -- Sektor pendidikan perlu berubah dan lebih fokus seiring perkembangan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus mampu menepati tonggak Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata hal ini kerana pada masa kini, sistem pendidikan negara berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan sumber manusia yang memiliki kemahiran sesuai dengan revolusi berkenaan.

“Suatu perkara yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini dan berkait dengan perkembangan STEM ialah IR4.0. Revolusi ini berorientasikan transformasi digital dalam pembangunan mesin dan proses bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

“Justeru, bagi berdepan dengan cabaran ini, bidang pendidikan perlu berubah, perkara ini bertepatan dengan sektor pekerjaan pada masa hadapan yang lebih luas, cepat dan saling berhubungan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan STEM Evolution peringkat negeri 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah Yew Boon Lye.

Chang berkata generasi muda juga perlu disiapsiagakan dengan kedinamikan ilmu, kemahiran dan keunggulan karakter yang kuat untuk menempuh cabaran masa hadapan yang sangat rumit.

Dalam pada itu, beliau berkata program STEM Evolution yang sudah memasuki tahun ketiga dianjurkan itu sangat relevan dalam menyokong agenda inovasi negara selain platform menyuburkan lagi pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam kalangan anak muda.

“Diharapkan program seumpama ini diperbanyak pada masa hadapan. Saya percaya, pelbagai acara dalam pertandingan ini memberi peluang dan ruang kepada peserta dan semua yang hadir untuk mengukuhkan pendidikan STEM seperti Drone Challange, Young Roboticists Challenge dan STEM Decathlon Challenge,” katanya.

BERNAMA ONLINE

Thursday, 10 August 2023

KPM KOMITED SEDIA PENDIDIKAN KEPADA MURID BERKEPERLUAN KHAS

Kepala Batas: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dengan pembinaan sekolah yang dilengkapi fasiliti terbaik dan bersesuaian dengan keperluan murid istimewa berkenaan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata KPM sentiasa berusaha untuk menambah baik akses MBPK bagi memastikan sistem pendidikan golongan itu lebih kondusif.

Beliau juga mahu memastikan, tiada seorang pun daripada golongan itu yang ketinggalan atau tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

“Kita beri tumpuan penuh keperluan anak-anak terutama golongan MBPK kerana mahu memastikan mereka tidak akan ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Beliau percaya MBPK turut mampu melakar kejayaan dengan menyumbang kepada kemajuan pendidikan dan pembangunan negara.

“Oleh sebab itu, KPM sentiasa komited meningkatkan akses pendidikan anak-anak berkeperluan pendidikan khas ini dengan menyediakan pendidikan berkualiti,” tambah beliau.

“Saya percaya anak-anak berkeperluan pendidikan khas juga boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan mencapai kemajuan dalam pendidikan dan kini paling penting ialah menyediakan fasiliti yang mencukupi,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bumbong Lima, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Salmah Jopri dan Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.

Fadhlina berkata, selain MBPK pihaknya turut menitikberatkan pendidikan terhadap anak Orang Asli dan murid tanpa dokumen bagi memastikan hak mereka untuk mendapat akses pendidikan tidak dinafikan.

SPK ke-35 dibina

Beliau berkata, SMKPK adalah Sekolah Pendidikan Khas (SPK) yang ke-35 dibina di negara ini dan kelima di Pulau Pinang. Sekolah ini akan memulakan operasinya pada Oktober depan dan akan menempatkan sekurang-kurangnya 192 MBPK.

“Sekolah ini juga dilengkapi dengan kemudahan asrama yang boleh menempatkan seramai 80 murid lelaki dan 80 murid perempuan,” jelasnya.

SMKPK Bumbong Lima ini terbuka untuk semua kategori MBPK iaitu ketidakupayaan pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, masalah pembelajaran dan ketidakupayaan pelbagai.

Kos pembinaan bernilai RM47.5 juta membolehkan sekolah ini turut dilengkapi fasiliti terbaik termasuk 24 bilik darjah dan empat bengkel Pendidikan Vokasional Menengah Atas.

Terdapat empat bengkel vokasional yang disediakan bagi tujuan pembelajaran antaranya ialah penyediaan dan pembuatan makanan, servis dan penyelenggaraan motosikal, perkhidmatan estetik dan artis multimedia visual.

Dalam pada itu, Fadhlina berharap SMKPK akan menerajui kemajuan serta kejayaan anak-anak berkeperluan pendidikan khas pada masa hadapan.

“Murid di sekolah itu bukan sahaja boleh menyumbang kepada pendidikan negara secara khasnya, tetapi turut menyumbang kepada negara secara amnya jika menerima akses dan fasiliti yang mencukupi,” katanya lagi.

BERITA HARIAN ONLINE

Wednesday, 9 August 2023

KPM DALAM PROSES MUKTAMADKAN DASAR WAJIB PENDIDIKAN SEKOLAH MENENGAH

BUKIT MERTAJAM, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses memuktamadkan dasar mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah dalam usaha mengekang masalah keciciran pelajar di negara ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keciciran pelajar tidak akan berlaku jika anak-anak diwajibkan belajar hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia apabila wujudnya dasar baharu itu.

Beliau juga memaklumkan negara berdepan masalah enrolmen di peringkat prasekolah dan sekolah menengah tetapi bukan bagi sekolah rendah.

“Enrolmen sekolah rendah kita tiada masalah, 99 peratus, kita mencapai sasaran sejagat sebab kita ada dasar pendidikan wajib untuk sekolah rendah,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Wanita Question Time’ malam ini yang turut menampilkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Fadhlina berkata bagi menyelesaikan masalah enrolmen di peringkat prasekolah, KPM kini memperluas bilangannya dengan menambah 118 lagi prasekolah baharu tahun ini.

Beliau berkata ia sebagai langkah intervensi awal bagi menghalang keciciran murid di peringkat pendidikan awal kanak-kanak.

“Saya sangat bahagia melihat prasekolah dua sesi, ini menunjukkan prasekolah kita mendapat sambutan jauh lebih baik… sebab itu, kita kena dukung pendidikan awal supaya prasekolah berada di sekolah rendah,” katanya.

Fadhlina juga berkata dalam usaha kerajaan memastikan tiada keciciran murid termasuk golongan berkeperluan pendidikan khas, intervensi awal penting kerana ia membantu mengenal pasti keperluan mereka dari umur empat hingga enam tahun lagi.

Katanya kualiti pendidikan di Malaysia jauh lebih baik berbanding negara lain di Asia Tenggara kerana semua guru diwajibkan memiliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak untuk mengajar di prasekolah.

BERNAMA ONLINE

Saturday, 5 August 2023

PERUNTUKAN RM70.5 BILION PERKASA SEMULA PENDIDIKAN NEGARA

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM55.2 bilion dan RM15.3 bilion dalam Belanjawan 2023 masing-masing bagi sektor pendidikan dan pendidikan tinggi, menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu memulihkan kembali sektor pendidikan negara selepas dua tahun pandemik COVID-19.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata menerusi peruntukan yang diberikan, pelbagai langkah dan usaha ke arah itu dapat dilihat dan sudah diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Antaranya, memastikan isu sekolah daif dan kekurangan kemudahan infrastruktur di sekolah diselesaikan dengan segera.

“Selepas lebih enam bulan Belanjawan 2023 dibentangkan, banyak perkara menarik sedang berlaku dalam sektor pendidikan yang mana dana diterima digunakan menjurus kepada usaha memulihkan kembali sektor pendidikan selepas dua tahun negara berhadapan dengan pandemik.

“Kebanyakan peruntukan itu disalurkan untuk aktiviti pemulihan seperti memastikan isu sekolah daif dapat diselesaikan secepat mungkin, selain kemudahan infrastruktur di sekolah ditambah baik serta dinaik taraf. Ini fokus utama bagi peruntukan kali ini.

“Jika isu membabitkan sekolah daif dan infrastruktur yang kurang memuaskan tidak diselesaikan secepat mungkin, ia pasti akan mengganggu serta menghalang pembelajaran pelajar serta usaha guru untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat berjalan dengan baik,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, selain itu juga dapat dilihat berlaku peningkatan penyediaan bantuan pendidikan kepada anak-anak, khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan serta miskin.

“Kita dapat lihat kadar untuk makanan bermasak program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi Semenanjung dan daripada RM3 kepada RM4 di Sabah dan Sarawak.

“Begitu juga bantuan awal persekolahan turut dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun peruntukan keseluruhannya tidak begitu besar kerana turut membabitkan penggajian guru, ia penting untuk memastikan sistem pendidikan pulih dan pembelajaran anak berjalan lancar.

“Guru juga mendapat kemudahan untuk meneruskan PdP dengan lebih berkesan serta dapat memastikan kumpulan miskin, iaitu anak daripada golongan tidak berkemampuan boleh meneruskan pendidikan mereka dengan bantuan yang diberikan kerajaan.

“Peruntukan ini memadai untuk keadaan sekarang kerana ekonomi yang mencabar, manakala pendapatan kerajaan juga tidak begitu berganda, selain kita juga perlu menyelesaikan hutang negara yang ada.

“Justeru, peruntukan diberikan untuk sektor pendidikan adalah satu jumlah yang munasabah untuk menguruskan sistem pendidikan kita pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi manfaat ini, ia dapat memastikan kualiti pendidikan negara dipertingkatkan.

Beliau berharap, agar peruntukan seumpama itu dikekalkan untuk sektor pendidikan bagi Belanjawan 2024 dan seterusnya untuk tujuan pembangunan serta memastikan pendigitalan pendidikan dapat dilaksanakan dan akan menjadi teras kepada kemajuan pendidikan pasca 2025.

“Kita harapkan kerajaan akan bersedia untuk melabur dengan jumlah peruntukan yang lebih besar pada tahun seterusnya bagi memastikan sektor pendidikan ini berkembang dengan baik kerana sistem pendidikan berkualiti akan menghasilkan pelajar berkualiti,” katanya.

Tambah beliau, jika dilihat dalam aspek pelaburan pendidikan, data atau kajian lepas menunjukkan, semakin banyak kerajaan melabur dalam sektor pendidikan sejak pada peringkat sekolah rendah, impak hasil akan terus berkembang.

Tingkat aksesibiliti pendidikan

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Akademik Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Suriyani Ariffin, berkata pada peringkat lebih tinggi, Belanjawan 2023 memberi peluang meningkatkan aksesibiliti dalam pendidikan sepanjang hayat pelajar, terutama dari segi sara hidup bagi kelompok masyarakat yang kurang berkemampuan.

Katanya, bajet yang cukup untuk pendidikan dapat mendukung penelitian dan pengembangan di institusi pendidikan tinggi.

“Ini menciptakan persekitaran yang kondusif bagi pengembangan teknologi dan inovasi terutama dalam pendidikan abad ke-21 yang mana ia dapat meningkatkan inovasi dan pengembangan teknologi negara.

“Ini akan meningkatkan daya saing negara di pasaran global. Tenaga kerja yang terampil dan berpendidikan tinggi akan memiliki lebih banyak peluang dalam mencari pekerjaan yang berkualiti,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif di bawah Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, orang ramai boleh layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.

BERITA HARIAN ONLINE

Friday, 4 August 2023

MA63: PENURUNAN KUASA BIDANG PENDIDIKAN AMBIL SEDIKIT MASA UNTUK DIMUKTAMAD - FADHLINA

PORT DICKSON, 4 Ogos (Bernama) -- Perbincangan berkaitan penurunan kuasa dalam bidang pendidikan di Sabah dan Sarawak dijangka mengambil sedikit masa untuk dimuktamad.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkara dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang membabitkan kepentingan pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, berjalan dengan baik.

"Saya ingin maklumkan jawatankuasa ini sangat progresif, perbincangan berlaku dalam keadaan sangat harmoni dan banyak isu sedang diteliti serta perhalusi secara bersama," katanya selepas merasmikan Majlis Gotong-Royong MADANI Peringkat Negeri Sembilan dan Sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun Briged Pertama Infantri Malaysia di Sekolah Kebangsaaan Si Rusa di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Sabah berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan dalam masa terdekat seperti dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal MA63.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik yang semakin merudum, Fadhlina berkata ia satu cabaran yang perlu diatasi oleh Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata hala tuju Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) akan diperkukuh selain pelbagai intervensi serta inisiatif diambil dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menangani perkara itu.

"Kita juga perlukan lebih banyak penglibatan komuniti, input dan komitmen ibu bapa khususnya dalam mendorong anak-anak meminati STEM," katanya.

Sambutan Jubli Intan Hari Ulang Tahun Briged Pertama Infantri Malaysia menyaksikan penyertaan 200 anggota tentera dalam aktiviti gotong-royong, mengecat, memotong rumput di sekolah terbabit.

Panglima Markas Briged Pertama Infantri Brigadier Jeneral Mohamad Noorlizam Shamsuddin berkata program itu turut menyediakan pameran ketenteraan bagi menggalakkan penyertaan guru sebagai askar wataniah.

"Program seumpama ini dapat mendidik dan menggalakkan rakyat kita khasnya guru ataupun murid berbangsa India atau Cina sertai askar wataniah," katanya kepada pemberita sambil menambah ia akan diperluas ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

BERNAMA ONLINE

Tuesday, 1 August 2023

SABAH HARAP PENURUNAN KUASA BIDANG PENDIDIKAN, KESIHATAN DIMUKTAMAD - HAJIJI

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat memuktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan dalam masa terdekat, seperti dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu, berkata dengan mempunyai lebih autonomi, kerajaan negeri akan dapat memastikan sistem pendidikan Sabah, mampu bergerak maju seiring dengan Semenanjung.

Hajiji berkata penurunan kuasa yang memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan pengurusan itu, akan lebih memudahkan kerajaan Sabah melaksanakan seterusnya mempercepat setiap projek pembangunan pendidikan, selain pelantikan dalam perjawatan perguruan seperti diharapkan oleh rakyat negeri itu.

“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga, secara tidak langsung membuktikan kepercayaan kerajaan Persekutuan kepada jentera kerajaan negeri, khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di Sabah.

“Kita yakin dengan adanya autonomi ini, kerajaan negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu berkaitan pendidikan di negeri ini,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di sini, hari ini.

Pada 15 Mei, Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 berkata sekretariat itu, antara lain sedang membincangkan mengenai pemberian kuasa pentadbiran untuk sektor pendidikan dan kesihatan di Sabah serta Sarawak, terutama melibatkan pengambilan petugas.

Fadillah berkata Sabah dan Sarawak menghadapi cabaran dalam sektor pendidikan serta kesihatan, kerana perancangan melibatkan sektor itu dilaksanakan di Putrajaya, termasuk isu penting seperti pengambilan petugas.

Hajiji berkata pegawai bagi kedua-dua bidang itu di peringkat negeri, mempunyai pengetahuan lebih baik mengenai permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.

“Dengan itu, kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat,” katanya.

Sementara itu, Hajiji ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata, kerajaan Sabah sedang memperinci dan memperhalusi perjanjian perdagangan karbon, kerana ia satu bidang yang baik untuk diterokai.

“Ini kerana kita boleh memperolehi hasil lumayan daripada perdagangan karbon ini. Tetapi, perkara-perkara melibatkan pengurusan, kawasan dan lain-lain mesti dijalankan secara baik dan teratur,” katanya ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan Sabah berhubung perkara itu.

Pada Khamis (27 Julai), Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) untuk perdagangan karbon negeri itu masih berjalan, namun berdepan penangguhan pada masa ini dan langkah itu dijangka membuahkan hasil sekitar 18 bulan lagi.

BERNAMA ONLINE