Saturday, 5 August 2023

PERUNTUKAN RM70.5 BILION PERKASA SEMULA PENDIDIKAN NEGARA

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM55.2 bilion dan RM15.3 bilion dalam Belanjawan 2023 masing-masing bagi sektor pendidikan dan pendidikan tinggi, menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu memulihkan kembali sektor pendidikan negara selepas dua tahun pandemik COVID-19.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata menerusi peruntukan yang diberikan, pelbagai langkah dan usaha ke arah itu dapat dilihat dan sudah diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Antaranya, memastikan isu sekolah daif dan kekurangan kemudahan infrastruktur di sekolah diselesaikan dengan segera.

“Selepas lebih enam bulan Belanjawan 2023 dibentangkan, banyak perkara menarik sedang berlaku dalam sektor pendidikan yang mana dana diterima digunakan menjurus kepada usaha memulihkan kembali sektor pendidikan selepas dua tahun negara berhadapan dengan pandemik.

“Kebanyakan peruntukan itu disalurkan untuk aktiviti pemulihan seperti memastikan isu sekolah daif dapat diselesaikan secepat mungkin, selain kemudahan infrastruktur di sekolah ditambah baik serta dinaik taraf. Ini fokus utama bagi peruntukan kali ini.

“Jika isu membabitkan sekolah daif dan infrastruktur yang kurang memuaskan tidak diselesaikan secepat mungkin, ia pasti akan mengganggu serta menghalang pembelajaran pelajar serta usaha guru untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat berjalan dengan baik,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, selain itu juga dapat dilihat berlaku peningkatan penyediaan bantuan pendidikan kepada anak-anak, khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan serta miskin.

“Kita dapat lihat kadar untuk makanan bermasak program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 bagi Semenanjung dan daripada RM3 kepada RM4 di Sabah dan Sarawak.

“Begitu juga bantuan awal persekolahan turut dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun peruntukan keseluruhannya tidak begitu besar kerana turut membabitkan penggajian guru, ia penting untuk memastikan sistem pendidikan pulih dan pembelajaran anak berjalan lancar.

“Guru juga mendapat kemudahan untuk meneruskan PdP dengan lebih berkesan serta dapat memastikan kumpulan miskin, iaitu anak daripada golongan tidak berkemampuan boleh meneruskan pendidikan mereka dengan bantuan yang diberikan kerajaan.

“Peruntukan ini memadai untuk keadaan sekarang kerana ekonomi yang mencabar, manakala pendapatan kerajaan juga tidak begitu berganda, selain kita juga perlu menyelesaikan hutang negara yang ada.

“Justeru, peruntukan diberikan untuk sektor pendidikan adalah satu jumlah yang munasabah untuk menguruskan sistem pendidikan kita pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi manfaat ini, ia dapat memastikan kualiti pendidikan negara dipertingkatkan.

Beliau berharap, agar peruntukan seumpama itu dikekalkan untuk sektor pendidikan bagi Belanjawan 2024 dan seterusnya untuk tujuan pembangunan serta memastikan pendigitalan pendidikan dapat dilaksanakan dan akan menjadi teras kepada kemajuan pendidikan pasca 2025.

“Kita harapkan kerajaan akan bersedia untuk melabur dengan jumlah peruntukan yang lebih besar pada tahun seterusnya bagi memastikan sektor pendidikan ini berkembang dengan baik kerana sistem pendidikan berkualiti akan menghasilkan pelajar berkualiti,” katanya.

Tambah beliau, jika dilihat dalam aspek pelaburan pendidikan, data atau kajian lepas menunjukkan, semakin banyak kerajaan melabur dalam sektor pendidikan sejak pada peringkat sekolah rendah, impak hasil akan terus berkembang.

Tingkat aksesibiliti pendidikan

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Akademik Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Suriyani Ariffin, berkata pada peringkat lebih tinggi, Belanjawan 2023 memberi peluang meningkatkan aksesibiliti dalam pendidikan sepanjang hayat pelajar, terutama dari segi sara hidup bagi kelompok masyarakat yang kurang berkemampuan.

Katanya, bajet yang cukup untuk pendidikan dapat mendukung penelitian dan pengembangan di institusi pendidikan tinggi.

“Ini menciptakan persekitaran yang kondusif bagi pengembangan teknologi dan inovasi terutama dalam pendidikan abad ke-21 yang mana ia dapat meningkatkan inovasi dan pengembangan teknologi negara.

“Ini akan meningkatkan daya saing negara di pasaran global. Tenaga kerja yang terampil dan berpendidikan tinggi akan memiliki lebih banyak peluang dalam mencari pekerjaan yang berkualiti,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif di bawah Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, orang ramai boleh layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment