Monday, 5 August 2019

TULISAN JAWI TIDAK WAJAR DIJADIKAN ISU - NUTP


Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock (kanan)
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) Tahun 4 pada tahun depan tidak wajar dijadikan isu kerana itu bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock, berkata untuk makluman murid sudah mengenali seni tulisan jawi, seni tulisan Cina dan seni tulisan Tamil dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan sejak 2011 kepada murid Tahun Satu.
Beliau berkata, pada 2015 seni tulisan itu ada dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’.
“Tahun ini ialah semakan KSSR Tahun 4. Biarlah golongan profesional melakukan perbincangan dan mencari jalan supaya pembelajaran seni khat ini tidak membebankan murid kita, di samping memupuk gaya penulisan yang indah menjelang 2020,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan pengenalan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk SJK Cina dan SJK Tamil.
Keputusan itu turut membabitkan pengenalan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun 4 tahun hadapan.
Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan menegaskan akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran BM Tahun 4 pada tahun depan.
Pelaksanaan itu akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru kerana perancangan untuk memperkenalkan tulisan jawi dalam kurikulum sekolah sudah bermula sejak 2014.
BERITA HARIAN ONLINE

Sunday, 4 August 2019

NUTP URGES MOE TO EXPLAIN UPSR ABOLITION ISSUE


The National Union of Teaching Profession (NUTP) has called on the Ministry of Education (MoE) to break its silence on the proposed abolition of the Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

KUALA LUMPUR: The National Union of Teaching Profession (NUTP) has called on the Ministry of Education (MoE) to break its silence on the proposed abolition of the Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Its secretary-general Harry Tan Huat Hock said so far, there had been no progress on the issue, although an agreement to abolish it had been announced by former education minister Datuk Seri Mahdzir Khalid in 2016.
“The NUTP has been trying to get feedback from time to time but thus far, there has been no response from the ministry."
He added that the abolition of UPSR could also reduce the pressure and burden on students, as well as change the perception by certain parties that scoring A’s is the benchmark of a student's quality.
The move does not mean that students will not be evaluated at all, especially with regards to enrollment at fully residential schools (SBP), he said.
“Students will still be evaluated based on their respective schools’ assessments rather than solely on a centralised examination,” he said.
Tan said NUTP was also willing to work with the MoE in improving school-based assessments to have instruments that can assist teachers towards students’ excellence.
“We only hope that NUTP to be involved with the MoE during discussions to finalise the proposal to abolish UPSR,” he said.

NEW STRAITS TIMES ONLINE

NUTP MAHU KERAJAAN MANSUHKAN UPSR

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan dalam usaha transformasi sistem pendidikan berteraskan penilaian peperiksaan, selain melahirkan murid yang lebih baik.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, ketika menyuarakan cadangan itu berkata, pihaknya tidak melihat keperluan untuk mengekalkan UPSR dalam sistem penilaian pendidikan sehingga menyaksikan murid terpaksa menanggung beban untuk mendapat keputusan cemerlang.
Sehubungan itu, katanya, percaturan memansuhkan UPSR berupaya mengurangkan tekanan dan bebanan kepada murid, selain mengubah persepsi segelintir masyarakat yang menganggap ‘A’ semata-mata sebagai kayu pengukur kecemerlangan.
“Pemansuhan UPSR bukan bermakna tiada penilaian dikendalikan terhadap murid, terutama bagi menentukan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sebaliknya mereka akan diuji berasaskan pentaksiran oleh sekolah masing-masing dan bukannya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata.
“NUTP akan bersama-sama Kementerian Pendidikan untuk membantu bagaimana UPSR dimansuhkan, selain melakukan penambahbaikan terhadap pentaksiran berasaskan sekolah supaya ada instrumen yang berupaya membantu guru ke arah kecemerlangan murid.
“Kita juga mohon supaya NUTP dimasukkan dalam sesi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi memuktamadkan cadangan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Usul memansuhkan UPSR diketengahkan sejak 2016 lalu, namun Kementerian Pendidikan sehingga kini belum memberikan ‘kata putus’ mengenai langkah menggantikan modul peperiksaan itu kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
BERITA HARIAN ONLINE

Saturday, 3 August 2019

KEPUTUSAN PERKENAL SENI KHAT, TULISAN JAWI MUKTAMAD - PM


Dr Mahathir berucap pada Townhall Semarak Merdeka bersama Perdana Menteri di Hotel Hatten di Melaka, hari ini.
MELAKA: Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, kerajaan selama ini tidak pernah menghalang kaum lain untuk mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa.
“Tulisan bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain termasuk Filipina, Indonesia dan Thailand. Ini adalah sesuatu yang istimewa (di Malaysia) kerana tidak pernah menghalang penggunaan tulisan kaum masing-masing.
“Tidak kenalah kalau segelintir pihak dalam DAP dan pertubuhan tertentu untuk menentang penulisan khat. Penulisan khat suatu seni yang tinggi dan saya fikir kita boleh teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berdialog bersama penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) sempena Townhall Semarak Merdeka bersama Perdana Menteri di Hotel Hatten di sini, hari ini.
Kenyataan tegas Perdana Menteri itu mendapat tepukan gemuruh kira-kira 2,000 peserta program yang dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Yang hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan EXCO Pendidikan, Sains, Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Noor Effendi Ahmad.
Dr Mahathir mengulas tindakan beberapa pemimpin akar umbi DAP termasuk sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu membantah pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi sebagai sebahagian subjek bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah jenis kebangsaan.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.
Keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, tanpa politik negara tidak akan mencapai kemerdekaan walaupun sesetengah pihak menganggap politik itu kotor.
Katanya, politik sebenarnya banyak memberi manfaat kepada bangsa dan negara termasuk menjadi wadah perjuangan pemimpin terdahulu untuk memerdekakan negara daripada penjajah.
“Yang salahnya bukan politik tetapi perbuatan orang politik. Apabila mereka berkuasa, salah guna kuasa.. curi duit, amalkan rasuah dan menekan orang lain,” katanya.
Mengulas mengenai perit getir pemimpin terdahulu menuntut kemerdekaan, Dr Mahathir berkata generasi muda seharusnya mengenang dan menghargai pengorbanan mereka yang menggagalkan usaha British menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu.
“Bantahan rakyat yang bersatu berjaya menggagalkan rancangan British itu, sebelum kesedaran politik menyatukan rakyat sehingga bangkit untuk menuntut kemerdekaan pada 1957,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

Thursday, 1 August 2019

LOGO DAN TEMA HARI KEBANGSAAN

LOGO DAN TEMA HARI KEBANGSAAN
Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Tabung Jasamu Dikenang Ex-KBTC 2019 di Putrajaya
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Kota Bharu Teacher’s College (KBTC) atau kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu dikembalikan peranannya untuk melatih guru, bukan sahaja dari Malaysia malah di rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited mengembalikan kegemilangan KBTC, iaitu antara institusi latihan guru tertua di Malaysia yang berasal dari England.
“Di awal penubuhannya dulu iaitu kira-kira pada 1952, sebahagian besar pensyarah malah pengetuanya diambil dari England. Ia berkait terus dengan Pusat Latihan Guru ternama di England iaitu Brindsford Lodge dan Kirkby.
“Apabila KBTC ditubuhkan di Kota Bharu, ia dikhususkan untuk melatih guru sekolah rendah. Malah di awal penubuhannya, KBTC turut melatih guru dari Brunei dan Singapura,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Tabung Jasamu Dikenang Ex-KBTC 2019 di sini, malam ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Presiden Ex-KBTC, Raja Razlan Yaacob serta Pengerusi Majlis Reunion 2019, A Jalil Ahmad.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata, Malaysia membangun dengan pesat dan teratur selepas mencapai kemerdekaan yang mana sebahagian besar adalah hasil sumbangan guru.
Menggambarkan sumbangan besar guru, Perdana Menteri berkata, selepas ibu bapa, golongan pendidik adalah barisan paling hadapan dalam membentuk masyarakat yang kemudian memimpin negara.
Malah, katanya, dalam keadaan tertentu, terutama apabila ibu bapa bekerja, guru menjadi pengganti kepada pelajar, sekali gus memperlihatkan tanggungjawab guru amat dinamik serta memerlukan mereka bersifat serba boleh dan boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan.
“Saya mungkin memerlukan banyak masa untuk terus memperkatakan betapa penting dan besarnya tanggungjawab serta peranan guru dalam pembentukan negara bangsa.
“Memadai jika saya katakan jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa itu terletak di tangan guru,” katanya.
Sempena majlis itu, Perdana Menteri melancarkan Tabung Jasamu Dikenang KBTC bertujuan membiayai sebahagian kos perubatan pesara guru KBTC yang menderita penyakit kronik.
Turut diadakan jualan amal lukisan beberapa pelukis tempatan iaitu Mohamad Sanip Lasman, Allahyarham M Zain, Osman Akhbar Long, Jamal Tommy dan Raja Fadzilah Raja Brima Sulong bagi tujuan mengisi tabung.
Sementara itu, A Jalil berkata, inisiatif memulakan Tabung Jasamu Dikenang dirancang apabila ramai ahli yang semakin uzur dan menjalani rawatan berkala di hospital.
“Malah ketika hadir majlis reunion (pertemuan semula) lalu, ada ahli datang berkerusi roda. Ada juga tidak dapat hadir kerana menjalani rawatan dialisis,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

KERAJAAN HASRAT KEMBALIKAN PERANAN KBTC MELATIH GURU DI RANTAU ASIA TENGGARA - PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan berhasrat mengembalikan semula peranan Kota Bharu Teacher’s College (KBTC), yang kini dikenali sebagai Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, sebagai tempat yang akan melatih guru-guru bukan sahaja dari Malaysia malahan di rantau Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata IPG Kota Bharu merupakan antara salah sebuah institusi latihan guru yang tertua di Malaysia dan di awal penubuhanya turut melatih guru-guru dari Brunei dan Singapura.

“Kini, di bawah pentadbiran kerajaan yang baharu, KBTC akan dikembalikan peranannya iaitu untuk melatih guru-guru bukan sahaja dari Malaysia malahan di rantau Asia Tenggara.

“Saya amat berharap kegemilangan KBTC akan bertambah menyerlah selepas ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Perjumpaan Ex-KBTC di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Ditanya bila KBTC akan mula melatih guru-guru dari rantau Asia Tenggara, Dr Mahathir berkata: “Secepat mungkin.”

Menurut Dr Mahathir, KBTC merupakan kolej latihan guru yang berasal dari England di mana di awal penubuhannya iaitu pada tahun 1952, sebahagian besar pensyarah malah pengetuanya merupakan mereka yang diambil dari England. 

Menurutnya lagi, KBTC berkait terus dengan Pusat Latihan Guru ternama di England iaitu Brindsford Lodge dan Kirkby.

Menyentuh peranan guru-guru dalam pembangunan sesebuah negara, Dr Mahathir berkata Malaysia berjaya membangun dengan pesat dan teratur setelah mencapai kemerdekaan yang sebahagian besarnya adalah hasil dari sumbangan guru-guru.

Selepas ibu dan bapa, guru-guru adalah barisan paling hadapan dalam membentuk masyarakat yang kemudian akan membimbing negara, katanya.

“Ini memperlihatkan betapa tanggungjawab dan peranan guru-guru itu amat dinamik dan memerlukan mereka bersifat serba boleh, dan boleh menyesuaikan diri di dalam apa jua keadaan.

“Memadai jika saya katakan jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa itu terletak di tangan guru-guru,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melancarkan Dana Jasamu Dikenang yang bertujuan membantu ahli-ahli KBTC yang mengalami masalah kesihatan.

“Menyokong dan menderma kepada dana ini adalah salah satu cara untuk kita menyatakan penghargaan kita kepada pengorbanan mereka,” kata Dr Mahathir.

BERNAMA ONLINE