Thursday, 1 August 2019


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Tabung Jasamu Dikenang Ex-KBTC 2019 di Putrajaya
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Kota Bharu Teacher’s College (KBTC) atau kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu dikembalikan peranannya untuk melatih guru, bukan sahaja dari Malaysia malah di rantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited mengembalikan kegemilangan KBTC, iaitu antara institusi latihan guru tertua di Malaysia yang berasal dari England.
“Di awal penubuhannya dulu iaitu kira-kira pada 1952, sebahagian besar pensyarah malah pengetuanya diambil dari England. Ia berkait terus dengan Pusat Latihan Guru ternama di England iaitu Brindsford Lodge dan Kirkby.
“Apabila KBTC ditubuhkan di Kota Bharu, ia dikhususkan untuk melatih guru sekolah rendah. Malah di awal penubuhannya, KBTC turut melatih guru dari Brunei dan Singapura,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Amal dan Pelancaran Tabung Jasamu Dikenang Ex-KBTC 2019 di sini, malam ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Presiden Ex-KBTC, Raja Razlan Yaacob serta Pengerusi Majlis Reunion 2019, A Jalil Ahmad.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata, Malaysia membangun dengan pesat dan teratur selepas mencapai kemerdekaan yang mana sebahagian besar adalah hasil sumbangan guru.
Menggambarkan sumbangan besar guru, Perdana Menteri berkata, selepas ibu bapa, golongan pendidik adalah barisan paling hadapan dalam membentuk masyarakat yang kemudian memimpin negara.
Malah, katanya, dalam keadaan tertentu, terutama apabila ibu bapa bekerja, guru menjadi pengganti kepada pelajar, sekali gus memperlihatkan tanggungjawab guru amat dinamik serta memerlukan mereka bersifat serba boleh dan boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan.
“Saya mungkin memerlukan banyak masa untuk terus memperkatakan betapa penting dan besarnya tanggungjawab serta peranan guru dalam pembentukan negara bangsa.
“Memadai jika saya katakan jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa itu terletak di tangan guru,” katanya.
Sempena majlis itu, Perdana Menteri melancarkan Tabung Jasamu Dikenang KBTC bertujuan membiayai sebahagian kos perubatan pesara guru KBTC yang menderita penyakit kronik.
Turut diadakan jualan amal lukisan beberapa pelukis tempatan iaitu Mohamad Sanip Lasman, Allahyarham M Zain, Osman Akhbar Long, Jamal Tommy dan Raja Fadzilah Raja Brima Sulong bagi tujuan mengisi tabung.
Sementara itu, A Jalil berkata, inisiatif memulakan Tabung Jasamu Dikenang dirancang apabila ramai ahli yang semakin uzur dan menjalani rawatan berkala di hospital.
“Malah ketika hadir majlis reunion (pertemuan semula) lalu, ada ahli datang berkerusi roda. Ada juga tidak dapat hadir kerana menjalani rawatan dialisis,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment