Wednesday, 14 August 2019

PENDIDIKAN SIVIK HARAP TUMPU PADA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, KONTRAK SOSIAL - MBM


KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap konsep Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial yang menjadi asas kepada kenegaraan Malaysia diberi keutamaan dalam Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas.

Naib Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata pelaksanaan itu juga diharap dapat memaparkan toleransi yang diamalkan oleh pengasas negara ini khusus dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kenegaraan Malaysia.

"MBM melihat pengenalan semula Pendidikan Sivik adalah tepat pada masanya, khususnya apabila kerajaan telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

"Pendidikan kewarganegaraan sudah tentunya antara aspek yang akan diterapkan pada Pendidikan Sivik yang baru dilaksanakan ini dan diharap penerangan berkenaan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan diberi penekanan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Izzat Afifi yang juga Pengerusi Biro Pendidikan MBM berkata Pendidikan Sivik pernah dijadikan satu subjek khusus bermula 2005 dan kemudiannya dimansuhkan pada 2013 bagi Sekolah Rendah dan tahun 2017 bagi Sekolah Menengah.

Selain itu, beliau berkata Pendidikan Sivik yang diserapkan dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral adalah amat baik kerana tidak akan membebankan murid dengan subjek baharu selain tidak akan meningkatkan kos bagi Kementerian Pendidikan.

"Penekanan kepada nilai murni sepertimana yang dinyatakan dalam teras Pendidikan Sivik juga amat tepat dan kena pada masanya.

"Ini juga bertepatan dengan nasihat yang sering diutarakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan nilai murni yang harus ditekan dalam pendidikan, berbanding hanya berteraskan peperiksaan dan markah semata mata selain intipati Dasar Pandang Ke Timur yang sering dilaung-laungkan oleh perdana menteri," katanya.

Sementara itu, Mohd Izzat Afifi berkata MBM juga sedia membantu memastikan Pendidikan Sivik dan Kenegaraan ini dapat mencapai matlamat dan hasratnya khusus di sektor pendidikan tidak formal. 

Dr Mahathir semalam melancarkan Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan 2019 dengan ia dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa  Melayu,  Bahasa Inggeris,  Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah selain turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum.

BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment