PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan
Pendidikan Sivik di sekolah yang bermula sejak Jun lepas (2019) dilakukan
secara bersepadu dan holistik dengan penekanan terhadap literasi sivik dan
amali sivik, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
“Pelaksanaannya dilakukan di dalam dan di
luar bilik darjah yang melibatkan pihak sekolah, komuniti, swasta dan
kementerian,” katanya pada majlis pelancaran Pendidikan Sivik oleh Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini.
Pendidikan Sivik dilaksanakan selama sejam
pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Anak-anak di pra-sekolah pula akan diajar
pendidikan sivik selama 30 minit, dan dalam masa yang sama, pendidikan sivik
turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kurikulum, katanya.
Menurut Maszlee, modul, konsep dan pendekatan
baharu dalam Pendidikan Sivik di semua sekolah peringkat pra-sekolah, sekolah
rendah dan menengah di seluruh negara dilaksanakan atas impian dan nasihat Dr
Mahathir.
“Anak-anak kita akan mengenal nilai-nilai
murni dan etika. Mereka juga akan diajarkan apakah itu pengetahuan
kewarganegaraan,” katanya.
Menurut Maszlee, pihaknya telah menyediakan
perincian pemetaan pendidikan sivik dan membangunkan modul exemplar pendidikan
sivik, manual perhimpunan sekolah dan amalan nilai murni serta manual amalan
pendidikan sivik dalam kurikulum untuk membantu guru melaksanakan pendidikan
sivik.
Katanya beberapa pihak swasta turut tampil
membantu mempromosi nilai-nilai sivik yang diajar di sekolah agar dapat juga
dipromosikan di luar sekolah.
Maszlee berkata pendidikan sivik adalah
untuk membentuk seorang warganegara yang mengetahui hak, bertanggungjawab dan
berakhlak mulia untuk menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan negara.
"Anak-anak kita akan belajar
integriti, amanah, rajin bekerja, berdisiplin, membenci rasuah dan salah guna
kuasa, bahayanya buli, pentingnya menghargai golongan kurang upaya, pentingnya
saling hormat-menghormati perbezaan satu sama lain, perpaduan serta cintakan
tanah air," katanya.
Ditanya mengenai hasrat pemimpin DAP yang
akan membangkitkan lagi isu pelaksanaan seni khat dalam mesyuarat Kabinet esok,
Maszlee yang ditemui selepas majlis pelancaran itu berkata beliau bukan anggota
DAP dan meminta soalan itu diajukan kepada anggota DAP.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga
Menteri Kewangan dilaporkan sekali lagi akan membawa usul untuk menilai kembali
pelaksanaan seni khat atau tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun
Empat dalam mesyuarat Kabinet esok.
Kali pertama membangkitkan isu sama pada 7
Ogos lalu, Lim memaklumkan Kabinet hanya bersetuju pelaksanaannya bukanlah
wajib tetapi pilihan.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment