Thursday 8 August 2019

KOPERASI SEKOLAH WADAH EFEKTIF LATIH PELAJAR MENJADI USAHAWAN


KLUANG, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri percaya kewujudan koperasi sekolah boleh menjadi wadah efektif untuk melatih pelajar berniaga, seterusnya menjadi usahawan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Ali berkata ini kerana penglibatan dalam koperasi membolehkan pelajar mempelajari selok belok pentadbiran dan pengurusan koperasi selain untuk memperkukuhkan jati diri mereka.

Beliau berkata mengambil kira faktor itu, pelbagai program harus dilakukan pihak sekolah dalam mendidik lagi semangat keusahawanan.

Menurutnya ini selari dengan harapan kerajaan negeri agar aktiviti pembangunan usahawan dan pembudayaan keusahawanan dapat bergerak seiring, sebagaimana yang telah dirancang melalui Program Azam Usahawan Muda Johor dalam Belanjawan Johor 2019.

“Sekarang sudah menjadi trend kebanyakan koperasi sekolah mewujudkan kiosk dan ini adalah satu perkembangan yang baik kerana koperasi turut memainkan peranan penting kepada asas ekonomi negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata demikian dalam persidangan media sempena Majlis Pelancaran Program Azam Usahawan Muda Johor Tahun 2019 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa 2 di sini.


BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment