KUALA LUMPUR: Pengenalan tulisan khat untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tahun 4 tidak akan membebankan guru dan murid kerana ia tidak diuji dalam peperiksaan dan tiada pentaksiran.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan, berkata pengenalan tulisan khat untuk murid Tahun Empat SJK mulai tahun depan itu sebenarnya adalah hasil dari pengkonsepsian Kurikulum Sekolah Rendah pada 2014.
Katanya perkara itu sudah melalui pemetaan dan pembinaan kurikulum Tahap 1 pada 2015, manakala pada 2016-2017, pembinaan kurikulum Tahap 2 pula dilaksanakan.
“Ini bermakna, penggubalan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) membabitkan pengenalan tulisan khat ini sudah dilakukan sejak 2014 lagi.
“Usaha ini juga sudah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan serta kajian rintis di sekolah terpilih.
“Justeru, pihak kementerian ingin menegaskan pengenalan tulisan khat ini tidak akan membebankan guru dan murid kerana ia tidak akan diuji dalam peperiksaan dan tiada pentaksiran,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap isu itu.
“Ini menunjukkan agenda pendidikan adalah agenda yang sentiasa mendapat perhatian semua,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil menolak keputusan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 SJK Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).
Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu mendakwa pengenalan tulisan khat bagi murid di dua aliran sekolah terbabit tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.
Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen, berkata jika Kementerian Pendidikan bertegas mahu melaksanakan dasar berkenaan, mereka sepakat meminta rundingan diadakan dengan pemegang taruh bersama pihak terbabit dalam pendidikan Cina dan Tamil sebelum pelajaran tulisan khat bagi murid Tahun 4 di SJKC dan SJKT dilaksanakan mulai tahun depan.
Katanya, mereka turut mendesak kementerian menjelaskan terlebih dulu kandungan Dokumen Standard Kurikulum Peperiksaan (DSKP) dan buku teks berhubung keputusan pengenalan pelajaran tulisan khat.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment