Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan
KUALA LUMPUR: Usaha memartabatkan karya sastera hanya sia-sia selagi masyarakat terutama generasi muda tidak mengiktiraf bidang itu sebagai pasak yang membangunkan negara dan jiwa bangsa.
Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan, berkata sejak dahulu lagi karya sastera sememangnya kurang mendapat tempat di hati masyarakat berbanding naskhah popular, sekali gus menjadikan gerakan memperkasa karya sastera di negara ini masih ada kelompongan.
“Memang sejak dulu lagi masyarakat umum kurang menerima karya sastera kerana mereka lebih minat dengan novel popular atau pembacaan ringan.
“Oleh itu, SN tidak boleh hidup dengan hasil jualan buku semata-mata kerana naskhah kami kurang dapat sambutan.
“SN berkorban untuk hasilkan naskhah sastera, malah ada yang hilang pendapatan kerana sanggup berhenti kerja atau bersara daripada tugas hakiki semata-mata mahu memperjuangkan sastera untuk anak bangsa,” katanya kepada Sastera BH di sini.
Mengulas lanjut, Zurinah berkata, meskipun karya sastera bukan berorientasikan keuntungan seperti penerbitan naskhah komersil yang menjana pulangan mencecah hingga ratusan ribu ringgit, naskhah itu tidak boleh dipinggirkan kerana ia mengandungi jati diri, nilai budaya dan sejarah ketamadunan sesuatu bangsa.
“Penyuburan karya sastera perlu bermula dari sekolah lagi dengan memperbanyak naskhah di perpustakaan supaya mudah diakses pelajar dan guru.
“Malah, teknik pembelajaran menyeronokkan termasuk aktiviti bacaan puisi dan pantun yang boleh dijadikan aktiviti untuk menarik minat pelajar tanpa terlalu bergantung kaedah pembelajaran menggunakan teks.
“Guru yang mengajar sastera perlu mempunyai minat mendalam dalam bidang ini dan menguasai kemahiran aras tinggi Bahasa Melayu supaya penyampaian ilmu sastera itu difahami dan dapat dihayati pelajar,” katanya.
Zurinah berkata, pemikiran sempit mendakwa sastera tidak mempunyai kebolehpasaran kerja juga wajar disangkal kerana ia akan menyebabkan jurang sastera dengan masyarakat semakin melebar, sedangkan pembangunan jiwa dan modal insan adalah bermula daripada sastera.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman.
Sementara itu, Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir berkata, pasaran karya sastera baik dan bermutu dari segi nilainya adalah rendah dan ia senario yang berlaku sejak dahulu.
“Perlu ada usaha agresif untuk membawa karya SN termasuk karya penulis muda yang berkualiti ke universiti atau sekolah. Bagaimanapun, karya yang akan diketengahkan ini perlu dipastikan benar-benar bermutu.
“Kita percaya setiap SN mempunyai karya baik atau magnum opus yang boleh diketengahkan.
“Jadi saringan pemilihan karya terbaik ini penting kerana jika kita tersilap pilih karya yang tidak baik atau kurang bermutu, secara tidak langsung ia akan mencalar imej SN sebagai satu institusi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mahu universiti awam (UA) membawa SN ke institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan ini kepada negara, adalah bertepatan untuk mengimarahkan dunia kesusasteraan tanah air kepada pelajar universiti.
“Universiti sebagai pihak yang mempunyai kuasa autonomi, lebih bebas melaksanakan pelbagai pendekatan untuk memperkasa sastera termasuk mengetengahkan karya SN memandang modul pengajian dan sukatan di institusi pengajian tinggi tidak terikat dan lebih bebas berbanding sekolah,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment