PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Pendidikan Sivik yang mula
dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu
yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.
Dalam hidup bermasyarakat, katanya
sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan
sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.
"Saya percaya bukan sahaja anak-anak
kita akan menjadi orang yang civic minded, tetapi guru-guru semasa mereka
mendidik, tentulah akan sematkan nilai-nilai sivik yang sama.
"Dengan itu, percayalah negara kita
akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat
dunia," katanya semasa melancarkan Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan
2019, di sini hari ini.
Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu
jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, Pendidikan
Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah selain
turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum.
Dr Mahathir berkata amat penting bagi bagi
masyarakat untuk memahami bahawa yang menentukan jaya atau tidak seseorang
mahupun sesuatu bangsa adalah bergantung kepada nilai hidup, contohnya sifat
amanah.
"Umpamanya, kita mengambil hak orang
lain kerana tiada siapa melihat kerana kita berpendapat, tidak ada siapa yang
akan bertindak terhadap kita.
"Kalau kita mempunyai sifat semacam
itu dan anggota-anggota lain dalam masyarakat juga begitu, maka masyarakat
sudah tentu akan jadi kucar-kacir, tidak tersusun, tidak tenteram tidak aman
dan tidak stabil," katanya.
Merujuk kepada pihak-pihak yang terlibat
dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland, Nora Anne
Quoirin,15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban sejak 4 Ogos
lepas, Dr Mahathir berkata ia adalah contoh pegangan nilai sivik yang tinggi
dalam masyarakat.
"Ada orang sanggup ketepikan Hari Raya
Haji untuk cari wanita hilang itu. Ini menunjukkan pegangan nilai sivik yang
tinggi dalam kalangan kita, kalau kita mempunyai nilai sivik tinggi maka
keadaan sekeliling kita akan menjadi amat baik," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata beliau
yakin Pendidikan Sivik tidak akan menambahkan beban kepada guru dan murid.
"Setakat ini belum ada demonstrasi
seperti demonstrasi terhadap (isu tulisan) khat," katanya secara
berseloroh.
Beliau berkata tugas mendidik nilai sivik
perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara memandangkan tanggungjawab itu
tidak lagi boleh diletakkan kepada ibu bapa semata-mata.
"Sekarang ini ibu bapa berkerja dan
tidak ada masa untuk ajar anak berkenaan sivik, tanggungjawab, nilai hidup dan
sebagainya, maka kita perlu pindahkan usaha mendidik ini kepada sistem
pendidikan," katanya.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment