KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) --
Pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah yang bermula sejak Jun lepas akan
menumpukan kepada empat nilai teras iaitu kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati
dan tanggungjawab.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Dr Mohamed Abu Bakar berkata, berteraskan
empat nilai itu juga, KPM dapat menyediakan topik bersesuaian untuk dimasukkan
dalam mata pelajaran berkaitan.
“Empat nilai teras ini sebenarnya
diilhamkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sendiri dengan perbincangan
dengan pakar-pakar yang terlibat.
“Nilai-nilai ini dipecahkan kepada beberapa
topik kecil dengan penumpuan kepada isu berkaitan cabaran masa kini contohnya
masalah sosial, kesihatan, pendidikan seksual, keselamatan jalan raya, hak
asasi sebagai warganegara dan isu perpaduan,” katanya selepas menjadi tetamu
dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, hari ini.
Pendidikan Sivik dilaksanakan selama sejam pada
minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Anak-anak di prasekolah pula akan diajar
pendidikan sivik selama 30 minit, dan dalam masa yang sama, pendidikan sivik
turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kurikulum.
Dalam pada itu Mohamed menekankan peranan
guru dan ibu bapa dalam menjayakan pelaksanaan pendidikan sivik bagi memastikan
hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melihat masyarakat
Malaysia yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa dapat
direalisasikan.
“Peranan paling penting ialah guru kerana
mereka yang akan mengajar di bilik darjah dan kita sudah berikan latihan tetapi
mereka perlu ada semangat kepunyaan serta yakin dengan pendidikan sivik supaya
mereka seronok mengajar, tidak hanya sambil lewa sehingga menyebabkan murid
bosan.
“Ibu bapa pula perlu memainkan peranan
lebih di rumah untuk sama-sama menerapkan nilai sivik ini kerana pencapaian
pendidikan sivik lebih berdasarkan amali dengan bantuan masyarakat sekeliling,”
katanya.
Selain itu Mohamed juga menggalakkan pihak
swasta menyokong hasrat kementerian dengan membantu mempromosikan nilai-nilai
sivik di luar sekolah dengan mengadakan aktiviti berkaitan nilai murni itu.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment