Tuesday, 27 August 2019

KEMENTERIAN PENDIDIKAN PERLU KAJI BEBAN PELAJAR SEKOLAH

KUALA TERENGGANU 27 Ogos - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) hari ini menggesa Kementerian Pendidikan memberi perhatian serius terhadap dakwaan bahawa para pelajar semakin dibebani lambakan kerja sekolah dan kerja rumah sehingga mereka mengalami tekanan jiwa dan kemurungan.


Datuk Syed Anuar 
Naib Presiden Gagasan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sudah sampai masa kementerian berkenaan mencari jalan terbaik bagi mengenal pasti langkah paling berkesan dalam mencegah pelajar melakukan perkara memudaratkan diri termasuk bunuh diri sebagaimana insiden di Pulau Pinang kelmarin.
Beliau turut tidak menafikan ketika ini para pelajar sekolah menanggung bebanan kerja sekolah dan juga aktiviti kokurikulum sehingga mereka tidak mempunyai masa rehat secukupnya.
"Kita akui sekarang ini para pelajar sekolah terbeban dengan banyak kerja sekolah, kerja rumah dan kokurikulum. Dari pagi lagi sudah ke sekolah dan pulang rumah antara pukul 4 hingga 5 petang, jadual terlalu padat dan itupun belum masuk kelas tambahan subjek agama lagi.
"Maknanya, mereka (pelajar) hanya ada masa rehat yang amat sedikit dalam sehari selain cuti hari minggu, sedangkan pada hari-hari lain mereka berada di sekolah sepanjang hari di samping dibebankan dengan kelas tambahan dan sebagainya," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas insiden seorang pelajar tingkatan satu di Pulau Pinang yang ditemukan mati tergantung di dalam bilik air rumahnya kelmarin dan mangsa sebelum itu pernah mengadu dibebani terlalu banyak kerja rumah melibatkan lima subjek.
Syed Anuar seterusnya berkata, walaupun tidak ada maklumat lengkap dan sahih mengenai dakwaan punca pelajar itu membunuh diri di sebabkan bebanan kerja rumah, Kementerian Pendidikan sewajarnya memberi perhatian terhadap perkara itu.
"Kita harap Kementerian Pendidikan kena lihat dan kaji betul-betul apakah benar bebanan kerja sekolah dan kerja rumah yang ditanggung pelajar sekarang turut menyumbang kepada insiden bunuh diri kalangan pelajar.
"Sekiranya benar, ia mesti ditangani dengan serius bagi memastikan masalah serupa tidak terus berlaku pada masa-masa akan datang," ujarnya. 
UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments:

Post a Comment