Pengisian Jawatan Guru Sehingga Oktober 2019 Adalah 97%
Sunday, 3 November 2019
PEMBANGUNAN KOKURIKULUM TELITI UNTUK BANGUNKAN BAKAT, POTENSI MURID - KP PENDIDIKAN
KOTA KINABALU, 3 Okt (Bernama) -- Pentadbir
sekolah perlu merancang pembangunan kokurikulum secara teliti dengan mengambil
kaedah menyeluruh bagi membolehkan segala bakat dan potensi murid dapat
dibangunkan dengan berkesan.
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan,
Datuk Dr Amin Senin berkata terdapat anak kurang dalam akademik tetapi
mempunyai bakat semulajadi yang tinggi dalam seni.
"Kita perlu ingat bahawa sekolah bukan
hanya tempat murid belajar untuk berjaya dalam peperiksaan tetapi sekolah juga
tempat mengembangkan bakat mereka," katanya ketika merasmi dan menutup
Karnival Kesenian Murid peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan
Pengarah Sektor Perancangan, Penyelarasan dan Pengoperasian Dasar Bahagian
Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Suhaimi Sun Abdullah.
Karnival tiga hari itu berakhir hari ini
disertai 19 sekolah mewakili negeri dan Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Amin berkata penganjuran
karnival kesenian itu antara usaha kementerian pendidikan mengetengahkan bakat
semulajadi murid, yang akan melahirkan generasi pewaris kesenian anak bangsa
yang memiliki semangat perpaduan dan kekitaan.
BERNAMA ONLINE
Saturday, 2 November 2019
KEKURANGAN GURU ISU SEMENTARA

KUALA LUMPUR: Kekurangan guru disifatkan isu sementara yang didorong faktor luar jangka seperti persaraan pilihan, meninggal dunia, cuti separuh gaji dan tanpa gaji melebihi setahun, ditamatkan perkhidmatan serta berhenti kerja atau letak jawatan.
Kementerian Pendidikan menjelaskan langkah pengisian guru adalah berdasarkan keperluan, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia berupaya menjejaskan aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, kerajaan melakukan pelantikan guru secara interim atau sementara dalam kalangan graduan pendidikan daripada universiti awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta dan graduan pasaran terbuka bagi memenuhi permintaan warga pendidik bagi mata pelajaran tertentu.
“Kementerian memandang serius laporan berkaitan kekurangan guru di sekolah. Dakwaan yang mengatakan kekurangan guru berlaku kerana tiada unjuran keperluan guru adalah tidak tepat.
“Sehingga Oktober tahun ini, peratus pengisian jawatan guru adalah 97 peratus. Kementerian melaksanakan pengisian guru dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru atau UA.
“Ia tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran menerusi urusan pelantikan kendalian Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang dijalankan sepanjang tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 31 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dilaporkan berkata pihaknya berdepan kemelut kekurangan warga pendidik bagi memenuhi permintaan guru di sekolah di seluruh negara.
Polemik itu dikenal pasti berpunca daripada faktor ketidakpadanan kekosongan sedia ada di sekolah dan keluaran dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setiap tahun.
Mengikut perangkaan, kekosongan guru sedia ada di sekolah kebangsaan direkodkan melebihi 6,000 orang, tetapi keluaran IPGM hanya membabitkan 1,676 guru yang akan ditempatkan pada November ini.
Bagi menangani kemelut itu, kementerian menjelaskan pengiraan unjuran sentiasa dilakukan untuk tempoh lima tahun dengan mengambil kira pelbagai opsyen dan jenis sekolah di seluruh negara.
“Pengambilan pelajar ke Program Ijazah Sarjana Muda Penguruan (PISMP) adalah berdasarkan pengiraan unjuran yang ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
Friday, 1 November 2019
BENGKEL APLIKASI DIGITAL BAHAN BACAAN
Bengkel Aplikasi Digital Bahan Bacaan telah berlangsung pada 31 Oktober 2019 bertempat di Makmal Komputer MBM-MBI.
Bengkel yang dianjurkan oleh Perpustakaan Za'ba ini telah dihadiri oleh warga kerja IPG Kampus Tuanku Bainun. Bengkel ini bertujuan untuk mendedahkan kepada peserta mengenai kaedah pencarian bahan secara maya serta mempromosikan inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia (u-Pustaka).
Bengkel ini telah disampaikan oleh Tn. Hj. Mohd Dariah (KU Perpustakaan) dan En. Huzairul Hezri (Pustakawan)
KEKURANGAN GURU DALAM MASA LIMA TAHUN
KUALA LUMPUR: Negara dijangka mengalami masalah kekurangan guru mencecah lebih 17,000 orang dalam masa lima tahun akan datang.
Masalah itu dikatakan berpunca daripada langkah penjimatan kerajaan sebelum ini dengan mengurangkan pengambilan guru pelatih ke institut pendidikan guru (IPG) sehingga membawa kepada cadangan penutupan beberapa IPG pada 2016.
Presiden Gabungan Intelektual Pendidik Guru SeMalaysia (GENIUS), Dr Mohd Aziz Mohd Din, berkata unjuran pengambilan guru di IPG berjumlah 6,000 orang setiap tahun tidak dipatuhi sejak beberapa tahun lalu.

Presiden Gabungan Intelektual Pendidik Guru SeMalaysia (GENIUS), Dr Mohd Aziz Mohd Din.
“Kekurangan guru ini bukan disebabkan salah pengiraan oleh pihak EPRD (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pendidikan) atau ketidakmampuan IPG melaksanakan latihan tetapi hasil langkah penjimatan kerajaan pada waktu itu.
“Keluaran guru IPG pada 2019 daripada ambilan 2014 yang sepatutnya 6,000 orang dikurangkan kepada 1,676 orang. Begitu juga pada pengambilan 2015 (3,200 orang), 2016 (1,600 orang), 2017 (3,200) dan 2018 (3,200 orang).
“Bermula 2019, pengambilan guru pelatih kembali sebagaimana unjuran 6,000 orang. Ini menjadikan kekurangan guru dalam tempoh lima tahun (2019 hingga 2023) dianggarkan 17,124 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, semalam bahawa kementerian itu pada masa ini berdepan kemelut kekurangan warga pendidik bagi memenuhi permintaan guru sekolah di seluruh negara.
Katanya, berkata ia berpunca daripada ketidakpadanan antara kekosongan sedia ada di sekolah dan keluaran dari IPG setiap tahun dan jika tidak ditangani secara tuntas, berupaya merencatkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah, sekali gus mengundang risiko pelajar tercicir daripada aliran pendidikan nasional.
Mohd Aziz berkata, bilangan berkenaan tidak termasuk lagi pertambahan guru yang diperlukan disebabkan pertambahan murid, bilik darjah dan sekolah.
“Keadaan ini membuktikan bahawa masalah kewangan kementerian atau negara tidak sepatutnya dijadikan alasan bagi mengurangkan peruntukan berkaitan latihan guru dan pendidikan secara umumnya kerana ia akan mendatangkan kesan negatif yang berganda ke atas pembinaan murid di bilik darjah.
“Kesan daripada penjimatan itu juga, kementerian hari ini terpaksa pula mengeluarkan belanja RM48 juta untuk mengambil guru interim bagi mengatasi masalah kekurangan guru pada 2020 dan peruntukan ini dijangka bertambah bagi tahun yang berikutnya,” katanya.
Berhubung cadangan penutupan IPG, Mohd Azis berkata, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sudah beberapa kali menegaskan bahawa IPG tidak akan ditutup sebagaimana keputusan dahulu.
BERITA HARIAN ONLINE
KEMENTERIAN PENDIDIKAN DIGESA TANGANI ISU KEKURANGAN GURU

Gambar hiasan
SEREMBAN: Kementerian Pendidikan digesa segera menangani masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah kebangsaan, sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu tahun depan.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata pihak kementerian perlu mengambil tindakan proaktif bagi menangani kekosongan sedia ada dengan menempatkan graduan pendidikan universiti atau menambah bilangan guru sementara.
“Kita mengambil maklum masalah (kekurangan guru) ini. Sebagai langkah strategik, pihak kementerian wajar mengunjurkan keperluan bilangan guru bidang kritikal dengan mengambil kira jumlah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sedia ada dan tawaran bidang pengajian pendidikan.
“Langkah ini penting untuk mengelak dari menghadapi masalah sedia ada dan lambakan graduan pendidikan di bidang yang tidak diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Azizee berkata masalah kekosongan guru juga perlu diatasi bagi memastikan proses kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdPc) di semua sekolah dapat berjalan dengan berkesan.
“Ini penting demi kelangsungan pendidikan di sekolah-sekolah terutama sekolah kebangsaan yang berada di luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.
BH hari ini melaporkan Kementerian Pendidikan ketika ini berdepan kemelut kekurangan pendidik bagi memenuhi permintaan sekolah di seluruh negara.
Di sekolah kebangsaan, kekosongan guru sedia ada direkodkan melebihi 6,000 orang, tetapi keluaran IPGM hanya membabitkan 1,676 guru yang akan ditempatkan pada November ini.
Berdasarkan maklumat pada laman sesawang Kementerian Pendidikan, data setakat Januari lalu menunjukkan ada 7,772 sekolah rendah di seluruh negara dengan lebih 2,2727,068 murid, namun hanya ada 182,587 guru.
BERITA HARIAN ONLINE
115 SEKOLAH SEDANG DIKENAL PASTI UNTUK BANGUN KEMUDAHAN OKU
KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) --
Kementerian Pendidikan sedang mengenal pasti 115 sekolah di seluruh negara
untuk dibangunkan dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), selaras
dengan dasar penolakan sifar yang diperkenalkan kementerian.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching
berkata usaha itu akan dilaksanakan melalui peruntukan sebanyak RM23 juta yang
diterima kementerian bagi tujuan itu, dalam Belanjawan 2020 yang diumumkan
Oktober lepas.
“RM23 juta ini akan memanfaatkan 115
sekolah dengan anggaran bajet RM200,000 bagi setiap sekolah untuk kita
lengkapkan dengan empat jenis fasiliti bagi kemudahan pelajar OKU.
“Empat fasiliti ini adalah susur lantai
(ramps), susur tangan, tandas OKU dan parkir OKU jadi kita akan pilih sekolah
yang mempunyai ramai pelajar OKU,” katanya kepada media selepas melancarkan
Autsome Resource Fair di Sunway Putra Mall hari ini.
Autsome Resource Fair yang dianjurkan oleh
pusat membeli-belah Sunway Putra Mall itu diadakan bermula semalam hingga Ahad
ini sebagai platform untuk menawarkan peluang pekerjaan, latihan dan program
pendidikan untuk individu yang mengalami kurang upaya intelektual seperti
autisme, down syndrome, disleksia dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder
(ADHD).
Terdahulu, ketika berucap Teo berkata
kementerian sedang mengenal pasti pelajar berkeperluan khas dan kelainan upaya
supaya rawatan awal dapat diberikan sebelum kanak-kanak ini memulakan
persekolahan mereka.
Beliau berkata dengan berbuat demikian, ini
akan mengurangkan kesan ketidakupayaan pelajar dan membantu mempengaruhi
kesediaan mereka untuk mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.
“Ibu bapa digalakkan untuk mendaftar
anak-anak mereka secara dalam talian di laman sesawang kementerian dua tahun
sebelum mereka mula bersekolah, dan sekolah perlu menerima pelajar berkeperluan
khas ini yang mendaftar dengan mereka.
“Bagaimanapun, kanak-kanak ini perlu
menjalani pemeriksaan yang disahkan oleh pegawai perubatan, ahli optik, ahli audiologi
dan ahli psikologi sebelum boleh memasuki program keperluan khas di sekolah
kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan,” katanya.
BERNAMA ONLINE
Subscribe to:
Posts (Atom)


















