Saturday 2 November 2019

KEKURANGAN GURU ISU SEMENTARA

KUALA LUMPUR: Kekurangan guru disifatkan isu sementara yang didorong faktor luar jangka seperti persaraan pilihan, meninggal dunia, cuti separuh gaji dan tanpa gaji melebihi setahun, ditamatkan perkhidmatan serta berhenti kerja atau letak jawatan.
Kementerian Pendidikan menjelaskan langkah pengisian guru adalah berdasarkan keperluan, sekali gus menolak dakwaan bahawa ia berupaya menjejaskan aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Selain itu, kerajaan melakukan pelantikan guru secara interim atau sementara dalam kalangan graduan pendidikan daripada universiti awam (UA), institusi pengajian tinggi swasta dan graduan pasaran terbuka bagi memenuhi permintaan warga pendidik bagi mata pelajaran tertentu.
“Kementerian memandang serius laporan berkaitan kekurangan guru di sekolah. Dakwaan yang mengatakan kekurangan guru berlaku kerana tiada unjuran keperluan guru adalah tidak tepat.
“Sehingga Oktober tahun ini, peratus pengisian jawatan guru adalah 97 peratus. Kementerian melaksanakan pengisian guru dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru atau UA.
“Ia tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran menerusi urusan pelantikan kendalian Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang dijalankan sepanjang tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 31 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dilaporkan berkata pihaknya berdepan kemelut kekurangan warga pendidik bagi memenuhi permintaan guru di sekolah di seluruh negara.
Polemik itu dikenal pasti berpunca daripada faktor ketidakpadanan kekosongan sedia ada di sekolah dan keluaran dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setiap tahun.
Mengikut perangkaan, kekosongan guru sedia ada di sekolah kebangsaan direkodkan melebihi 6,000 orang, tetapi keluaran IPGM hanya membabitkan 1,676 guru yang akan ditempatkan pada November ini.
Bagi menangani kemelut itu, kementerian menjelaskan pengiraan unjuran sentiasa dilakukan untuk tempoh lima tahun dengan mengambil kira pelbagai opsyen dan jenis sekolah di seluruh negara.
“Pengambilan pelajar ke Program Ijazah Sarjana Muda Penguruan (PISMP) adalah berdasarkan pengiraan unjuran yang ditetapkan Kementerian Pendidikan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment