KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) --
Pendidikan Sivik yang diperkenalkan semula di sekolah sejak Jun lepas bukan
menjadi tugas institusi itu semata-mata, tetapi ia juga adalah tanggungjawab
semua pihak khususnya ibu bapa dan komuniti.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan
Sukan dan Kesenian di Kementerian Pendidikan (KPM), Rashid Mean berkata ini
kerana nilai-nilai sivik tidak hanya terdapat dalam bilik darjah sahaja
sebaliknya apa yang diamalkan oleh pelajar di rumah dan di luar sekolah.
Oleh itu, beliau berkata peranan ibu bapa
serta sokongan daripada komuniti sangat penting supaya anak-anak mereka dapat
mengembangkan nilai-nilai murni itu di sekolah, sekali gus membantu guru untuk
memantapkan pendidikan sivik kepada pelajar.
“Contohnya, ketika kita sedang memandu
kereta. Tengok sahaja macam mana mulut kita bercakap bila ada pemandu lain yang
membuat satu tindakan (seperti memandu terburu-buru).
“Kita diperhatikan oleh anak-anak, dan
mereka akan ikut. Sebab itu, ibu bapa perlu menjadi contoh (yang baik),”
katanya semasa membicarakan topik ‘Pendidikan Sivik’ dalam slot Temu Bual
terbitan Bernama Radio, hari ini.
Turut menjadi tetamu dalam dalam temu bual
itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM Noriah Harun.
Menurut Rashid, pemugaran pendidikan sivik
banyak menumpukan isu-isu semasa termasuk keselamatan jalan raya, membenci
rasuah, bahaya buli, serta pencemaran alam sekitar dan ia akan sentiasa
ditambah nilai setiap tahun mengikut kehendak masa kini.
Sementara itu, Noriah berkata masyarakat
perlu cakna dalam memastikan amalan sivik yang diajar di sekolah diperkukuhkan
di rumah dan sebaliknya, kerana tidak semua anak-anak datang daripada institusi
keluarga yang kukuh.
“Sivik mengajar anak kita untuk menjadi
seorang warganegara yang baik serta menjadi penyumbang dan pendominasi kepada
kecemerlangan.
“Contohnya, di sekolah yang berbilang kaum
perlu ada satu titik temu unsur kebersamaan dan sejagat yang boleh merapatkan mereka,
dan ini boleh didapati di dalam pendidikan sivik. Kita mahu mereka bersatu
hati,” katanya.
Bermatlamat untuk membentuk masyarakat dan
individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain,
Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad pada Ogos lepas.
Di peringkat sekolah, Menteri Pendidikan Dr
Maszlee Malik berkata pendidikan sivik akan menekankan Literasi Sivik (dalam
bilik darjah) dan Amali Sivik (luar bilik darjah) melibatkan pihak sekolah,
komuniti, swasta dan kementerian.
Literasi Sivik adalah rangkuman pengetahuan
kewarganegaraan, sosio-emosi kewarganegaraan, dan tindakan kewarganegaraan yang
tersurat dalam kurikulum yang dilaksanakan dalam perhimpunan sekolah, aktiviti
kokurikulum, dan program sekolah.
Amali
Sivik pula memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan
literasi sivik secara praktikal.
Pendidikan Sivik dilaksanakan selama sejam
pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Anak-anak di prasekolah pula akan diajar
pendidikan sivik selama 30 minit, dan dalam masa sama, pendidikan sivik turut
dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kurikulum.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment