TELUK INTAN, 12 Nov (Bernama) --
Kementerian Pendidikan sentiasa memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih
ramai golongan muda terutama pelajar sekolah untuk menjadi usahawan luar bandar
bertepatan dengan strategi Program Tranformasi Minda Anak Muda.
Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan
Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad berkata ini usahawan
merupakan nadi terpenting dalam pengukuhan sosioekonomi golongan Bumiputera
bagi menjadikan pertumbuhan negara makmur dan lebih berdaya saing.
"Oleh itu, Kementerian Pendidikan
sebagai agensi pelaksana sedang giat melaksanakan pelbagai strategi dalam
membangunkan kolej vokasional yang berasaskan pertanian untuk turut terlibat
dalam industri keusahawanan dan pertanian.
Enrolmen golongan muda untuk pendidikan dan
industri berasaskan pertanian sangat rendah berbanding bidang kemahiran dan
teknologi lain yang mana sehingga kini enrolmen di kolej pertanian di seluruh
negara hanya 70 peratus berbanding dengan kapasiti yang ditawarkan,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan
perasmian Karnival Semarak Tani Kolej Vokasional Pertanian Kebangsaan di Kolej
Vokasional Pertanian Teluk Intan di sini, hari ini.
Mengenai penganjuran karnival tersebut,
Kamel berkata ia bertujuan memberi galakan kepada pelajar sekolah supaya
menyertai Program Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi
dalam Rancangan Malaysia ke-11
"Oleh yang demikian, Kementerian
Pendidikan telah melakukan transformasi pendidikan vokasional secara bersepadu
dan menyeluruh di peringkat sekolah dan memberi penekanan utama di peringkat
pendidikan tinggi.
"Melalui karnival ini, usaha
memperkenal dan mempromosikan Kolej Vokasional Pertanian dapat menarik minat
anak-anak lepasan PT3 untuk menyertai sistem pendidikan TVET ini dapat
dijayakan dengan berkesan," katanya.
Karnival yang berlangsung selama dua hari
bermula semalam diadakan antara lain bertujuan memberi maklumat mengenai bidang
pertanian di Kolej Vokasional Pertanian dan laluan kerjaya serta peluang
pembelajaran peringkat tertinggi.
BERNAMA ONLINE
No comments:
Post a Comment