Wednesday 13 November 2019

SEMUA TENAGA PENGAJAR PERLU TERLIBAT DENGAN HIP - PENGARAH PENDIDIKAN SABAH


SANDAKAN, 13 Nov (Bernama) -- Program Imersif Tinggi (HIP), yang bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu melibatkan semua tenaga pengajar, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Dr Mistirine Radin.

Beliau menolak tanggapan bahawa HIP sepatutnya hanya diketuai oleh guru Bahasa Inggeris.

"Semua guru perlu menjadi sebahagian daripada HIP di sekolah untuk mempromosikan bahasa Inggeris dan ini adalah apa yang kita panggil pendekatan yang baik.

"Pihak yang paling penting adalah pelajar, yang perlu dipastikan mereka mampu menguasai bahasa itu dan menyertai aktiviti HIP," katanya pada perasmian Karnival HIP di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pegawai Bahasa Inggeris Jabatan Pendidikan Negeri, Muarifin Sufian Mochoeri.

Mistirine berkata usaha berterusan perlu dilakukan untuk menggalakkan pelajar serta guru untuk menguasai bahasa Inggeris.

Beliau berkata ini untuk memastikan pelajar dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris bukan sahaja di dalam bilik darjah, tetapi juga di luar.

Sebanyak 79 sekolah iaitu 59 sekolah rendah dan 20 sekolah menengah menyertai karnival HIP hari ini.

HIP  diperkenalkan pada 2016 di beberapa sekolah sebelum ia diwajibkan di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan pada tahun lepas.



BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment