Monday, 4 November 2019

PENDIDIKAN SIVIK PULIHKAN MENTALITI KELAS KETIGA

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak peduli untuk menjaga kebersihan tandas awam.
Ketika menjadi Perdana Menteri keempat, beliau sendiri melihat betapa kotornya persekitaran Kuala Lumpur ketika melawat bangunan Dayabumi, yang ketika itu menjadi mercu tanda ibu kota negara. Selepas itu terus diarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan.
Nampaknya dari dulu hingga kini, isu kebersihan masih seperti wabak penyakit yang tidak dapat dipulihkan. Adakah ini bermakna sebahagian rakyat kita masih mempunyai mentaliti kelas ketiga?
Seperti biasa apabila ada isu sebegini, jari akan dituding kepada Kementerian Pendidikan selaku the custodian atau ‘penjaga’ pendidikan negara. Ayat seperti “kat sekolah cikgu tak ajar?” atau “sekolah buat apa?” akan sering berlegar, terutama di media sosial, seolah-olah mendidik semata-mata tugas guru.
Hakikatnya, seorang murid hanya menghabiskan masa 27 peratus di sekolah, manakala baki 73 peratus lagi bersama keluarga, rakan dan dalam komuniti. Wajarkah tugas mendidik dan memupuk nilai serta akhlak diletakkan kepada sekolah sahaja?
Pemupukan nilai sememangnya menjadi teras pendidikan negara, selain daripada memastikan pengetahuan dan kemahiran murid dibangunkan. Sejak Laporan Razak 1956 hinggalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-202, Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan kurikulum yang dilaksana, diperkasa dengan penerapan aspirasi murid iaitu etika dan kerohanian bagi pembentukan akhlak dan sahsiah murid.
Generasi pascamerdeka tentu masih ingat Tatarakyat dan Pendidikan Sivik yang pernah menjadi subjek di sekolah satu masa dahulu. Antara kandungannya, termasuk menghormati rakan berbilang bangsa, adab sopan, mengenali budaya kumpulan etnik berbeza serta cerita tentang perjuangan tokoh untuk mencapai kemerdekaan.
Buku teks subjek ini dipersembahkan dalam bentuk penceritaan yang mudah difahami dan sehingga kini, ramai yang masih ingat nama-nama seperti Ah Kow, Ali atau Mutu yang sering digunakan dalam buku teks dahulu.
Peredaran zaman dan kemajuan teknologi menuntut kurikulum ketika itu disemak semula dan penekanan diberikan kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Penumpuan kepada STEM tidak bermakna pemupukan nilai dikesampingkan, malah nilai dan pembentukan akhlak menjadi elemen merentas kurikulum yang perlu diterapkan dalam setiap subjek yang diajar.
Penerapan nilai murni perlu diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan supaya murid sedar kepentingan nilai ini dan mengamalkannya. Ia merangkumi aspek kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan, yang akan menjadi amalan dalam kehidupan harian.
Kini, mengambil kira perkembangan semasa dan keperluan masa akan datang, Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif menyusun semula kandungan Pendidikan Sivik bagi melahirkan warganegara yang berakhlak mulia bagi menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan global. Kali ini, fokus diberikan kepada literasi atau pengetahuan sivik dan amali sivik.
Pendidikan sivik dilaksanakan secara holistik dan bersepadu melalui pelbagai aktiviti dalam dan luar bilik darjah, termasuk semasa perhimpunan, kokurikulum dan pelbagai program sekolah.
Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) bersama-sama Bahagian Pendidikan Islam (BPI) serta Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum (BSKK) dipertanggungjawabkan untuk menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi dilaksanakan pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah.
Pendekatan baharu untuk meningkatkan kesedaran sivik dan amalan nilai murni ini berupaya memulihkan mentaliti ‘kelas ketiga’ dalam kalangan murid yang bakal menjadi anggota masyarakat satu hari nanti.
Kalau dahulu, Pendidikan Sivik amat bertumpu kepada pengajaran di bilik darjah, kali ini ia diterapkan secara eksplisit dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Sebagai contoh untuk amali sivik bagi nilai teras sivik kasih sayang, antara aktiviti boleh dijalankan termasuk menyediakan skrip lakonan dan simulasi mengenai mangsa buli, ataupun mengadakan program rakan strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pendekatan bersepadu dengan meningkatkan pembabitan komuniti, agensi kerajaan dan swasta sebagaimana dianjurkan dalam Anjakan 9 PPPM, akan dapat membantu mendidik jiwa serta memupuk etika dan jati diri murid yang dizahirkan melalui amalan mereka serta diperkukuh melalui jalinan dan bantuan pihak berkepentingan.
Namun, kurikulum dirancang rapi dan pelaksanaan di dalam bilik darjah yang mantap masih belum dapat menjamin murid akan mengamalkan nilai diterapkan di sekolah, jika tidak diberi pengukuhan dalam keluarga dan masyarakat.
Tugas mendidik anak memerlukan usaha bersepadu semua pihak. Kalau di kampung, penghulu, ketua agama, sekolah, malah makcik yang menjual di warung juga memainkan peranan mendidik setiap individu.
Hanya dengan cara ini mentaliti kelas ketiga dapat dipulihkan, barulah Malaysia boleh berbangga dengan fasiliti dan mentaliti kelas pertama.
Oleh Dr Hayati IsmailPenulis adalah Pengarah Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment