Monday, 11 November 2019

GURU, MURID DIAJAR URUS TEKANAN EMOSI




Aminuddin ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Seminar Profesionalisme Keguruan Dalam Konteks Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan 2019, di Auditorium D'Sury, Seremban
SEREMBAN: Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru yang pertama kali diadakan di negeri ini, mampu membantu mengurus tekanan emosi guru, kakitangan dan murid sekolah.
Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata bermula Ogos lalu pada setiap bulan Guru Besar dan Pengetua sekolah akan menyampaikan modul yang dikeluarkan Sektor Kaunseling dan Psikologi kepada warga sekolah.
Katanya, antara tajuk yang disampaikan mengikut bulan yang ditetapkan adalah pengurusan tekanan, kesihatan mental, pengurusan kemarahan, kebimbangan dan kemurungan.
“Kita yakin usaha yang dilakukan di semua peringkat sekolah ini dapat menjadi satu pendekatan seperti yang kerajaan negeri harapkan.
“Tujuan utama kita adalah untuk memastikan sejak di Tahun Satu, murid sudah didedahkan dengan penerapan nilai murni termasuk nilai pengurusan tekanan yang baik sekali gus mampu menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
“Jika bermula dari peringkat bawah dengan pendekatan holistik, kita yakin satu hari tahap pendidikan kita sama standard dengan negara maju lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Profesionalisme Keguruan Dalam Konteks Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan di Dewan D’Sury di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pkahruddin berkata, tujuan program sedemikian dilaksanakan bukan kerana guru di negeri ini bermasalah sebaliknya mahu menjadikan murid lebih cemerlang dari segi akademik dan sahsiah diri.
Sementara itu, Aminuddin berkata, jika guru gagal mengurus kesejahteraan diri dan tidak pasti tahap kesejahteraan psikologi masing-masing, sudah pasti murid akan terkena tempias.
“Kesejahteraan psikologi guru perlu menjadi satu aspek yang tidak boleh terlepas pandang daripada peneraju pendidikan sama ada pada peringkat kementerian jabatan atau pejabat pendidikan daerah,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment