Tuesday, 5 November 2019

20 FILEM MENARIK BERKAITAN GURU DAN PENDIDIKAN

Wahh...ada 20 Filem Best Tentang Guru dan Pendidikan mesti layan- Cikgu Hailmi

Artikel ini adalah perkongsian daripada Cikgu Norhailimi Abdul Mutalib (Guru cemerlang SMK Jerlun Kedah) .Filem menarik khas untuk guru ini wajib ditonton kerana majoriti filem ini berkaitan dengan kisah guru dan pendidikan di sekolah. Selain itu, jalan ceritanya juga mampu memberi inspirasi dan meninggalkan kesan yang mendalam. 20 filem berkenaan termasuklah::

1. Teacher's Diary (Thailand)

Filem mengenai kisah seorang guru lelaki yang baru ditugaskan untuk berkhidmat di sebuah sekolah jauh di pedalaman. Penuh keboringan, satu-satunya peneman guru ini adalah sebuah diari tinggalan seorang cikgu perempuan yang juga pernah bertugas di sekolah ini.
Teacher's Diary Thailand

2. To Sir With Love (English)

Mengisahkan seorang guru yang berdepan dengan remaja sukar dikawal di sekolah baharunya. Menjadi guru di sekolah terbuang seperti itu, guru tersebut berhadapan dengan banyak kesukaran. Berjayakah beliau mendidik anak-anak nakal tersebut?
To Sir With Love

3. Laskar Pelangi (Indonesia)

Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel yang cukup meruntun jiwa pendidik. Mengisahkan perjuangan 10 murid di sekolah kawasan pedalaman yang jauh dari kota, dengan dua orang guru yang sangat menginspirasikan. Saya recommend cerita ini untuk ditonton! Lagu 'soundtrack' dia pun semua sangat seronok.
Laskar Pelangi

4. Freedom Writers (English)

Filem ini diangkat daripada sebuah kisah benar, mengenai seorang guru muda bernama Erin Gruwell. Berhadapan dengan kumpulan pelajar yang bermasalah, motivasi beliau berjaya memberi inspirasi kepada muridnya untuk bertoleransi sesama mereka, dan melanjutkan pelajaran.
Freedom Writers

5. Dead Poet Society (English)

Filem ini dilakonkan oleh pelakon hebat, Robin Williams dengan penuh gaya sekali. Menjadi guru Sastera, bukan lah halangan untuk beliau menggunakan pendekatan yang cukup dekat dengan pelajar beliau yang semuanya lelaki.
Image result for dead poets society" 
Dead Poet Society

6. Taare Zameen Par (Hindi)

Filem lakonan Aamir Khan ini rasanya cukup dekat dengan guru Malaysia. Mengisahkan kisah seorang guru, yang berdepan dengan pelajar yang 'bermasalah', sehinggalah guru tersebut mengenalpasti punca sebenar masalah pelajar tersebut. Guru Pendidikan Khas sesuai sangat tengok.
Taare Zameen Par

7. Adiwiraku (Malaysia)

Mengisahkan mengenai cikgu muda, Cheryl Ann Fernando dengan cabarannya di sebuah sekolah kampung di Kedah. Cabaran dan kejayaan anak-anak di SMK Pinang Tunggal ini menjuarai pertandingan Choral Speaking digarap dengan baik dan penuh penghayatan. Filem adaptasi kisah benar dari Malaysia ini juga memenangi Anugerah Filem Terbaik 2017.
Adiwira ku

8. 3 Idiots (Hindi)

Ini satu lagi cerita hebat lakonan Aamir Khan. Mengisahkan persahabatan 3 orang sekawan yang digelar 'Si Bodoh' kerana cara berfikir mereka yang berbeza.
3 Idiots

9. Aishah : Biarkan Kami Bersaudara (Indonesia)

Filem dengan tema keagamaan ini mengisahkan seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah jauh dari desanya, di komuniti yang jauh berbeza darinya. Menjadi guru atas wasiat bapanya, dapatkah Aishah menunaikan janji kepada bapanya?
Aisyah Biarkan Kami Bersaudara

10. Great Teacher Onizuka (Jepun)

Great Teacher Onizuka atau lebih dikenali sebagai GTO ini memang sudah popular menerusi siri manga nya. Kisah cikgu dengan niat pelik, tapi akhirnya menjadi guru yang lucu dan juga berjaya memberi inspirasi kepada anak muridnya.
Great Teacher ONIZUKA

11. Raatchasi (Hindi)

Filem ini hadiah kepada semua warga pendidik di seluruh dunia. Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil. Benar-benar memberi inspirasi dan terima kasih kepada penulis cerita ini yang memaparkan realistik dunia pendidikan di sekolah.
Raatchasi

12. Chalk and Duster (Hindi)

Filem ini adalah lakonan hebat Juhi Chawla dan Shabana Azmi mengisahkan kisah dua orang guru yang menyentuh perasaan. Kesungguhan dan minat mereka terhadap kerjaya mereka mendorong mereka untuk buat yang terbaik. Dugaan datang apabila, pentadbiran mengganggu urusan mereka.
Chalk and Duster

13. Dangerous Mind (English)

Filem lakonan Michelle Pfeiffer ini mengisahkan seorang Marine yang menjadi guru di sebuah sekolah gangster. Tengok bagaimana 'cool' cikgu perempuan ini mengawal anak-anak muridnya yang ganas lagi nakal. Cikgu kat sekolah di bandar, sila tonton untuk ambil inspirasi.
Dangerous Minds

14. Beyond the Blackboard (English)

Filem TV ini adalah kisah perjuangan guru muda yang berdepan dengan ketakutan dan prejudis terhadap kanak-kanak homeless / gelandangan, sebelum beliau sendiri yang menjadi inspirasi kepada anak-anak tersebut untuk membuat perbezaan.
Beyond The Blackboard

15. The Ron Clark Story (English)

Filem ini merupakan adaptasi kisah benar Ron Clark, guru di kampung yang ditukar ke sebuah sekolah dengan cabaran terbesar, disiplin paling teruk. Apa yang beliau buat dan mampukah beliau mengatasi masalah tersebut?
The Ron Clark Story

16. Suck Me Shakespeer (German)

Kisah lucu mengenai seorang pencuri yang terpaksa menjadi guru kerana terperangkap di sebuah sekolah
Suck Me Shakespeer

17. Lean on Me (English)

Filem mengena perjuangan seorang pengetua sekolah yang berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan sekolah nya berada dalam keadaan yang terbaik. Lakonan hebat oleh Morgan Freeman.
Lean on Me

18. Black (Hindi)

Filem lakonan hebat Amitabh Bachan dan Rani Mukherjee ini mengisahkan kisah seorang gadis buta dan pekak, dan hubungannya dengan guru yang kemudiannya menghidap sakit Alzheimer.
Black

19. Blindside (English)

Kisah sedih mengenai perjuangan seorang anak homeless dan trauma yang kemudiannya dibela oleh seorang wanita yang sangat penyayang. Perjuangan mereka sehingga anak homeless tersebut menempa kejayaan sehingga menjadi pemain American Football. Lakonan hebat Sandra Bullock dan Quinton Aaron.
Blindside

20. The Glove (Korea)

Filem Korea ini sangat menyentuh perasaan. Filem ini mengisahkan bagaimana sekumpulan pelajar pekak dan bisu yang struggle untuk berlatih dan menyertai pertandingan besbol untuk daerah mereka. Sekalipun penuh dengan kekurangan, semangat mereka akhirnya menyentuh hati jurulatih mereka yang pada mulanya langsung melihat sebelah mata.
The Glove
SUMBER : GPSBESTARI & CIKGU HAILMI

Monday, 4 November 2019

PENDIDIKAN SIVIK PULIHKAN MENTALITI KELAS KETIGA

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak peduli untuk menjaga kebersihan tandas awam.
Ketika menjadi Perdana Menteri keempat, beliau sendiri melihat betapa kotornya persekitaran Kuala Lumpur ketika melawat bangunan Dayabumi, yang ketika itu menjadi mercu tanda ibu kota negara. Selepas itu terus diarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan.
Nampaknya dari dulu hingga kini, isu kebersihan masih seperti wabak penyakit yang tidak dapat dipulihkan. Adakah ini bermakna sebahagian rakyat kita masih mempunyai mentaliti kelas ketiga?
Seperti biasa apabila ada isu sebegini, jari akan dituding kepada Kementerian Pendidikan selaku the custodian atau ‘penjaga’ pendidikan negara. Ayat seperti “kat sekolah cikgu tak ajar?” atau “sekolah buat apa?” akan sering berlegar, terutama di media sosial, seolah-olah mendidik semata-mata tugas guru.
Hakikatnya, seorang murid hanya menghabiskan masa 27 peratus di sekolah, manakala baki 73 peratus lagi bersama keluarga, rakan dan dalam komuniti. Wajarkah tugas mendidik dan memupuk nilai serta akhlak diletakkan kepada sekolah sahaja?
Pemupukan nilai sememangnya menjadi teras pendidikan negara, selain daripada memastikan pengetahuan dan kemahiran murid dibangunkan. Sejak Laporan Razak 1956 hinggalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-202, Kementerian Pendidikan sentiasa memastikan kurikulum yang dilaksana, diperkasa dengan penerapan aspirasi murid iaitu etika dan kerohanian bagi pembentukan akhlak dan sahsiah murid.
Generasi pascamerdeka tentu masih ingat Tatarakyat dan Pendidikan Sivik yang pernah menjadi subjek di sekolah satu masa dahulu. Antara kandungannya, termasuk menghormati rakan berbilang bangsa, adab sopan, mengenali budaya kumpulan etnik berbeza serta cerita tentang perjuangan tokoh untuk mencapai kemerdekaan.
Buku teks subjek ini dipersembahkan dalam bentuk penceritaan yang mudah difahami dan sehingga kini, ramai yang masih ingat nama-nama seperti Ah Kow, Ali atau Mutu yang sering digunakan dalam buku teks dahulu.
Peredaran zaman dan kemajuan teknologi menuntut kurikulum ketika itu disemak semula dan penekanan diberikan kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Penumpuan kepada STEM tidak bermakna pemupukan nilai dikesampingkan, malah nilai dan pembentukan akhlak menjadi elemen merentas kurikulum yang perlu diterapkan dalam setiap subjek yang diajar.
Penerapan nilai murni perlu diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan supaya murid sedar kepentingan nilai ini dan mengamalkannya. Ia merangkumi aspek kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan, yang akan menjadi amalan dalam kehidupan harian.
Kini, mengambil kira perkembangan semasa dan keperluan masa akan datang, Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif menyusun semula kandungan Pendidikan Sivik bagi melahirkan warganegara yang berakhlak mulia bagi menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan global. Kali ini, fokus diberikan kepada literasi atau pengetahuan sivik dan amali sivik.
Pendidikan sivik dilaksanakan secara holistik dan bersepadu melalui pelbagai aktiviti dalam dan luar bilik darjah, termasuk semasa perhimpunan, kokurikulum dan pelbagai program sekolah.
Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) bersama-sama Bahagian Pendidikan Islam (BPI) serta Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum (BSKK) dipertanggungjawabkan untuk menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni bagi dilaksanakan pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah.
Pendekatan baharu untuk meningkatkan kesedaran sivik dan amalan nilai murni ini berupaya memulihkan mentaliti ‘kelas ketiga’ dalam kalangan murid yang bakal menjadi anggota masyarakat satu hari nanti.
Kalau dahulu, Pendidikan Sivik amat bertumpu kepada pengajaran di bilik darjah, kali ini ia diterapkan secara eksplisit dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Sebagai contoh untuk amali sivik bagi nilai teras sivik kasih sayang, antara aktiviti boleh dijalankan termasuk menyediakan skrip lakonan dan simulasi mengenai mangsa buli, ataupun mengadakan program rakan strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pendekatan bersepadu dengan meningkatkan pembabitan komuniti, agensi kerajaan dan swasta sebagaimana dianjurkan dalam Anjakan 9 PPPM, akan dapat membantu mendidik jiwa serta memupuk etika dan jati diri murid yang dizahirkan melalui amalan mereka serta diperkukuh melalui jalinan dan bantuan pihak berkepentingan.
Namun, kurikulum dirancang rapi dan pelaksanaan di dalam bilik darjah yang mantap masih belum dapat menjamin murid akan mengamalkan nilai diterapkan di sekolah, jika tidak diberi pengukuhan dalam keluarga dan masyarakat.
Tugas mendidik anak memerlukan usaha bersepadu semua pihak. Kalau di kampung, penghulu, ketua agama, sekolah, malah makcik yang menjual di warung juga memainkan peranan mendidik setiap individu.
Hanya dengan cara ini mentaliti kelas ketiga dapat dipulihkan, barulah Malaysia boleh berbangga dengan fasiliti dan mentaliti kelas pertama.
Oleh Dr Hayati IsmailPenulis adalah Pengarah Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
BERITA HARIAN ONLINE

8 COMMON GRAMMAR MISTAKES IN ENGLISH!

"What's the different"? "Today morning"? "I enjoyed"? Improve your grammar by correcting the common mistakes in these English sentences. A good review for all students, especially at intermediate and advanced levels. Also check our full resource of 100 Common Grammar Mistakes



Sumber : Rebecca (engVid)

GUNA CARA KREATIF AJAR MURID BERENANG


MURID Program Pendidikan Khas (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Sandakan menyertai latihan akuatik asas menggunakan kanvas.
SANDAKAN: Tiada kemudahan dan tidak mampu membawa murid ke kolam renang mendorong guru Program Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, di sini menggunakan kanvas yang dibentang menjadi tikar untuk memberi latihan asas renang kepada murid.
Ia sepatutnya dilaksanakan dua kali setahun untuk memberi pendedahan kepada murid orang kelainan upaya (OKU), namun tidak mampu diadakan di kolam renang kerana memerlukan bantuan jurulatih berlesen, selain atas faktor keselamatan murid terbabit.
Guru, Fazri Hassan, 26, berkata latihan pertama diadakan awal tahun ini di Taman Air, Indah Jaya, di sini, namun berdepan isu kekurangan sumber kewangan untuk meneruskan sesi latihan kedua.
“Hasil perbincangan dengan semua guru, kami guna kanvas untuk mengajar latihan asas itu, malah kami turut membeli kolam kecil mudah alih untuk memberi murid memberi sedikit rasa di dalam air. Jika diikutkan, banyak prosedur perlu dipatuhi untuk mengajar topik itu, selain memerlukan perbelanjaan besar.
“Justeru, kami memutuskan supaya pengajaran itu dilakukan di sekolah mengikut kemampuan kerana yang lebih penting ialah murid mendapat pendedahan,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
SK Gas memiliki 20 murid istimewa berusia antara lapan hingga 12 tahun, dengan kebanyakannya menghidap masalah pembelajaran, autisme, cerebral palsy dan hiperaktif.
Baru-baru ini, video murid berenang di atas kanvas yang dimuat naik oleh Fazri di laman sosial menarik perhatian orang ramai yang memberi komen positif terhadap usaha guru berkenaan.
Melalui aktiviti itu, Fazri bersama guru lain membentangkan dua kanvas untuk mengajar murid beberapa teknik berenang, sambil ada guru menyiram air kepada murid.
“Biarpun serba kekurangan tetapi murid berasa seronok. Ibu bapa mereka dapat menerima idea itu kerana ia membantu program pemulihan dan terapi untuk pergerakan fizikal. Ini turut membantu perkembangan kanak-kanak OKU secara menyeluruh dapat menerima idea berkenaan,” katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

ARAB SAUDI HANTAR GURU KE MALAYSIA HADAPI PENDIDIKAN ABAD KE-21


KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kerajaan Arab Saudi akan membuat pertukaran guru Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains mereka ke negara ini untuk dilatih bagi mempersiapkan sistem pendidikan mereka menghadapi Pendidikan Abad Ke-21.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai melalui pertemuan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh.

"Guru-guru mereka dari tiga subjek berkenaan dihantar ke Malaysia bagi mendapatkan pengalaman mengajar di sini. Pertemuan berkenaan diadakan bagi membincangkan pertukaran idea dan kemampuan antara kedua-dua negara.

"Hasil daripada pertemuan itu juga, kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk memberikan 300 biasiswa kepada mahasiswa dan mahasiswi Malaysia dalam bidang sains dan teknologi," menurut kenyataan itu.

Malaysia amat menghargai kesungguhan Arab Saudi dalam perbincangan berkenaan dan yakin kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan baik kedua-dua negara, tambah kenyataan itu.

Semalam Maszlee diutus secara khas oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud bagi membincangkan isu berkaitan yang melibatkan kedua-dua negara termasuk kerjasama dalam bidang pendidikan.


BERNAMA ONLINE

Sunday, 3 November 2019

DASAR KEBERSIHAN NEGARA

DASAR KEBERSIHAN NEGARA
Sumber : Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan

BELANJAWAN 2020 : MURID BERKEPERLUAN KHAS

BELANJAWAN 2020 : MURID BERKEPERLUAN KHAS
Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia