Sumber : Majlis Keselamatan Negara (MKN)
Tuesday, 5 May 2020
RAPATKAN JURANG DIGITAL EAK PELAJAR TERCICIR
Cabaran pembelajaran semasa perlu ditangani bagi mengelak ada pelajar tercicir daripada arus teknologi terkini.
PENULARAN COVID-19 memberi kesan kepada kehidupan setiap rakyat Malaysia, walaupun tidak sekata.
Ramai berharap kehidupan akan kembali sedia kala. Bagi ibu bapa, sudah tentu supaya anak dapat menyambung semula persekolahan selepas ditutup sejak pertengahan Mac, sekali gus mengganggu proses pembelajaran 4.9 juta pelajar di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih berjalan seperti biasa dengan guru disaran mencari kaedah terbaik.
Ini mendorong guru melaksanakan pembelajaran jarak jauh secara dalam talian dan menggunakan peralatan elektronik (e-pembelajaran).
Realitinya, situasi e-pembelajaran sangat berbeza berbanding rutin harian persekolahan. Ramai pelajar, guru dan ibu bapa masih bergelut dengan kaedah e-pembelajaran.
Memandangkan belum jelas bilakah pelajar boleh kembali ke sekolah, pelaksanaan e-pembelajaran perlu diperbaiki agar lebih sistematik dan inklusif.
Pertama, pemilikan peranti rendah menjadikan pelaksanaan e-pembelajaran agak mencabar. Hasil kaji selidik KPM membabitkan hampir 900,000 pelajar menunjukkan sebilangan atau 37 peratus. tidak mempunyai peranti.
Hanya enam peratus pelajar mempunyai komputer peribadi; tablet (9 peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Walaupun ada keluarga memiliki peranti, kebanyakannya masih perlu berkongsi dengan ahli keluarga lain untuk tujuan kerja atau belajar.
Inisiatif untuk meningkatkan pemilikan peranti perlu dilaksanakan. Ini termasuk memberi geran membeli peranti, mewujudkan skim pinjaman peranti seperti skim pinjaman buku teks dan pemberian peranti percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Walaupun langkah ini memerlukan peruntukan kewangan kerajaan, ia pelaburan berbaloi untuk masa depan negara.
Syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menggembleng usaha menderma komputer baharu atau terpakai untuk diedarkan ke sekolah.
Selain itu, pelepasan cukai boleh diperluaskan untuk menggalakkan pemilikan peranti. Adalah wajar perbelanjaan pembelian peranti dan caj internet dikategorikan secara berasingan daripada perbelanjaan gaya hidup lain seperti dalam jadual pelepasan cukai sekarang.
Jumlah pelepasan cukai pula boleh dinaikkan memandangkan kos kedua-dua item ini agak tinggi.
Kedua, sambungan internet lancar amat penting agar proses e-pembelajaran berkesan. Walaupun penembusan jalur lebar mudah alih tinggi pada kadar 120 peratus, penembusan jalur lebar talian tetap berkelajuan lebih tinggi dan stabil hanya sekitar lapan peratus.
Capaian internet masih mempunyai banyak kekangan dari segi liputan dan kelajuan akibat kekurangan rangkaian gentian optik.
Usaha pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) perlu dilipatgandakan agar akses internet berkelajuan tinggi dan mampu milik dapat dinikmati masyarakat.
Inisiatif kerajaan memberi 1GB data mudah alih percuma tidak mencukupi untuk menyokong aktiviti telekonferensi kelas dan paparan video kerana keperluan data tinggi.
Pelajar daripada keluarga miskin tidak mampu membeli data tambahan dengan lebih kerap kerana kekangan kewangan. Syarikat telekomunikasi harus menimbang untuk memberi data tambahan percuma bagi membantu guru, ibu bapa dan pelajar.
Ketiga, memandangkan kadar pemilikan telefon pintar dalam kalangan pelajar agak tinggi, medium itu dimanfaatkan guru untuk menyampaikan pelajaran melalui pesanan WhatsApp atau Telegram.
Namun, penyampaian PdP melalui telefon pintar perlu dipertingkatkan. Peraturan bersesuaian perlu dipraktikkan bagi memastikan komunikasi lebih sistematik dan efektif.
Guru boleh bertindak sebagai pentadbir bagi memantau aktiviti komunikasi ahli kumpulan dan hanya pesanan penting patut dibenarkan bagi memudahkan segala maklumat diambil tindakan.
Keempat, aktiviti PdP harus seragam, termasuk pembelajaran dan pemberian kerja rumah bagi semua mata pelajaran.
Kini, proses pembelajaran banyak bergantung kepada inisiatif dan keupayaan guru menggunakan e-pembelajaran.
Perkara ini harus diperbaiki dan guru perlu berusaha mematuhi sukatan pelajaran dan melaksanakan PdP secara konsisten serta sistematik.
Kelima, saluran televisyen, radio dan penstriman video harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai kaedah alternatif menyampaikan pengajaran kepada kumpulan pelajar besar.
EduwebTV contohnya diwujudkan KPM bagi menyediakan perkhidmatan pendidikan dalam talian. Namun, penstriman video biasanya menggunakan data tinggi.
Sebagai alternatif, KPM melancarkan Program TV Pendidikan atau Kelas@Rumah tetapi program ini hanya berjalan selama dua jam setiap hari.
Waktu siaran perlu dipanjangkan agar merangkumi lebih banyak subjek dan bagi setiap tahap (darjah dan tingkatan).
Subjek kurang memerlukan bantuan visual seperti sejarah boleh diajar melalui radio memandangkan ia masih medium komunikasi maklumat penting.
Keenam, walaupun e-pembelajaran berjalan, interaksi langsung antara guru dengan pelajar masih terhad kerana bilangan pelajar tinggi setiap kelas.
Keberkesanan e-pembelajaran boleh dipertingkatkan dengan mengambil pembantu guru/tutor dalam kalangan graduan baharu untuk menyertai program bimbingan pelajar, sekali gus menangani pengangguran belia.
Tutor boleh ditugaskan kepada kumpulan pelajar lebih kecil bagi memberi perhatian lebih khusus.
Bagaimanapun, pelajar kurang bernasib baik dan berkeperluan khas tidak boleh dilupakan. Justeru, pelajar kelainan upaya, kurang berkemampuan dan berprestasi rendah diberi keutamaan kembali bersekolah apabila COVID-19 dapat dikawal dan PKP dilonggarkan.
Cabaran pembelajaran semasa perlu ditangani sebaiknya kerana ia boleh mempengaruhi prospek hidup dan mobiliti sosial jangka masa panjang.
Kehilangan punca pendapatan keluarga boleh meningkatkan kadar keciciran pelajar sekolah. Tekanan ekonomi berpanjangan juga boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental anak sama melalui pengaruh kesihatan mental ibu bapa.
Kesan krisis juga boleh dirasai pelajar selepas keadaan kembali pulih. Kajian di beberapa negara mendapati belia memasuki pasaran buruh selepas krisis kewangan global menghadapi kebarangkalian lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan bergaji rendah, menganggur lebih lama dan menikmati kemajuan kerjaya lebih perlahan berbanding ketika keadaan ekonomi lebih stabil.
Walaupun tidak ada kajian serupa di Malaysia, trend mobiliti sosial semasa agak membimbangkan. Kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati walaupun generasi sekarang umumnya mempunyai taraf hidup lebih tinggi, mobiliti sosial dilihat semakin perlahan lantaran pertumbuhan ekonomi semakin lemah, persaingan lebih tinggi di pasaran buruh dan premium pendidikan, terutama daripada pendidikan tinggi yang semakin menyusut.
Usaha melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital antara segenap lapisan masyarakat perlu dilakukan dengan segera.
Sekiranya tidak, kesan jangka panjang akan meluaskan jurang ketidaksamaan dan menyebabkan lebih ramai anak tercicir.
Hawati Abdul Hamid dan Jarud Romadan Khalidi
Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI)
BERITA HARIAN ONLINE
APA CERITA MURID JAUH DI PEDALAMAN?
GOOGLE Classroom, Zoom mahupun Google Meet, menjadi antara wahana alternatif pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang semakin popular dalam dunia pendidikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.
Kaedah yang bergantung sepenuhnya kepada capaian internet ini menjadi pilihan tenaga pengajar termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan golongan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.
Ia bertepatan dengan arahan kerajaan untuk semua duduk di rumah sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengeluh berikutan kekangan serta keterbatasan untuk menjayakannya PdP kerana capaian internet lemah serta tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga kurang berkemampuan.
Namun, bagi kebanyakan pelajar di bandar mahupun luar bandar, guru masih boleh menghubungi mereka dengan telefon bimbit untuk diberi tugasan bagi memastikan tidak ketinggalan.
Tidak kisahlah, sekiranya telefon itu hanya mempunyai fungsi asas sahaja, sekadar terima dan jawab panggilan, sekurang-kurangnya masih ada jaringan perhubungan.
Bagaimana pula halnya pelajar jauh di pedalaman, apatah lagi dikelilingi hutan tebal. Bukan sahaja tidak mempunyai capaian internet, malah tidak juga mempunyai sebarang rangkaian talian komunikasi!
Berkemungkinan pelajar di kawasan itu tidak dapat mengikuti sebarang program PdP berbanding rakan-rakan mereka di bandar atau luar bandar, yang masih mampu mendapat capaian internet.
Perkara ini bermain-main dalam pemikiran saya sepanjang PKP ini ketika ingatan singgah ke sebuah kawasan pedalaman di Sarawak yang pernah saya kunjungi akhir 2018 untuk Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).
Terdapat sebuah rumah panjang, Anthony Bau, di kawasan pedalaman yang saya maksudkan itu didiami masyarakat kaum Iban. Ia terletak di Julau, Sarikei.
Selain langsung tiada talian komunikasi, bukan mudah untuk sampai ke penempatan masyarakat Iban itu.
Rumah Panjang Anthony Bau itu sememangnya sangat 'terpisah' dengan dunia luar kerana hutan tebal. Bagi membolehkan penduduk rumah panjang mendapatkan rangkaian komunikasi, mereka perlu ke Julau yang memakan masa berjam-jam lamanya. Itu pun bergantung pengangkutan, sama ada melalui sungai, jalan balak atau udara sahaja.
Sekiranya ke Julau menerusi sungai dengan perahu panjang enjin sangkut, perjalanan mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam, malah mungkin lebih, bergantung keadaan sungai untuk sampai ke Jeti Nanga Entabai.
Dari jeti, untuk sampai ke Julau, perlu mengambil pengangkutan van dan jarak perjalanan kira-kira 45 minit.
Jika menggunakan jalan balak, perjalanan agak singkat, iaitu kira-kira empat jam. Bolehlah menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak namun berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan serta berisiko kenderaan rosak.
Dengan segala kesukaran mendapatkan 'talian komunikasi' ini serta dan kepada tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan tebal serta kos perjalanan melebihi RM500 ke atas, apakah semuanya ini boleh mematahkan semangat anak pedalaman ini untuk belajar semasa PKP?
Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, penulis menghubungi Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julaihi Mahdi, 51, baru-baru ini.
Meskipun belajar jauh di pedalaman dikelilingi hutan tebal, murid-murid sekolah di kawasan itu maklum mengenai Google Classroom serta Google Meet.
"Pada awal tahun, guru sudah memberi penerangan dan penjelasan kepada mereka. Namun, praktikalnya tidak dapat dilakukan pada masa itu termasuk ketika ini disebabkan masalah talian komunikasi dan capaian internet. Jadi, apabila ada PKP yang menyebabkan semua sekolah ditutup, keadaan ini memberi cabaran besar buat guru.
"Bagaimana kami hendak memastikan murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran tambahan ketika ini semua guru berada di kediaman masing-masing dan tidak ada seorang pun di asrama sekolah," katanya.
Beliau yang dihubungi melalui telefon dan e-mel berkata, SK Nanga Ju mempunyai 23 murid dari Rumah Panjang Lepong Bilat (Rumah Nyalih) dan Rumah Panjang Nanga Ju (Rumah Gerasi), sekali gus menjadi sekolah paling jauh berbanding tiga sekolah lain.
Dari jeti Nanga Entabai, terdapat tiga sekolah sebelum sampai ke SK Nanga Ju, iaitu SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong. Difahamkan kira-kira sejam perjalanan dari rumah panjang Anthony Bau.
Sekolah pedalaman ini ada dibekalkan dengan alat komunikasi, iaitu internet yang menggunakan parabola bagi membolehkan perhubungan secara terus kepada satelit.
Namun, Julaihi yang hampir tujuh tahun mengajar di sekolah itu berkata, kemudahan itu mengalami kerosakan, awal tahun ini hingga menyukarkan lagi melaksanakan PdP dalam talian.
"Pelaksanaan PKP menjejaskan perancangan guru khususnya untuk pelajar menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan itu.
"Namun, itu bukanlah bermakna kami seramai 10 guru dan enam anggota kumpulan pelaksana (AKP) menjadikan kesukaran komunikasi sebagai alasan membiarkan sahaja murid begitu sahaja.
"Kami ada cara tersendiri untuk memastikan mereka tidak tercicir," katanya yang kini berada di rumah keluarganya di Bintangor.
Menjelaskan lebih lanjut apa dinyatakan Julaihi, Guru Prasekolah SK Nanga Ju, Muhamad Fadheruhisham Daud, 29, yang berasal dari Pasir Mas, memberitahu BERNAMA, terdapat beberapa cara termasuk menyampaikan tugasan kepada wakil ibu bapa.
Menurut beliau, seorang wakil ibu bapa murid secara sukarela ke Julau seminggu sekali untuk menghubungi guru menerusi telefon bagi mendapatkan tugasan murid, selain membeli barangan keperluan.
Sebaik sahaja dapat dihubungi, guru yang sudah menyediakan bahan untuk latih tubi, lebaran kerja, aktiviti kuiz dalam bentuk salinan digital, mahupun gambar, akan memberikannya menerusi aplikasi WhatsApp.
Terdapat juga latihan berpandukan buku teks kerana sudah mempunyai banyak maklumat dan lengkap, cuma perlu memberitahu halaman sahaja.
"Sekembalinya wakil ibu bapa ini ke rumah panjang, ibu bapa murid lain akan bertemu dengannya dan mengambil gambar tugasan itu menggunakan telefon bimbit masing-masing daripada telefon wakil berkenaan.
"Mesej tugasan tidak dapat dihantar kepada semua kerana tiada talian," katanya yang sudah hampir enam tahun mengajar di sekolah terbabit.
Selain itu, guru juga menggunakan khidmat salah seorang kakitangan sekolah yang tinggal di Sarikei, iaitu Apai Lovy, 38, untuk menghantar tugasan yang sudah dicetak kepada wakil ibu bapa berkenaan di Julau.
Bagaimanapun, sekiranya guru tidak dapat menghubungi mana-mana wakil ibu bapa selepas dua minggu, Apai Lovy akan ke rumah panjang berkenaan menggunakan jalan balak, iaitu kira-kira lapan jam perjalanan pergi balik dari Sarikei untuk menghantar tugasan kepada mereka.
"Kebanyakan guru termasuk saya berada di Sarikei bersama keluarga dan ini memudahkan kami kumpul bahan dan berikan kepada Apai Lovy.
"Kami cuba pastikan mereka tidak tercicir pelajaran. Bagaimanapun, segala tugasan itu akan diperiksa guru selepas berakhirnya PKP nanti," katanya.
Murid sekolah itu juga mempunyai cara tersendiri sekiranya mereka tidak faham akan sesuatu tugasan yang diberikan guru.
Menurut Apai Lovy, ibu bapa murid akan membawa anak mereka ke puncak bukit untuk cuba menghubungi guru sekolah.
"Bolehlah dapat talian tapi nyawa-nyawa ikan. Ada juga yang akan menghubungi cikgu mereka mengenai latihan ketika berpeluang mengikuti ibu atau ayah mereka ke pekan," katanya.
Istimewanya, biarpun mereka tidak ada sebarang talian komunikasi namun kebanyakan rumah panjang di situ mempunyai televisyen.
Ini bukan sahaja membantu mereka mendapatkan informasi semasa mengenai COVID-19 bahkan juga program TV Pendidikan menerusi saluran TV Okey.
Bersiaran selama dua jam, bermula 9 hingga 10 pagi dan 1 tengah hari sehingga 2 petang setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, program itu sedikit sebanyak membantu murid di kawasan pedalaman.
"Walaupun kurang kemudahan, saya perhatikan semangat belajar anak-anak ini kuat. Ibu bapa serta tuai rumah (ketua rumah panjang) pun sangat menitikberatkan pelajaran buat anak-anak ini," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
Sunday, 3 May 2020
PKPB : SEMUA SEKOLAH MASIH DITUTUP
BERIKUT adalah soalan lazim berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia
A. PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH
Adakah sekolah dibuka semula semasa PKPB?
Tidak, semua sekolah masih ditutup.
Bilakah akan dimaklumkan mengenai tarikh pembukaan semula sekolah?
Sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka.
B. GURU DAN PENTADBIR SEKOLAH
Bolehkah Pengetua/Guru Besar dan pentadbir hadir bertugas di sekolah semasa PKPB?
Boleh, jika ada keperluan.
Bolehkah guru terus melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari rumah semasa PKPB?
Boleh. Guru digalakkan untuk terus melaksanakan PdP dari rumah.
Bolehkah guru ke sekolah semasa PKPB?
Boleh, jika terdapat keperluan dengan kelulusan pentadbir sekolah. Pentadbir sekolah perlu memastikan kehadiran pada tahap minimum pada satu-satu masa.
Bagaimanakah guru yang terkandas di kampung/luar kawasan boleh pulang ke tempat tinggal semasa PKPB?
Guru hendaklah memohon melalui aplikasi GERAK MALAYSIA dan mengikut jadualyang ditetapkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Guru perlu membuat perancangan awal untuk pulang ke tempat tinggal.
Adakah guru yang pulang ke negeri tempat bertugas perlu menjalani kuarantin?
Tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri berkenaan.
Bagaimanakah guru yang sedang berada di Semenanjung boleh pulang bertugas ke Sabah/Sarawak/Wilayah Persekutuan Labuan atau sebaliknya?
Guru hendaklah memohon melalui aplikasi GERAK MALAYSIA bagi perjalanan ke lapangan terbang yang merentasi sempadan negeri. Tiket perlu ditempah sendiri dengan seawal mungkin bagi memastikan proses perjalanan yang lancar termasuk keperluan untuk kuarantin.
Adakah KPM menyediakan panduan kepada pihak sekolah dan guru bagi memastikan keselamatan mereka semasa bertugas di sekolah dalam tempoh PKPB dan Pasca PKP?
Ya. KPM akan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah pasca PKP yang turut terpakai semasa PKPB.
C. ANGGOTA KUMPULAN PELAKSANA (AKP)
Bolehkah Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah semasa PKPB?
Boleh, jika terdapat keperluan dengan kelulusan pentadbir sekolah. Pentadbir sekolah perlu memastikan kehadiran pada tahap minimum pada satu-satu masa.
D. PERKHIDMATAN KEBERSIHAN BANGUNAN DAN KAWASAN (KBK)
Bolehkah perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) di sekolah/institusi pendidikan/pejabat/kuarters di bawah KPM dilaksanakan semasa PKPB?
Boleh, kecuali bangunan yang dijadikan sebagai pusat kuarantin dan penempatan yang diselia oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Berapakah bilangan pekerja perkhidmatan KBK yang dibenarkan hadir bertugas?
Mengikut bilangan yang ditetapkan dalam kontrak.
Adakah skop dan waktu bekerja bagi pekerja perkhidmatan KBK mengikut ketetapan dalam kontrak?
Ya.
Apakah arahan/tindakan yang perlu dipatuhi oleh pekerja KBK ketika melaksanakan perkhidmatan?
Pekerja KBK perlu melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan hand sanitizer dan memakai penutup mulut dan hidung ketika melaksanakan tugas. Selain itu, pekerja perlu mematuhi garis panduan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Apakah tanggungjawab syarikat/kontraktor perkhidmatan KBK dalam melaksanakan perkhidmatan?
Syarikat/kontraktor perlu:
a) memastikan pekerja yang tidak sihat atau bergejala tidak datang bekerja dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan;
b) memastikan pekerja segera pulang ke rumah selepas selesai menjalankan tugas bagi mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan; dan
c) memaklumkan pihak KPM/Jabatan sekiranya terdapat pekerja mereka yang disahkan positif COVID-19.
E. SEKOLAH SWASTA
Adakah soalan lazim ini terpakai untuk pengoperasian sekolah swasta?
Ya.
BERITA HARIAN ONLINE
Saturday, 2 May 2020
PKP : SEKOLAH TIDAK DIBUKA ISNIN INI - KPM
KPM akan membuat pengumuman dua minggu lebih awal sekiranya sekolah dibuka semula.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan sekolah akan mula dibuka Isnin ini kepada pelajar yang akan mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Vokasional Malaysia.
Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pembukaan sekolah seperti yang dilaporkan.
"(Kenyataan itu) bukan daripada KPM," katanya ringkas kepada BH ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, menurut Unit Komunikasi Korporat KPM, sekiranya sekolah akan dibuka semula pihak kementerian akan memaklumkan mengenai perkara itu dua minggu lebih awal.
"Seperti yang dimaklumkan YBMK (Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin) sebelum ini, sesi persekolahan akan dimaklumkan dua minggu lebih awal sebelum dibuka, bukannya Isnin depan.
"KPM juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sekolah akan mula dibuka selepas kenyataan yang dibuat oleh pihak menteri tempoh hari," katanya.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan beberapa sektor perniagaan dan sekolah akan mula dibuka bermula Isnin ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Terdahulu, pada 15 April lalu Mohd Radzi mengadakan sidang media khas mengenai Pelan Tindakan Persekolahan Pasca PKP semasa penularan COVID-19 di negara ini.
Mohd Radzi dalam ucapannya berkata, keputusan untuk membuka semula sei persekolahan itu hanya akan dibuat sekiranya pihaknya benar-benar yakin keadaan negara ini sudah pulih.
"Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan.
"KPM sudah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar serta sesi Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE
Friday, 1 May 2020
Subscribe to:
Posts (Atom)














