Tuesday 5 May 2020

RAPATKAN JURANG DIGITAL EAK PELAJAR TERCICIR

Cabaran pembelajaran semasa perlu ditangani bagi mengelak ada pelajar tercicir daripada arus teknologi terkini.
PENULARAN COVID-19 memberi kesan kepada kehidupan setiap rakyat Malaysia, walaupun tidak sekata.
Ramai berharap kehidupan akan kembali sedia kala. Bagi ibu bapa, sudah tentu supaya anak dapat menyambung semula persekolahan selepas ditutup sejak pertengahan Mac, sekali gus mengganggu proses pembelajaran 4.9 juta pelajar di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih berjalan seperti biasa dengan guru disaran mencari kaedah terbaik.
Ini mendorong guru melaksanakan pembelajaran jarak jauh secara dalam talian dan menggunakan peralatan elektronik (e-pembelajaran).
Realitinya, situasi e-pembelajaran sangat berbeza berbanding rutin harian persekolahan. Ramai pelajar, guru dan ibu bapa masih bergelut dengan kaedah e-pembelajaran.
Memandangkan belum jelas bilakah pelajar boleh kembali ke sekolah, pelaksanaan e-pembelajaran perlu diperbaiki agar lebih sistematik dan inklusif.
Pertama, pemilikan peranti rendah menjadikan pelaksanaan e-pembelajaran agak mencabar. Hasil kaji selidik KPM membabitkan hampir 900,000 pelajar menunjukkan sebilangan atau 37 peratus. tidak mempunyai peranti.
Hanya enam peratus pelajar mempunyai komputer peribadi; tablet (9 peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Walaupun ada keluarga memiliki peranti, kebanyakannya masih perlu berkongsi dengan ahli keluarga lain untuk tujuan kerja atau belajar.
Inisiatif untuk meningkatkan pemilikan peranti perlu dilaksanakan. Ini termasuk memberi geran membeli peranti, mewujudkan skim pinjaman peranti seperti skim pinjaman buku teks dan pemberian peranti percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Walaupun langkah ini memerlukan peruntukan kewangan kerajaan, ia pelaburan berbaloi untuk masa depan negara.
Syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menggembleng usaha menderma komputer baharu atau terpakai untuk diedarkan ke sekolah.
Selain itu, pelepasan cukai boleh diperluaskan untuk menggalakkan pemilikan peranti. Adalah wajar perbelanjaan pembelian peranti dan caj internet dikategorikan secara berasingan daripada perbelanjaan gaya hidup lain seperti dalam jadual pelepasan cukai sekarang.
Jumlah pelepasan cukai pula boleh dinaikkan memandangkan kos kedua-dua item ini agak tinggi.
Kedua, sambungan internet lancar amat penting agar proses e-pembelajaran berkesan. Walaupun penembusan jalur lebar mudah alih tinggi pada kadar 120 peratus, penembusan jalur lebar talian tetap berkelajuan lebih tinggi dan stabil hanya sekitar lapan peratus.
Capaian internet masih mempunyai banyak kekangan dari segi liputan dan kelajuan akibat kekurangan rangkaian gentian optik.
Usaha pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) perlu dilipatgandakan agar akses internet berkelajuan tinggi dan mampu milik dapat dinikmati masyarakat.
Inisiatif kerajaan memberi 1GB data mudah alih percuma tidak mencukupi untuk menyokong aktiviti telekonferensi kelas dan paparan video kerana keperluan data tinggi.
Pelajar daripada keluarga miskin tidak mampu membeli data tambahan dengan lebih kerap kerana kekangan kewangan. Syarikat telekomunikasi harus menimbang untuk memberi data tambahan percuma bagi membantu guru, ibu bapa dan pelajar.
Ketiga, memandangkan kadar pemilikan telefon pintar dalam kalangan pelajar agak tinggi, medium itu dimanfaatkan guru untuk menyampaikan pelajaran melalui pesanan WhatsApp atau Telegram.
Namun, penyampaian PdP melalui telefon pintar perlu dipertingkatkan. Peraturan bersesuaian perlu dipraktikkan bagi memastikan komunikasi lebih sistematik dan efektif.
Guru boleh bertindak sebagai pentadbir bagi memantau aktiviti komunikasi ahli kumpulan dan hanya pesanan penting patut dibenarkan bagi memudahkan segala maklumat diambil tindakan.
Keempat, aktiviti PdP harus seragam, termasuk pembelajaran dan pemberian kerja rumah bagi semua mata pelajaran.
Kini, proses pembelajaran banyak bergantung kepada inisiatif dan keupayaan guru menggunakan e-pembelajaran.
Perkara ini harus diperbaiki dan guru perlu berusaha mematuhi sukatan pelajaran dan melaksanakan PdP secara konsisten serta sistematik.
Kelima, saluran televisyen, radio dan penstriman video harus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai kaedah alternatif menyampaikan pengajaran kepada kumpulan pelajar besar.
EduwebTV contohnya diwujudkan KPM bagi menyediakan perkhidmatan pendidikan dalam talian. Namun, penstriman video biasanya menggunakan data tinggi.
Sebagai alternatif, KPM melancarkan Program TV Pendidikan atau Kelas@Rumah tetapi program ini hanya berjalan selama dua jam setiap hari.
Waktu siaran perlu dipanjangkan agar merangkumi lebih banyak subjek dan bagi setiap tahap (darjah dan tingkatan).
Subjek kurang memerlukan bantuan visual seperti sejarah boleh diajar melalui radio memandangkan ia masih medium komunikasi maklumat penting.
Keenam, walaupun e-pembelajaran berjalan, interaksi langsung antara guru dengan pelajar masih terhad kerana bilangan pelajar tinggi setiap kelas.
Keberkesanan e-pembelajaran boleh dipertingkatkan dengan mengambil pembantu guru/tutor dalam kalangan graduan baharu untuk menyertai program bimbingan pelajar, sekali gus menangani pengangguran belia.
Tutor boleh ditugaskan kepada kumpulan pelajar lebih kecil bagi memberi perhatian lebih khusus.
Bagaimanapun, pelajar kurang bernasib baik dan berkeperluan khas tidak boleh dilupakan. Justeru, pelajar kelainan upaya, kurang berkemampuan dan berprestasi rendah diberi keutamaan kembali bersekolah apabila COVID-19 dapat dikawal dan PKP dilonggarkan.
Cabaran pembelajaran semasa perlu ditangani sebaiknya kerana ia boleh mempengaruhi prospek hidup dan mobiliti sosial jangka masa panjang.
Kehilangan punca pendapatan keluarga boleh meningkatkan kadar keciciran pelajar sekolah. Tekanan ekonomi berpanjangan juga boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental anak sama melalui pengaruh kesihatan mental ibu bapa.
Kesan krisis juga boleh dirasai pelajar selepas keadaan kembali pulih. Kajian di beberapa negara mendapati belia memasuki pasaran buruh selepas krisis kewangan global menghadapi kebarangkalian lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan bergaji rendah, menganggur lebih lama dan menikmati kemajuan kerjaya lebih perlahan berbanding ketika keadaan ekonomi lebih stabil.
Walaupun tidak ada kajian serupa di Malaysia, trend mobiliti sosial semasa agak membimbangkan. Kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati walaupun generasi sekarang umumnya mempunyai taraf hidup lebih tinggi, mobiliti sosial dilihat semakin perlahan lantaran pertumbuhan ekonomi semakin lemah, persaingan lebih tinggi di pasaran buruh dan premium pendidikan, terutama daripada pendidikan tinggi yang semakin menyusut.
Usaha melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital antara segenap lapisan masyarakat perlu dilakukan dengan segera.
Sekiranya tidak, kesan jangka panjang akan meluaskan jurang ketidaksamaan dan menyebabkan lebih ramai anak tercicir.
Hawati Abdul Hamid dan Jarud Romadan Khalidi
Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI)

BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment