Friday 29 May 2020

HANYA 19 PERATUS PILIH ALIRAN SAINS

PENGERUSI National STEM Movement, Prof Datuk Dr Noraini Idris.
PENGERUSI National STEM Movement, Prof Datuk Dr Noraini Idris.
KUALA LUMPUR: Kaedah pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu dikendalikan secara menarik bagi memastikan lebih ramai pelajar meminati serta memilih bidang itu sebagai aliran ke universiti.
Pengerusi National STEM Movement, Prof Datuk Dr Noraini Idris, berkata pendekatan itu penting bagi meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti STEM memandangkan berdasarkan statistik, hanya 19 peratus daripada kira-kira 447,000 calon yang menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memasuki aliran sains apabila menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat.
Disebabkan keadaan itu, katanya, banyak kuota pengajian membabitkan STEM di universiti tidak dapat dipenuhi kerana kekurangan calon dari aliran terbabit, sekali gus tidak mampu menghasilkan lebih ramai tenaga pakar bidang.
"Malaysia perlu melaksanakan lebih banyak usaha bagi memastikan pembudayaan STEM mampu bergerak setanding kemajuan negara luar dalam bidang itu, antaranya dimulakan dengan menggalakkan minat generasi muda.
"Usaha ini turut mampu memacu Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Negara dengan lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara sempena Hari Cahaya Malaysia yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasmi Apadilangit, semalam.
Program itu diadakan bagi meraikan Hari Cahaya Malaysia dan Hari Cahaya Antarabangsa bertujuan meningkatkan kesedaran global mengenai pencapaian sains cahaya dan aplikasinya, selain kepentingan aspek berkenaan kepada manusia.
Noraini berkata, tenaga pengajar perlu menjadi lebih kreatif dengan mempratikkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar kelas melalui lawatan, penerangan berdasarkan sumber alam sekeliling yang berkait rapat dengan STEM dan mengaplikasikan pendidikan interaksif.
Tenaga pengajar, katanya, harus memberi peluang kepada pelajar untuk melakukan eksperimen, terutama ketika di rumah bagi mendalami ilmu STEM agar berupaya mencipta sesuatu.
Mengulas lanjut, katanya, ibu bapa perlu memberikan sokongan dan galakkan penuh kepada anak-anak untuk menceburi STEM kerana bidang itu memberi masa depan cerah daripada aspek ilmu pengetahuan, peluang kerjaya dan pulangan pendapatan menguntungkan.
"Ibu bapa boleh mengambil peluang meningkatkan minat anak-anak kepada STEM ketika situasi sekolah ditutup akibat COVID-19 kini dengan mengadaptasikan penggunaan teknologi di rumah untuk mengakses input.
"Kita mahukan anak-anak ini bagus dalam menyelesaikan masalah, berfikiran kreatif dan kritis, malah mencari penyelesaian menerusi eksperimen, ini juga ciri diperlukan apabila mereka menceburi bidang pekerjaan kelak," katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, National STEM Movement sebagai penggerak bidang terbabit turut melaksanakan pelbagai pendekatan bagi memupuk minat generasi muda, terutama pelajar sekolah.
Katanya, antara pendekatan itu adalah menjalankan projek mentor mentee yang menyaksikan pembabitan penuntut universiti turun padang ke sekolah untuk mempromosi tarikan STEM dan membantu penguasaan pelajar dalam bidang itu.
National STEM Movement, katanya, turut menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dengan melantik duta STEM dalam kalangan penuntut universiti bagi berkempen mengenai tarikan dan kepentingan bidang itu.
"Saya juga sentiasa memohon kepada semua universiti, sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan STEM supaya melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan anak-anak kita meminati bidang ini," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment