Saturday 16 May 2020

TEKS PENUH UCAPAN PERDANA MENTERI, TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN SEMPENA HARI GURU 2020


Hari Guru 2020
Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara saudari sihat wal afiat.
Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya kita dapat meraikan sambutan Hari Guru pada hari ini. Saya ingin merakamkan ucapan setulus penghargaan kepada semua warga pendidik di seluruh negara atas segala jasa dan pengorbanan anda semua mendidik anak bangsa dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu. Tema ini memberi penekanan terhadap peranan penting guru dalam memperkasa ilmu pengetahuan dan membina generasi baharu seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sedar atau tidak, kita telah melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua bulan. Ini bermakna dua bulan jugalah cikgu tidak dapat ke sekolah berjumpa dengan murid. Saya percaya sekarang ini ramai cikgu yang rindu untuk kembali semula ke sekolah dan bersua muka dengan anak murid masing-masing.
Biasanya, hari ini sekolah akan meriah dengan pelbagai aktiviti sambutan Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh keramat yang amat besar maknanya kepada semua yang bergelar guru. Saya pasti WhatsApp, Twitter atau Instagram cikgu dihujani dengan mesej ucapan Selamat Hari Guru.
Namun, pada tahun ini suasana sambutan Hari Guru jauh berbeza. Ini kerana kita masih lagi menangani penularan wabak COVID-19. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna hari istimewa untuk guru tidak dapat diraikan. Sumbangan, jasa, bakti dan pengorbanan para guru selama ini tidak akan pernah dilupakan, bahkan akan terus dihargai dan tetap subur dalam hati sanubari kita semua.
Saudara saudari yang saya kasihi,
Penularan wabak COVID-19 telah banyak mengubah amalan pendidikan di negara kita. Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, pengajaran dan pembelajaran tidak lagi dijalankan secara bersemuka. Sebaliknya, guru menggunakan pelbagai kaedah lain untuk berhubung dengan pelajar.
Ramai yang menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google Classroom, cikgooTUBE dan Zoom untuk melaksanakan pembelajaran di rumah atau homebased learning. Tidak kurang juga cikgu yang menggunakan WhatsApp dan Telegram.
Saya diberitahu, ada juga cikgu yang menyampaikan latihan sukan secara online.
Namun saya sedar bahawa masih ada kekangan dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian di rumah kerana tidak semua murid mempunyai akses internet yang baik. Ramai juga yang tidak memiliki peranti yang sesuai. Untuk pelajar dalam kumpulan ini, saya tahu cikgu telah menggunakan pelbagai kaedah lain.
Sebagai contoh, ada yang mencetak soalan untuk kerja rumah murid dan bekerjasama dengan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) bagi menghantar soalan ke rumah murid. Saya amat terharu dan sangat menghargai kesungguhan para guru dan ibu-bapa kita.
Setelah dua bulan sekolah ditutup, saya percaya ramai yang bertanya, bila sekolah akan dibuka? Sepertimana yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini, tarikh pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka. Ini bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan.
Apabila sekolah dibuka nanti, untuk permulaan, kita berikan keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM untuk ke sekolah dahulu. Ini untuk memastikan SOP mengenai penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi. SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, sususan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain.
Selain itu, proses pendigitalan dengan menggunakan platform dalam talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa. Saya percaya pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan. Jadi, saya menyeru kepada guru-guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan home-based learning yang merupakan kebiasaan baharu dalam bidang perguruan.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Di kesempatan ini saya ingin menzahirkan penghargaan saya kepada guru-guru yang telah mencapai pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tahniah saya ucapkan kepada Cikgu Abd Rahman bin Ali dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom. Beliau merupakan Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan 2017, Ikon Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan 2018, MIE Expert Malaysia, Global Minecraft Mentor dan peserta Global Education Exchange Microsoft Sydney Australia 2020. Beliau mencapai kedudukan kelima teratas Cikgu Juara Digital Mydigitalmaker Kebangsaan 2020.
Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Lee Saw Im, guru mata pelajaran Kimia dari SMK Seri Bintang Utara yang telah berkhidmat selama 30 tahun. Beliau telah menerima Global Teacher Award 2019 dan pernah dinobatkan sebagai pemenang Best Science Teacher in South East Asia. Tahniah Cikgu Lee.
Saya juga mengucapkan syabas kepada Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib dari SMK Jerlun, Ayer Hitam, Kedah. Beliau merupakan finalis untuk Global Teacher Prize 2020. Cikgu Norhailmi adalah seorang guru yang inovatif dalam menghasilkan bahan pembelajaran menggunakan platform digital.
Tahniah juga saya ucapkan kepada Cikgu Samuel Isaiah dari Sekolah Rendah (SK) Runchang, Muadzam Shah, Pahang yang juga turut disenarai pendek untuk Global Teacher Prize 2020. Saya diberitahu pendekatan pengajaran Cikgu Samuel telah berjaya meningkatkan pencapaian murid di sekolah beliau yang terletak di luar bandar.
Hasil penat lelah para guru kita juga telah menghasilkan ramai anak murid yang berjaya, seperti adik Izzah Amzan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil. Adik Izzah merupakan Gimnas Kebangsaan yang memenangi 2 pingat Emas dan 1 Perak di Temasya Sukan SEA 2019 di Filipina. Saya juga berbangga dengan pencapaian Pasukan Vincera dari SMK King George Kelima, Negeri Sembilan yang menjadi Naib Juara, Land Rover 4x4 in Schools Technology Challenge, World Finals 2019, di United Kingdom (UK).
Saya juga gembira mengetahui kejayaan adik Nathanael Lim Yee Ning, Ling Guan Yee dan Ling Yan Ru dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kai Ming dan Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu yang memenangi pingat emas pada pertandingan inovasi Pameran Teknologi, Inovasi dan Reka Cipta, Harta Intelek Antarabangsa 2020. Tahniah saya ucapkan kepada anda semua.
Saya percaya ramai lagi anak-anak kita yang mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang yang tidak dapat saya sebutkan di sini satu persatu. Mereka adalah harapan kita semua. Saya doakan mereka diberikan kejayaan cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.
Saudara-saudari yang saya kasihi,
Saya ingin menyentuh sedikit mengenai pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Saya terlibat dalam merangka pelan ini ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu. Pada ketika itu kita amat bimbang dengan pencapaian pendidikan di negara kita yang dikatakan berada dalam kelompok satu pertiga terbawah atau the bottom third dalam penarafan sistem pendidikan di peringkat antarabangsa.
Hari ini saya berasa agak lega dan gembira kerana hasil kerja keras para guru melaksanakan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, negara kita telah berjaya melangkah keluar daripada kelompok satu pertiga terbawah.
Pencapaian murid kita dalam ujian PISA bagi mata pelajaran Matematik telah meningkat daripada 421 mata pada tahun 2012 kepada 440 mata dalam tahun 2019. Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran Sains juga telah meningkat daripada 420 mata pada tahun 2012 kepada 438 mata pada tahun 2019. Tahniah saya ucapkan kepada guru-guru kita semua.
Walau bagaimanapun, pencapaian negara kita secara keseluruhannya masih berada di bawah paras pencapaian purata negara-negara OECD. Ini menuntut guru-guru kita supaya melipat gandakan lagi usaha untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara kita agar setanding dengan kualiti pendidikan di peringkat antarabangsa. Saya tahu usaha ini akan memakan masa. Kerana itu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun, iaitu bermula dari tahun 2013 hingga 2025. Kita ada lima tahun lagi untuk melonjakkan kualiti pendidikan di negara kita supaya berada dalam kategori sepertiga teratas atau the top third dalam penarafan kualiti sistem pendidikan antarabangsa. Saya percaya dengan semangat, komitmen dan dedikasi para guru semua, kita akan berjaya mencapai matlamat ini.
Sepertimana biasa sempena sambutan Hari Guru pada setiap tahun kerajaan akan memberi penghargaan kepada tokoh guru. Pada hari ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Nor Hainei Abu Bakar mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jalan 3, Bandar Baru Bangi, Selangor yang telah dipilih sebagai Tokoh Guru Kebangsaan. Saya juga mengucapkan tahniah
kepada Tuan Haji Aminudin Adam, mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi) yang telah dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.
Anugerah ini merupakan penghargaan tertinggi negara kepada guru-guru yang telah mencurahkan khidmat bakti dan jasa yang tidak ternilai dalam mendidik anak bangsa. Saya berharap anugerah ini akan menjadi pembakar semangat kepada semua warga pendidik untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara kita.
Emas merah dari Palembang
Empat penjuru cantik selia
Seluruh negara ilmu berkembang
Kerana guru kita mulia
Kasa bermutu tenunan benang
Pusaka moyang warisan bonda
Jasa guru sentiasa dikenang
Menjulang bangsa gemilang negara
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan anda semua dalam mendidik anak bangsa kita.
"Terima kasih cikgu!"
Wabillahi al-taufik wal hidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment