Wednesday 13 May 2020

RAI HARI GURU SECARA DALAM TALIAN

Tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2020, Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu
KUALA LUMPUR: Saban tahun, sambutan Hari Guru bukan sahaja menjadi acara wajib dianjurkan di sekolah seluruh negara, tetapi juga pastinya diraikan secara meriah dan menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan pelajar khusus untuk golongan pendidik itu.
Bagaimanapun pada tahun ini, sambutan itu tidak dapat direalisasikan di sekolah memandangkan negara berdepan penularan pandemik COVID-19 sehingga kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan institusi pendidikan turut ditutup, malah sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dikendalikan melalui kaedah dalam talian di rumah.
Namun, situasi itu tidak menghalang perancangan dan pengendalian sambutan Hari Guru apabila pentadbiran serta pelajar tetap mengambil inisiatif meraikan hari istimewa terbabit melalui platform aplikasi gajet secara dalam talian.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Badariatul Jamal Mohd Hasnan, berkata walaupun cara sambutan Hari Guru pada tahun ini berbeza, matlamat keraian itu tetap sama iaitu bagi menunjukkan penghargaan dan tanda terima kasih kepada insan bergelar pendidik pada peringkat sekolah.
Katanya, menyedari situasi COVID-19 ketika ini dan kepentingan untuk tetap menyambut hari guru, sekolahnya mengambil alternatif menggunakan aplikasi komunikasi secara dalam talian, Google Meet untuk meraikan hari bermakna itu.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Badariatul Jamal Mohd Hasnan.
"Guru dan pelajar kita sememangnya memiliki akses aplikasi ini yang digunakan untuk menjalani PdP bagi menguasai topik di rumah sepanjang tempoh PKP.
"Oleh itu, pihak sekolah akan menggunakan kemudahan ini untuk meraikan Hari Guru secara dalam talian yang dirancang diadakan pada Jumaat ini," katanya.
Badariatul berkata, pada acara selama dua jam bermula jam 10 pagi itu nanti, seramai 96 guru akan diraikan melalui beberapa aktiviti dirancang seperti bacaan Yasin, bacaan ikrar, ucapan kreatif dan kejutan istimewa daripada pelajar.
Beliau berkata, sebelum acara diadakan, pihak sekolah akan memberikan pautan untuk mengaksesnya kepada kesemua 1,602 pelajar untuk sama-sama memeriahkan sambutan.
Katanya, pelajar boleh mengakses acara itu mengikut kelapangan mereka dalam tempoh dua jam berkenaan.
"Walaupun tiada sambutan di sekolah pada 16 Mei seperti setiap tahun, saya dan barisan pentadbir mahu pelajar tetap mengadakan sambutan, malah ini sejajar saranan kerajaan supaya rakyat menjalani norma baharu ekoran COVID-19.
"Saya berpendapatan tidak kiralah bagaimana sambutannya, tetapi Hari Guru tetap perlu diraikan secara meriah bagi menunjukkan penghargaan kepada cikgu," katanya.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Seri Serdang, Datin Norhayaty Asin, berkata memandangkan guru dan murid terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) PKP, pihak sekolah serta pentadbiran kanan diketuai Pengetua, Serina Jaafar, mengubah kaedah sambutan yang dirancang diadakan selepas Aidilfitri kepada keraian secara dalam talian.
Beliau berkata, dalam merealisasikan acara itu, pihak sekolah menyusun pelbagai aktiviti menarik khusus buat guru, pelajar dan ibu bapa bagi memastikan mereka meraikannya secara meriah seperti suasana tahun sebelumnya walaupun melalui pendekatan berbeza.
Katanya, aktiviti itu termasuk ucapan secara langsung melalui aplikasi Google Meet pada Sabtu ini bermula jam 10 pagi, memuat naik video dihasilkan pelajar dalam portal Google Classroom (GC), selain memapar dan membacakan kad ucapan mengikut kelas dan kad ucapan individu kepada guru.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Datin Norhayaty Asin
"Tiga kad ucapan terbaik akan menerima hamper, manakala tiga video terbaik bakal memenangi hadiah wang tunai iaitu RM100 bagi tempat pertama, RM70 (tempat kedua) dan RM50 (tempat ketiga).
"Sambutan ini penting diadakan walaupun dalam tempoh PKP sebagai menghargai pengorbanan guru mendidik anak bangsa," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment