Thursday 21 May 2020

P. PINANG TUBUH TASK FORCE BANGUNKAN SISTEM PENDIDIKAN DALAM NORMAL BAHARU


Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan sebuah Task Force Program Komputer e-Pembelajaran bagi membangunkan sektor pendidikan dalam normal baharu sekali gus memastikan pendidikan anak di negeri ini tidak terjejas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata menerusi task force itu, sebanyak enam inisiatif diperkenalkan iaitu skim pinjaman peranti komputer, skim pemberian komputer terpakai, sokongan teknikal dan penyelenggaraan, program latihan literasi komputer, pemerkasaan komuniti melalui e-dialog dan e-forum serta pembelian peranti komputer pada harga diskaun dan pembayaran ansuran tanpa faedah.

"Dalam normal baharu, sebahagian aktiviti pendidikan terpaksa dikendalikan dalam talian. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi antaranya kemudahan internet, kekurangan perantian serta perkakasan yang sesuai, literasi komputer dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru.

"Di bawah task force ini, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan bagi menangani cabaran itu. Kesemua ini adalah untuk memastikan anak Pulau Pinang boleh membuat peralihan kepada sistem e-pembelajaran dengan lancar. Task Force ini terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berdedikasi," katanya dalam siaran langsung laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, di bawah skim pinjaman peranti komputer, syarikat Intel Malaysia menyumbang RM250,000 untuk pembelian 120 komputer riba, SNS Network (15 komputer riba) dan Lenovo, PITH serta Acer masing-masing menyumbangkan 10 komputer riba bagi tujuan skim itu

"Perkhidmatan penyelenggaraan dan latihan dalam talian juga ditawarkan secara percuma kepada mereka yang mengalami masalah teknikal. Semua butiran selanjutnya boleh rujuk dalam laman Facebook Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh negeri Pulau Pinang," tambahnya.

Mengenai aplikasi PGCare yang dilancarkan pada 15 Mei lepas, Chow berkata, 8,400 premis perniagaan telah didaftarkan sehingga 10 pagi hari ini dengan merekodkan hampir 302,000 'check-in' dan mencapai hampir 170,000 pengguna.

"Saya berharap anda semua akan terus mempraktikkan penggunaan PGCare demi keselamatan kita dan komuniti. Sistem ini bertujuan mengesan kontak dengan pantas jika terdapatnya kes COVID-19 yang baharu. Jika kita dapat mengesan kontak dengan pantas, maka kita boleh mengasingkan kes-kes positif dengan cepat dan seterusnya mengekang perebakan," katanya.


BERNAMA ONLINE

No comments:

Post a Comment