Saturday 30 May 2020

COVID-19: TEMUDUGA DALAM TALIAN KAEDAH TERBAIK UA KENAL PASTI CALON PELAJAR

Temuduga dalam talian antara pendekatan terbaik universiti awam untuk kenal pasti calon pelajar yang layak diterima melanjutkan pengajian
Temuduga dalam talian antara pendekatan terbaik universiti awam untuk kenal pasti calon pelajar yang layak diterima melanjutkan pengajian
KUALA LUMPUR: Temuduga dalam talian adalah antara kaedah terbaik dilaksanakan universiti awam (UA) ketika wabak COVID-19 ini, bagi mengenal pasti calon pelajar yang layak diterima melanjutkan pelajaran.
Presiden Persatuan Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Raja Shah Erman Raja Ariffin, berkata temuduga itu dibuat terhadap calon yang memenuhi kriteria minimum dan disenarai pendek Jawatankuasa Pemilihan Universiti.
Beliau menjelaskan, tidak semua universiti menjalankan temuduga bagi kemasukan pelajar, selain hanya membabitkan kursus tertentu saja.
"Berdasarkan maklumat diterima, tidak sampai 50 peratus UA yang melaksanakan sesi pengambilan secara temuduga dan ia juga membabitkan kurang 25 peratus daripada program pengajian yang ditawarkan.
"Antara kursus yang memerlukan sesi temuduga adalah seni bina, sains kemanusiaan, sains sukan dan program pengajian teknikal seperti teknologi maklumat (IT).
"Jika ada keperluan untuk melihat fizikal calon bagi program pengajian tertentu, maka ia boleh dinilai melalui rakaman video atau sidang video yang diadakan," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pelaksanaan temuduga secara atas talian yang akan dilaksanakan UA ke atas calon pelajarnya, susulan penularan COVID-19 ketika ini.
Raja Shah Erman memaklumkan, kebanyakan UA akan mula melaksanakan temuduga dalam talian itu minggu depan, justeru pihaknya belum menerima maklum balas berhubung hasil kaedah berkenaan.
Mengenai masalah capaian internet dalam kalangan calon, beliau berkata, isu itu tidak timbul kerana berdasarkan panduan temuduga berkenaan, calon perlu menyediakan rakaman video resume bagi latar belakang diri, portfolio dan tugasan ringkas yang mengambil masa kurang 15 minit.
"Video berkenaan perlu dimuat naik dan ada juga pelaksanaan ujian dalam talian menggunakan Google Meet serta kaedah lain.
"Walau apa pun, UA sudah mengambil kira semua aspek untuk tidak menyukarkan pelajar melalui kaedah ini," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, mengakui akan wujud perbezaan antara temuduga dalam talian berbanding secara bersemuka, antaranya panel kemungkinan kurang dapat menilai bahasa tubuh dan emosi calon.
"Selain itu, ia juga mungkin akan menghadkan peluang panel bertanyakan banyak soalan secara spontan, yang mampu menilai kualiti calon, contohnya pengetahuan mengenai isu semasa yang berkaitan dengan pengajian dan keperluan masa depan," katanya.
Justeru katanya, pihak UA perlu memastikan kualiti calon yang dipilih melalui temuduga dalam talian adalah sama dengan yang dijalankan secara bersemuka.
"Universiti boleh menumpukan kepada strategi seperti mengemukakan soalan atau kaedah temubual yang lebih efektif bagi mencungkil potensi dan kemampuan sebenar calon.
"Kaedah temuduga sedia ada perlu ditambah baik kerana dalam talian ini adalah pendekatan baharu yang perlu dilaksanakan dan kita jangkakan, lebih banyak urusan universiti akan dilaksanakan menggunakan kaedah itu terutama ketika PKPB masih berjalan," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment