Wednesday 6 May 2020

SEMANGAT PELAJAR DI PEDALAMAN TAK LUNTUR SEJAK PKP

Google Classroom antara PdP dalam talian popular sejak PKP
GOOGLE Classroom, Zoom dan Google Meet, antara wahana pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang popular sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia menjadi pilihan tenaga pengajar, termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.
Bagaimanapun, ada ibu bapa dan pelajar mengeluh berikutan capaian internet lemah dan tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga kurang berkemampuan.
Bagaimana pula pelajar jauh di pedalaman dan dikelilingi hutan tebal. Bukan sahaja tiada capaian internet, malah tidak mendapat liputan telekomunikasi! Ini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti sebarang PdP pada musim PKP ini.
Perkara ini bermain-main dalam fikiran, sekali gus mengingatkan saya kepada pengalaman mengikuti Misi Klinik Bergerak di pedalaman Sarawak, akhir 2018.
Rumah panjang, Anthony Bau didiami masyarakat kaum Iban di Julau, Sarikei tidak memiliki liputan telekomunikasi, sekali gus bukan mudah sampai ke penempatan berkenaan.
Rumah panjang itu 'terpisah' dengan dunia luar kerana hutan tebal. Penduduk yang mahu mendapatkan liputan telekomunikasi, perlu ke Julau yang mengambil masa berjam-jam lamanya. Itu pun bergantung pengangkutan, sama ada sungai, jalan balak atau udara sahaja.
Perjalanan ke Jeti Nanga Entabai di Julau dengan perahu panjang enjin sangkut, mengambil masa lima hingga enam jam, bergantung keadaan sungai. Dari jeti, mereka perlu menaiki van 45 minit untuk sampai ke Julau.
Jika menggunakan jalan balak, perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak kira-kira empat jam. Namun, berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan dan risiko kenderaan rosak.
Dengan segala kesukaran liputan telekomunikasi dan tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan tebal serta kos perjalanan melebihi RM500, apakah ia mematahkan semangat anak pedalaman untuk belajar ketika PKP?
Untuk mengetahui jawapan, penulis menghubungi Guru Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julaihi Mahdi.
SK Nanga Ju mempunyai 23 murid daripada Rumah Panjang Lepong Bilat (Rumah Nyalih) dan Rumah Panjang Nanga Ju (Rumah Gerasi). Ia sekolah paling jauh berbanding SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong.
Sekolah ini dibekalkan dengan alat telekomunikasi, iaitu internet menggunakan parabola, tetapi kemudahan itu rosak sejak awal tahun ini.
"Namun, itu bukan bermakna kami seramai 10 guru dan enam anggota kumpulan pelaksana (AKP) menjadikan kesukaran telekomunikasi sebagai alasan membiarkan murid begitu sahaja," katanya.
Sementara itu, Guru Prasekolah SK Nanga Ju, Muhamad Fadheruhisham Daud, memberitahu BERNAMA, terdapat beberapa cara pembelajaran, termasuk menyampaikan tugasan kepada wakil ibu bapa.
Menurut beliau, seorang wakil ibu bapa murid secara sukarela ke Julau seminggu sekali dan menelefon guru bagi mendapatkan tugasan murid.
Guru yang sudah menyediakan bahan untuk latih tubi, lebaran kerja, aktiviti kuiz dalam bentuk salinan digital, mahupun gambar, akan memberikannya menerusi aplikasi WhatsApp.
Ibu bapa murid lain akan bertemu dengan wakil berkenaan dan mengambil gambar tugasan itu menggunakan telefon bimbit. Tugasan itu tidak dapat dihantar terus ke telefon mereka kerana tiada talian.
Selain itu, guru juga menggunakan khidmat kakitangan sekolah yang tinggal di Sarikei, iaitu Apai Lovy, untuk menghantar tugasan dicetak kepada wakil ibu bapa berkenaan.
Bagaimanapun, sekiranya wakil ibu bapa tidak dapat dihubungi selepas dua minggu, Apai sendiri akan ke rumah panjang menggunakan jalan balak yang mengambil masa kira-kira lapan jam.
Muhammad Fedheruhisham berkata, kebanyakan guru berada di Sarikei, sekali gus memudahkan untuk mengumpul bahan dan memberikannya kepada Apai.
Murid juga mempunyai cara tersendiri sekiranya tidak faham sesuatu tugasan diberikan guru.
Menurut Apai, ibu bapa murid akan membawa anak mereka ke puncak bukit untuk cuba menghubungi guru.
"Bolehlah dapat talian tapi nyawa-nyawa ikan. Ada juga yang akan menghubungi cikgu mereka mengenai latihan ketika berpeluang mengikuti ibu atau ayah mereka ke pekan," katanya.
Meskipun tidak mempunyai sebarang talian komunikasi, kebanyakan rumah panjang di situ mempunyai televisyen, sekali gus membantu dalam mendapatkan maklumat mengenai COVID-19 dan program TV Pendidikan menerusi saluran TV Okey.
"Walaupun kurang kemudahan, saya perhatikan semangat anak ini kuat. Ibu bapa serta tuai rumah (ketua rumah panjang) pun sangat menitikberatkan pelajaran buat anak ini," kata Apai.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment