Tuesday 12 May 2020

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin
KUALA LUMPUR: Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei ini akan tetap disambut bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru, walaupun negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata berbeza dengan sambutan secara besar-besaran dengan pelaksanaan pelbagai program sebelum ini, sambutan pada tahun ini akan menjurus kepada program yang diadakan secara dalam talian termasuk di media sosial.
"Jika dulu, pada 1 April kita sudah melancarkan tema dan merancang pelbagai program di peringkat sekolah sehingga tiba Hari Guru, tapi ia tidak berlaku tahun ini. Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada sambutan Hari Guru.
"Dalam kekangan baharu ini, yang penting adalah prinsip. Prinsipnya Hari Guru adalah pada 16 Mei dan kita akan sambut Hari Guru ini.
"Bagaimana kaedahnya? Kita ambil kira kekangan yang ada dan mencari kaedah terbaik (untuk menyambutnya)," katanya.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas dalam program "Soal Rakyat" yang disiarkan di TV3, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai tema Hari Guru pada tahun ini iaitu "Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu", Mohd Radzi berkata, konsep cinta dan berguru dengan ilmu perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar, supaya mereka sentiasa mencari ilmu tanpa perlu disuruh dan bukan hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan.
"Mereka akan sentiasa meneroka ilmu baharu yang akhirnya nanti akan melahirkan generasi yang mengeluarkan idea dan mencipta produk serta perkhidmatan baharu," katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Mohd Radzi berkata, ibu bapa dan guru perlu memberi ruang kepada anak serta pelajar mereka untuk meneroka ilmu supaya kecenderungan dan minat dapat ditentukan bermula dari tahap pendidikan tahap rendah.
Beliau turut mengingatkan guru supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan tidak hanya tertumpu kepada pengajaran berdasarkan silibus dalam buku teks saja.
BERITA HARIAN ONLINE

No comments:

Post a Comment